Hachum! Kau Cina ke?

Kes COVID-19 di China dan Itali telah sampai pada tahap yang serius. Krisis wabak ini telah dilabelkan sebagai pandemik di mana hampir semua negara mencatatkan kes positif Korona. Dunia mula panik dan tidak tentu hala bagai nak gila. Tidak ketinggalan, aku dan para penuntut di bumi Padang Pasir turut terkena tempiasnya.

Tidak sah kalau diri ini yang bergelar bangsa Malaysia mahupun berasal dari Asia jika tidak digelar Cina oleh mereka si bangsa Arab.

Ya.

Aku tahu hidungku pesek tidak semancung kalian.
Mataku kecil tak seluas semesta.
Kulitku tidak terlalu putih tetapi cukup untuk digelar Asia.
Tetapi jangan hanya ciri-ciri luaranku sahaja, sudah cukup untukmu bangsa Arab memanggilku Korona.

Pernah aku menuju ke sebuah kedai runcit berdekatan. Tidak semena-mena seorang wanita Arab, cukup tua untuk dipanggil ‘wanita’ menjerit,

“Cina! Korona! Korona!” di tepiku.

Semua mata di jalanan memandang pada sosokku yang terus melangkah. Aku tak hairan. Mungkin hanyalah canda tawa biasa baginya.

Semoga Allah ampunkan dosa mereka atas kejahilan mereka.

Mungkin mereka tidak mengerti apakah itu kepelbagaian bangsa.
Apakah itu perbezaan ras dan kumpulan etnik?
Adakah berbeza, Cina, Jepun dan Korea?
Dek kerana mereka daripada kecil hanya hidup dalam satu bangsa– Arab Mesir dengan kaum yang lainnya mengisi peratusan minoriti. Mereka tidak tahu membezakan kita antara Melayu, Dusun dan Cina.

“Mungkin.” getusku.

Tetapi bukan semua.

Hatiku agak berbunga gembira apabila bertemu dengan mereka yang orang kata ‘educated’. Mereka mengambil cakna dan turut meletakkan kaki mereka ke dalam kasut mahasiswa Malaysia. Malah, berasa kesal atas sikap sesetengah bangsa mereka.

Pokoknya, janganlah kita pula memukul rata,

“Semua Arab sama! Semua panggil aku Korona!”

Jangan!

Jangan terlalu cepat kita mengeneralisasikan semua benda. Bukan semua buah oren masam. Langit nan tinggi tidak sentiasa biru. Begitu juga manusia.

Percayalah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dengan herdikan dan ujian seperti ini, mungkin dapatku menyisip kesabaran di hati. Memupuk kembali rasa sabar yang semakin pudar agar tidak cepat melenting dan tidak akur dengan ego dan amarah dalam diri.

Setiap insan meneliti sesuatu kejadian dengan cara berbeza. Setiap hikmah yang dipetik pasti dengan berencam cara.

Engkau pula sang pembaca, bagaimana?

@FM, 2020
Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :