Bismillah. Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh.

إِنَّ الْحَمْدَ لِلّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، لاَ نَبِيَّ وَلاَ رَسُوْلَ بَعْدَهُ

Muqaddimah

 

Terima  kasih  kepada saudara  pengerusi  sidang, Yang  dihormati  Majlis  Tertinggi  PERUBATAN  (MTP)  Iskandariah,  saudara  Alif Akmal Bin Abd Rahim  dan  saudari  Nadia Nabila Binti Afandi,  barisan  ahli  Jawatankuasa Tertinggi  (AJKT) PERUBATAN  Cawangan Iskandariah   (PCI)   sesi   2016/2017,   yang   berusaha   Pengarah Mesyuarat  Tahunan Cawangan    (MTC)  Iskandariah  kali  ke-8, saudara  Mohamad Izzat Syahmi bin Mohamad Jasni beserta  barisan  Ahli  Jawatankuasa   MTC   Iskandariah   kali   ke-8,   seterusnya   para perwakilan  dan  pemerhati,  ikhwah  dan  akhawat,  ahli  PCI  yang saya kasihi sekalian.

 

Selamat datang dan selamat bermesyuarat kepada semua perwakilan dan pemerhati yang sudi datang ke Mesyuarat Tahunan Cawangan kali ke-8 ini yang bertemakan “Memaknakan Integrasi, Merentas Legasi”. Tema ini bertepatan dengan keadaan semasa di mana PERUBATAN merupakan satu-satunya persatuan mahasiswa yang berusaha untuk mengintegrasikan pelbagai bidang tugas, gerak kerja dan disiplin ilmu bagi melahirkan mahasiwa sains kesihatan yang rabbani dan kompeten. Maka menjadi peranan kita semua untuk menjadikannya satu realiti dan akhirnya menjadi satu legasi bagi generasi yang akan datang.

 

Mesyuarat Tahunan Cawangan ataupun MTC yang diadakan setiap tahun ini adalah sebagai satu wasilah untuk ahli memberi komentar, muhasabah ataupun cadangan kepada para pimpinan khususnya, para penggerak dan ahli dalam menambah baik prestasi gerak kerja persatuan yang kita sayangi ini. Para perwakilan diberi ruang yang  seluas-luasnya untuk bersuara secara terbuka bagi menanyakan soalan, mendapatkan penjelasan dan menyampaikan suara hati mereka tanpa apa-apa halangan dan sekatan. Hal ini menunjukkan bahawa PCI bukanlah milik dan hak para pimpinan namun PCI adalah hak dan milik kita semua. Ahli perlulah bersifat proaktif dan sentiasa memberi cadangan penambahbaikan, muhasabah dan kritikan-kritikan yang membina dan juga pada masa yang sama berusaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Para pimpinan pula perlulah mengambil kira suara-suara ahli dalam melaksanakan gerak kerja mereka dan berusaha sebaiknya bagi memenuhi kehendak ahli. Maka dengan inilah PCI akan mampu bergerak laju dan lebih terkehadapan dalam keadaan suasana yang harmoni.

 

 

Hadirin hadirat para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian,

 

  1. Akademik dan Professionalisme

 

Ilmu merupakan perkara yang sangat penting bagi kita sebagai Umat Islam. Di dalam Al Quran Allah banyak menyebut tentang tingginya darjat orang yang berilmu dan tidak sama kedudukan mereka yang berilmu dan tidak berilmu. Firman Allah s.w.t dalam surah Al Mujadilah ayat 11 :

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

Kita diwajibkan untuk menuntut ilmu kerana dengannya, kita dapat mengenal Allah taala, dapat menguruskan urusan dunia sekaligus dapat membentuk peribadi diri sebagai insan yang bermanfaat kepada orang lain. Maka dalam skop kita sebagai mahasiswa sains kesihatan, menjadi kewajipan kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu yang berkaitan dengan bidang kita. Sikap atau perbuatan yang buruk dalam menuntut ilmu seperti tidak menghormati pensyarah, ponteng ke kelas dan meniru di dalam peperiksaan perlulah dijauhkan kerana hal ini akan menjauhkan kita daripada mendapat keberkatan Allah. Apabila tiada keberkatan daripada Allah, maka itulah yang menjadi penyebab kita susah untuk memahami segala apa yang dipelajari, sukar untuk mengingati fakta-fakta dan juga menjadi punca kegagalan di dalam peperiksaan.

 

Suasana ataupun budaya cintakan ilmu yang cuba di laksanakan pada sesi yang lepas perlu diperkasakan lagi dalam komuniti kita. Maka pada sesi kali ini, PCI akan cuba memfokuskan kepada beberapa program dan aktiviti akademik yang berkala dan khusus dengan harapan akan membuahkan hasil yang memberi kesan dan impak kepada ahli. Perkongsian akademik di tafaqquh akan di jadikan satu kewajipan sebelum bermulanya kelas tafaqquh mingguan selain perkongsian akademik oleh penggerak-penggerak PCI di dewan kuliah, dalam mesyuarat dan juga program-program yang lain. Menyentuh berkenaan kemahiran klinikal, PCI akan mengadakan perkongsian kemahiran klinikal seperti asas pertolongan cemas di riadah mingguan oleh ahli Alexandria Medical Team (AMT) dan Alexandria Dental Team (ALDT) selain memperkasakan lagi program Night Shift yang dianjurkan oleh AMT pada sesi lepas.

 

Pada peringkat batch, PCI akan memastikan Organisasi Batch (OB) dan Student Representatives (SR) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti bersifat akademik seperti kelas-kelas tutorial yang membincangkan subjek-subjek yang dipelajari di universiti bagi meningkatkan lagi prestasi akademik ahli. Selain daripada itu, Professional & Academic Day (PAD) pada setiap hari Isnin akan dijadikan hari yang khusus untuk aktiviti-aktivti dan program yang bukan sahaja berfokus kepada akademik seperti diskusi-diskusi sains kesihatan malah juga program dan aktiviti yang dapat menerapkan nilai professionalisme dalam kehidupan sebagai mahasiswa muslim. Sebagai tambahan, PCI pada sesi kali ini akan cuba menjalinkan hubungan kerjasama dengan badan organisasi mahasiswa Mesir yang wujud di Universiti Iskandariah ini seperti Alexandria Student’s Scientific Association (ASSA) bagi memaksimakan manfaat yang berfokus ke arah pemantapan akademik ahli PCI.

 

  1. Pembangunan Insan

 

Pembangunan insan merupakan tunjang yang penting bagi seseorang yang bergelar mahasiswa muslim. Keberadaan kita di bumi kinanah ini merupakan satu peluang yang besar dalam mengisi ilmu di dada yang bukan sahaja terhenti pada ilmu sains kesihatan semata-mata, tetapi juga ilmu-ilmu fardu ain dan fardu kifayah yang lain seperti ilmu fiqh perubatan. Tidak dapat tidak, kita tidak akan terlepas daripada persoalan-persoalan daripada masyarakat tentang perkara yang berkaitan dengan fiqh perubatan ini. Bertitik tolak dengan perkara ini, PCI akan memperkasakan lagi Unit Fiqh Perubatan dengan kerjasama AMT bagi mengetengahkan fiqh perubatan ini sebagai fokus yang perlu dibawa pada sesi kali ini. Tajuk perbincangan akan diperkembangkan lagi selari dengan kemajuan ilmu-ilmu sains kesihatan dengan merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang ini.

 

Selain itu, penekanan tentang biah solehah akan diberikan perhatian sepenuhnya oleh PCI. Biro Pembangunan Insan (BPI)  dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) dan Biro Perumahan (BHOME) akan menjalankan kempen yang berfokus dalam usaha menyuburkan semula biah solehah dalam kalangan mahasiswa Iskandariah ini. PCI juga akan sedaya upaya untuk memastikan setiap program atau aktiviti yang dijalankan menghormati waktu solat. Dengan erti kata yang lain, tiada program yang dianjurkan oleh PCI akan menyebabkan ahli terlewat untuk menunaikan solat. Mari kita hayati firman Allah dalam surah Al mukminun ini :

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢)

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.

Pada ayat lain Allah menyebut:

وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٲتِہِمۡ يُحَافِظُونَ

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. 

Aktiviti pemantapan jati diri seperti qiyamullail dan kelas tafaqquh migguan akan diperkasakan lagi dengan meletakkan fokus yang jelas agar aktiviti tersebut memberi kesan terhadap ahli dan bukan hanya sekadar memenuhi takwim tahunan. Elemen pembangunan insan ini tidaklah lengkap tanpa item tarbiyyah dan ukhuwah yang dijalankan melalui Smart circle (SC). Tidak akan berjaya usaha amar maaruf nahi munkar sekiranya pengeraknya tidak diisi dengan ilmu dan ditarbiyah secukupnya. Maka pemerkasaan SC untuk setiap batch akan dilakukan dan memastikan setiap SC dijalankan pada hari khusus SC iaitu pada hari Rabu. Program tarbiyah untuk para mentor juga akan dipergiatkan agar para mentor lebih bersedia dan lebih bersemangat untuk membawa SC masing-masing.

 

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

 

  1. Kebajikan

 

Islam sangat menitikberatkan kebajikan umat Islam di mana Islam menggesa umatnya untuk mengambil berat antara satu sama yang lain berdasarkan hadith Rasulullah .S.A.W yang bermaksud:

“Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah” (Riwayat at-Tabarani)

 

PERUBATAN yang membawa dasar Islam ini juga tidak terlepas daripada menjaga kebajikan ahli-ahlinya tanpa mengira latar belakang mereka.Pada sesi kali ini, setiap biro dibawah PCI akan memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan mahasiswa akan terus terjamin. Melalui pemerkasaan Tabung kasih Sayang, setiap ahli yang ditimpa musibah akan diberikan perhatian. Pembawaan kebajikan ini turut dijayakan oleh ahli apabila ruang untuk menyumbang kepada sesama ahli yang ditimpa musibah dapat dilaksanakan melalui medium TKS ini.  Walaubagaimanapun, kebajikan ahli bukan sahaja dititkberatkan apabila dilanda musibah sahaja, tetapi kebajikan para penggerak PCI turut diketengahkan melalui Dana Khas Penggerak PCI yang telah disediakan dan akan diteruskan pada sesi kali ini. Antara objektif kewujudan dana ini ialah untuk meringankan beban para penggerak dalam melaksanakan gerak kerja persatuan.

 

Selain itu, kebajikan ahli dari aspek kehidupan seharian juga akan diambil perhatian. Antara modus operandi yang akan dijalankan ialah mengeluarkan senarai hitam rumah dan broker serta memperbanyakkan lagi barangan jualan yang menjadi keperluan ahli. Seperti yang kita ketahui, kebajikan dan kewangan sentiasa bergerak seiring. Oleh yang demikian, pada sesi kali ini PCI akan lebih menekankan kepada pengurusan duit riba iaitu dari sudut maklumat bagaimana pengeluaran dan saluran duit riba.Hal ini kerana, duit riba ini dapat dimanfaatkan dalam menyediakan fasiliti-fasiliti untuk kegunaan ahli, juga sebagai sumbangan kepada rakyat Mesir yang fakir miskin melalui penyaluran dan pengurusan yang betul.

 

  1. Kesatuan

 

Firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 10:

 

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. 

 

Kesatuan kita dalam satu lokaliti Iskandariah sangat penting kerana di bumi Mesir ini, kita hanyalah sekadar komuniti asing yang menumpang di negara orang untuk menuntut ilmu. Kebersamaan kita akan memudahkan kehidupan kita di sini. Segala pertelingkahan yang berlaku haruslah di selesaikan dengan cara yang paling berhikmah. Kesatuan para pimpinan dan ahli akan dapat dicapai apabila para pimpinan turun menziarahi rumah-rumah ahli bagi mengukuhkan ikatan silaturrahim melalui platform Trek Siswa Siswi yang disediakan.  Selain daripada itu, sesi dialog bersama ahli dan pimpinan juga akan dijadikan satu pengamalan PCI pada sesi ini sebagai ruang untuk mendengar suara ahli dalam mencapai kesatuan antara pimpinan dan ahli selain meneruskan lagi Alexandria Complaint Center (ACC) yang telah disediakan pada sesi lepas.Kesatuan sesama ahli yang berlainan tahun pengajian dan jurusan pula dapat diterapkan melalui penganjuran program-program antara batch dan melalui sistem taakhi yang telah dijalankan. Sistem taakhi ini akan diteruskan pada sesi ini dan akan diperkemaskan semula melalui kepelbagaian aktiviti yang akan dijalankan oleh Organisasi Batch (OB) masing-masing. Dengan ini saya mengumumkan, taakhi yang baru :

 

  1. Ace akan menjadi taakhi kepada Ayden
  2. Stanza mahabbah menjadi taakhi kepada Valiantz
  3. Phylox menjadi taakhi kepada Exquisitus

 

Selain itu , PCI akan memastikan ahli daripada pelbagai jurusan terlibat dalam gerak kerja PCI  sama ada menjadi ajk pelaksana program, pengisi ataupun hanya sebagai peserta  .Ahli perlulah mempunyai kesedaran bahawa PCI merupakan persatuan mahasiswa dan bersedia untuk sama-sama menyumbang demi kemaslahatan komuniti kita semua.

 

Sidang dewan yang dirahmati Allah sekalian,

 

Seruan

 

Maka dengan ini saya dapat simpulkan tentang 3 perkara yang penting untuk di ambil cakna oleh semua ahli PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI) iaitu:

 

  1. Penghayatan jati diri Islam – Kita semua perlulah menguatkan jati diri kita sebagai mahasiswa muslim dengan acuan yang Islam telah tunjukkan bagi mengharungi dunia yang penuh mehnah tribulasi ini.
  2. Kepentingan ilmu dan keberkatan di dalamnya – Pimpinan dan ahli perlu sedar bahawa Ilmu adalah perkara yang paling berharga, oleh itu adab dalam menuntut ilmu perlulah dijaga untuk menjamin keberkatan di dalamnya.
  3. Erti hidup pada memberi – Kita semua perlu sedar bahawa sebaik-baik manusia adalah orang yang bermanfaat kepada orang lain. Maka jadikan diri kita sebagai insan yang lebih banyak memberi daripada menerima.

 

Penutup

 

Akhir kalam,

 

PERUBATAN Cawangan Iskandariah bukanlah sebuah persatuan yang bersifat eksklusif kepada golongan-golongan yang tertentu tetapi PCI adalah milik semua. PCI sentiasa bersedia dan meraikan ahli-ahli yang ingin menyumbang kepada komuniti kita di sini sama ada dari segi tenaga kerja, idea mahupun harta benda. Marilah sama-sama kita bersatu padu, berganding bahu dan memimpin tangan untuk menuju ke arah yang lebih baik.

 

Jutaan terima kasih kepada para pimpinan bagi sesi 2015/2016 serta para penggerak PCI atas usaha kalian selama ini. Semoga segala titik peluh kalian akan dibalas oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran. Tidak lupa juga kepada ahli jawatankuasa pelaksana MTC kali ke -8 yang bertungkus lumus bagi memastikan mesyuarat kali ini berjalan dengan lancar.Buat para pimpinan yang baru, sama-samalah kita berusaha dengan sebaiknya untuk memastikan matlamat yang didambakan, dikecapi bersama. Dengan ini saya akhiri ucapan saya pada hari ini  dengan satu kata-kata:

 

“Sisihkanlah perbezaan yang merugikan, satukanlah usaha yang memurnikan, moga masa depan menjadi milik kita semua”

 

Terima kasih. Siiru ala Barakatillah.

 

Pengerusi

 

 

 

 

 

 

Khairul Anuar Bin Bahrim

Pengerusi

PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2016/2017

 

Timbalan Pengerusi

 

 

 

 

 

Nurfaezah Binti Amat Ariff

Timbalan Pengerusi

PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2016/2017

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :