ADAKAH BENAR ENGKAU PEMBUNUH?

“Perdana Menteri Mesir mengumumkan penangguhan sesi pembelajaran bagi semua institut pengajian selama dua minggu sebagai langkah mengatasi penyebaran Koronavirus antara pelajar.”

Terpapar berita ini di dada-dada akhbar Mesir.

Koronavirus.

Tidak asing lagi nama ini meniti di bibir-bibir manusia.
Ada yang terlantar di atas katil hospital.
Ada yang ketakutan.
Ada juga yang tidak mengambil kisah.

Keadaan dunia yang dahulu terkawal, kini menjadi kucar kacir dengan sekelip mata kerana kehadirannya. Saban hari, semakin banyak kes terbaharu disahkan oleh kerajaan. Ramai yang menyalahkan kehadirannya atas keadaan kacau bilau ini. Malahan, ada yang menunding jari, bermasam muka, berpaling antara satu sama lain.

Namun, adakah benar Koronavirus ini pembunuh?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia [WHO] mendefinisikan Koronavirus sebagai satu keluarga virus besar yang mengakibatkan penyakit daripada selsema yang biasa kepada penyakit yang lebih kritikal seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah [MERS-CoV] dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk-Koronavirus [SARS-CoV].

Berasal daripada haiwan, virus ini mampu menyebabkan masalah pernafasan sehingga membawa kepada kematian. Bermula dari Wuhan, iaitu ibu kota wilayah Hubei di negara China, virus ini mula merebak ke negara lain melalui titisan daripada batuk dan bersin oleh manusia yang telah dijangkiti. Virus ini juga boleh dijangkiti melalui permukaan yang dicemari olehnya. Namun, bagaimana virus ini tersebar daripada haiwan kepada manusia masih lagi menjadi tanda tanya.

Maka, saya sangka persoalan di atas terjawab. Koronavirus mampu menyebabkan kematian. Oleh tu, banyak langkah untuk mencegah virus ini daripada merebak telah disarankan oleh WHO sendiri.

Antaranya sentiasa membasuh tangan, menjauhi diri daripada khalayak ramai, dan memastikan kesihatan diri dalam keadaan optimum. Akan tetapi, pernahkah kita terfikir bagaimana virus ini yang tidak pernah diketahui kewujudannya mampu merebak daripada haiwan kepada manusia sehingga mampu menyebabkan dunia dalam keadaan tidak stabil?

Adakah ini merupakan peringatan dari Allah SAW?

Tidak mustahil perkara ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri, seperti firman Allah dalam surah asy-Syura ayat 30 yang bermaksud,

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (perbuatan yang salah dan berdosa) dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosamu.”

Dalam sebuah artikel Berita Harian yang ditulis oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), mengaitkan hubungan wabak ini dengan tanda hari kiamat. Menurutnya, terdapat banyak tanda kedatangan hari kiamat disekeliling kita. Samada kita sedar atau tidak.

Sebagai seorang Islam, saya tidak dapat menafikan bahawa isu ini mungkin merupakan sebahagian daripada peringatan Allah SWT kepada umatnya setelah saya melihat betapa tenatnya keadaan ummah sekarang. Normalisasi dosa semakin berleluasa, malah dakwah dianggap sebagai perkara yang terlalu ‘ekstrem’.

Dalam mencegah penularan wabak ini, cara-cara pencegahan yang telah dikeluarkan oleh WHO sebenarnya telah lama dipraktikkan dalam kehidupan seorang Muslim. Malahan, media di negara Perancis sendiri memuji syariat Islam kerana bermanfaat untuk menghindari penyakit daripada Koronavirus.

Dalam sebuah laman web yang bernama harianterbit.com, artikel tersebut telah diterjermahkan daripada bahasa Perancis yang berbunyi,

“Koran-koran di Perancis mengatakan bahawa yang paling selamat daripada Korona adalah wanita-wanita Muslim yang berhijab kerana mereka bertutup wajah dan badan. Tidak bersalaman dengan orang asing, tidak berciuman, dan tidak saling berpelukan.”

Melihat keadaan ini, saya sedar bahawa nilai Islam itu sangat tinggi, tiada yang mampu mengatasinya.

Jadi saya percaya bahawa jika kita mempraktikkan kehidupan seharian sebagai seorang Muslim yang sebenar, dengan izin Allah SWT, kita akan terhindar dari segala bahaya di dunia.

Isu ini, seperti isu-isu wabak yang pernah berlaku di atas muka bumi ini, pasti akan berakhir sekiranya setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam mencegahkannya. Bukanlah masanya untuk kita menunding jari menyalahkan yang lain sebagai asbab perkara ini terjadi. Perkara yang penting adalah cara kita membendung wabak ini daripada berterusan.

Semoga penulisan ini mampu membuka mata dan minda serta memberi manfaat kepada para pembacanya.

Siti Nor Adawiah Binti Mokhtar,
Tahun 3 Kuliah Pergigian,
Universiti Iskandariah.
Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :