Isnin, 19 MAC 2012 – Sempena Hari Keluarga pelajar Dirasat, pihak Alexandria Medical Team telah diundang untuk mengadakan sesi medical check-up. Oleh kerana hari tersebut merupakan hari kuliah, hanya pelajar akhawat Tahun Tiga sahaja yang terlibat, memandangkan hanya sebahagian daripada mereka yang mempunyai kelas pada hari itu berserta seorang ahli Tahun Lima, Ruziyati Esmaon dan juga jurugambar mediaPERUBATAN PCI, Noornajihah Abu Bakar.

Sebahagian ahli bertolak pada jam 10.15 pagi ke Mandarah. Mereka disambut oleh wakil pelajar Dirasat di sana, kemudian meneruskan perjalanan ke Tusun Basyar, lebih kurang 15 minit perjalanan dari pasar Mandarah. Setibanya di sana, dewan sedang gamat dengan kemeriahan suasana pelbagai jenis sukan yang dipertandingkan.

Ahli AMT  terus menyiapkan segala kelengkapan sebelum membuka pendaftaran tidak lama selepas itu. Sebanyak tiga stesen disediakan, iaitu untuk mengira Indeks Jisim Badan atau Body Mass Index(BMI), kandungan gula dalam darah(Blood Glucose), serta kadar denyutan jantung(Pulse Rate). Bayaran sebanyak 2LE dikenakan pada sesiapa yang ingin menyukat kandungan gula dalam darah.

Sambutan yang diterima ternyata amat menggalakkan. Pelbagai soalan diajukan kepada ahli AMT, menyedarkan mereka akan peri pentingnya ilmu seorang doktor dan peranannya dalam masyarakat. Tidak kurang juga yang teragak-agak untuk melakukan ujian gula dalam darah kerana perlu disuntik. Namun setelah diterangkan prosedurnya, mereka memberanikan diri mencuba.

Selepas zohor, sebahagian lagi ahli AMT seramai lima orang yang terlibat sampai. Mereka menyiapkan tempat untuk sesi pameran. Pameran diadakan berkenaan hal-hal kewanitaan seperti Menstruasi dan kanser payudara. Peluang ini digunakan sebaiknya oleh ahli AMT untuk menerangkan mesej-mesej yang wajib diketahui oleh setiap wanita.

Program berakhir pada jam empat petang. Ternyata semua berpuas hati dengan aktiviti pada hari itu. Sebelum pulang, semua bergambar bersama tanda keeratan ukhwah yang terjalin.Kedua-dua pihak berharap agar program seumpama ini dapat terus dijalankan pada masa akan datang.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :