7:12 pm - Thursday May 17, 2012

Andai Ku Tahu Akan Tiba Masaku…

 

Keyakinan orang beriman akan adanya kehidupan setelah kematian menyebabkan dirinya selalu berada dalam mode standby menghadapi kematian. Namun orang kafir dan orang yang mencintai dunia lebih daripada akhirat, selalu sahaja berusaha untuk menghindarkan diri mereka daripada memikirkan perkara berkaitan kematian.

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Munafiqun: Ayat 11)

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan pelbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi’e biasa dengan mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu penyakit, tragedi atau kemalangan.

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

 

Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat daripada dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai daripada berusaha untuk memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan.  Dalam kalangan orang solihin pula menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.

Firman Allah Taala: Yang bermaksud: “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya.” (Surah Al-A’raf: ayat 34)

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Nurul Iman Ab Alim . Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.

 

17 Januari 2011 merupakan tarikh yang tidak mungkin dilupakan oleh warga Iskandariah yang telah kehilangan seorang rakan seperjuangan mereka apabila Allahyarhamah Nurul Iman bt Ab Alim telah dipanggil mengadap pencipta-Nya.
Rujukan:

http://www.mymasjid.net.my/koleksi-artikel/display/1471/mengingati-mati/

http://kolomdakwah.blogspot.com/2009/10/kematian-pintu-gerbang-kehidupan-abadi.html

 

Item berkaitan:

  1. Andai Akhir Nafas di Hujung Helaan
  2. Akal vs Otak
  3. Jangan Sampai Tiada GERUN !
  4. [MARA] Semakan Senarai Nama Pelajar Yang Akan Berlepas ke Mesir
  5. Keikhlasan Dalam Beribadah
Filed in: Artikel, Utama

Comments Closed

Comments are closed.