بسم الله الرحمن الرحيم

السلام  عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat baginda. Rasa syukur juga dipanjatkan atas nikmat iman dan Islam yang dimiliki hari ini.

“Jika ada tiga orang berpergian, hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah).

Kepimpinan adalah salah satu aspek yang dianggap sangat penting dalam Islam. Hal ini boleh dilihat daripada ayat dan hadis Rasulullah SAW yang membahas tentang ini. Proses pemilihan kepimpinan sangatlah dititikberatkan dalam Islam agar kepimpinan itu dapat menjaga ahlinya dari segi kebajikan dan juga agama mereka.

فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلمُتَوَكِّلِينَ

“Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Ali-Imran: 159)

Syura atau mesyuarat adalah satu kaedah yang sangat penting dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat. Begitu tingginya keperluan syura ini, sehinggakan Allah menamakan salah satu surah daripada al-Quran dengan nama surah asy-Syura. Hal ini adalah tidak lain, Allah hanya mahu mengajarkan manusia yang lemah ini akan perkara yang sepatutnya agar manusia menjadi lebih kukuh dan teratur perjalanan hidup mereka.

Menelusuri sirah nabi Muhammad SAW,hasil daripada keputusan syura adalah terhasilnya keputusan peperangan pertama bagi umat Islam dengan kaum kafir iaitu perang Badar.

Dalam memilih tampuk pimpinan pula kaedah syura turut diaplikasikan seperti yang terjadi selepas kewafatan nabi Muhammad SAW. Para sahabat melakukan syura, untuk memilih pengganti nabi Muhammad dalam pemerintahan. Setelah berbahas dan berdebat mereka bersetuju untuk melantik saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama umat Islam.

Sungguh pantas masa berlalu.Kini tibalah masa pertukaran bagi tampuk kepimpinan di semua PERUBATAN Cawangan. Lembaga Penasihat PERUBATAN Sesi 2020/2021 telah memilih kaedah bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan, PERUBATAN Cawangan Iskandariah adalah melalui proses Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) menggantikan sistem pilihan raya sedia ada.

Selari dengan pengecilan komuniti di PERUBATAN Cawangan Iskandariah, kaedah pemilhan melalui MMPC diputuskan untuk mendepani situasi semasa di Iskandariah.

Ahli MMPC akan bermesyuarat bagi mencalonkan tampuk pimpinan PCI pada masa akan datang.

Kaedah pemilihan yang baharu ini adalah selari dengan perlembagaan PERUBATAN  pada Fasal 20 Ceraian (d),

“Antara tugas-tugas ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN adalah menentukan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Sehubungan dengan itu, hasil perbincangan daripada peringkat Lembaga Penasihat Cawangan dan dipersetujui oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN, dengan ini melantik :

Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC)

Pengarah: Asyraf  bin Hashim

Timbalan Pengarah: Nursyahirah Fasihah binti Haslizan

Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) akan bergerak mengikut jalur masa yang telah disusun dan akan diselaraskan dengan pilihan raya PERUBATAN di cawangan lain.

Untuk jumlah AJKT PERUBATAN Cawangan Iskandariah pada sesi 2021/2022 adalah seperti berikut ;

  1. 1 orang Pengerusi
  2. 1 orang Timbalan Pengerusi
  3. 5 orang AJKT lelaki
  4. 6 orang AJKT wanita

Akhir kalam daripada saya, semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kenaikan pimpinan PERUBATAN sesi hadapan dan calon yang terpilih terdiri daripada kalangan orang yang bertakwa dan berkaliber.

Sekian, terima kasih.

“PCI di Hati Kami’’
“Ilmuwan Berbakti ,Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Mus-ab bin Nasir,

Ketua Lembaga Penasihat,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2020/2021.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :