بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Akidah dalam Islam merupakan suatu kepercayaan atau keyakinan hati yang mengikat diri seseorang dengan agama Islam. Manakala, kepimpinan pula adalah sebahagian daripada Islam. Kepentingan kepimpinan dalam Islam disebutkan oleh Imam al-Mawardi (الأحكام السلطانية) sebagai:

 الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به

“Kepimpinan objektifnya sebagai pengganti Nabi dalam menjaga kepentingan agama dan mentadbir urusan dunia berdasarkan kepada agama.”

Imam al-Ghazali turut menjelaskan kepentingan kepimpinan dalam kitabnya (الإقتصاد فى الإعتقاد) dengan berkata:

 الدين أس والسلطان حارس وما لا أس فمهدوم و مالا حارس فضائع

“Agama merupakan asas dan kekuasaan adalah pengawal. Manakala barang yang tiada asas akan runtuh dan barang yang tiada pengawal sia-sia.”

Kepimpinan juga ditakrifkan sebagai suatu muamalah dengan tabiat manusia dan melakukan sesuatu yang berkesan terhadap tingkah laku manusia dan mengarahkan mereka ke arah matlamat yang nyata dengan cara yang menjamin ketaatan, kepercayaan dan penghormatan. Perkataan akidah pula ditadbirkan oleh al-Quran dengan iman yang menjadi dasar yang dibina di atas hukum syariat dalam segala aspeknya.

Maka, jelaslah di sini kepimpinan dalam Islam itu sudah pasti ada hubung kaitnya dengan akidah. Bermula daripada pemilihan pemimpin, kriteria yang perlu ada pada suatu sosok pimpinan serta tidak ketinggalan corak kepimpinan yang perlu untuk dilaksanakan agar hadaf1 penciptaan sebagai khalifah untuk memakmurkan muka bumi ini dapat dicapai.

Persoalannya, apakah aspek-aspek utama yang perlu dititik beratkan oleh seseorang pemimpin dalam membina sahsiah diri berpaksikan akidah yang benar?


Antara aspek tersebut, pertamanya adalah ilmu.

Seorang pemimpin hendaklah mengenal Islam dan yakin kepadanya. Akidah Islam itu tidak memadai dengan membaca dan memahami rukun Iman dan Islam, tetapi hendaklah mencakupi segala tasawwurnya sehingga dapat menterjemahkan Islam itu dengan maknanya yang syumulseperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Marilah sama-sama kita menyusuri kehidupan para sahabat dan para salaf as-Soleh terdahulu, yang tidak jemu mengutip mutiara-mutiara ilmu walaupun sudah lanjut usianya, terpaksa hadapi banyak kekangan bahkan ada yang perlu redah jauhnya perjalanan . Tidaklah mereka sanggup melakukannya melainkan mereka telah menyedari hakikat kepentingan sesuatu ilmu itu. Hal ini demikian, dengan ilmu daripada sumbernya yang sebenar bakal melahirkan akidah yang menggerakkan seseorang itu untuk beramal. Maka, ilmu yang tidak melalui cara yang sebenar hanyalah melahirkan ulama as-suk3  yang merosakkan, bukannya memimpin.

Firman Allah SWT:

“Dan bacakanlah (Muhammad) kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang yang sesat. Dan sekiranya Kami menghendaki niscaya Kami tinggikan (darjat)nya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah), maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya (juga). Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.”

(QS al- A’raf : 175-176)

Gambar ihsan Google Image

Sumber: Google Image

Selain itu, aspek kedua bagi persediaan pemimpin dalam membentuk sahsiah yang beraqidah ialah amal dan tazkiah4.

Dalam mencapai cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugasnya, perlu ada muhasabah ke atas diri sendiri serta  menyedari kedudukan diri dalam Islam. Dari segi iltizamnya serta tidak pula tertipu dengan segala amal yang disangka ada padanya kebaikan walhal amal itu hanyalah sia-sia.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah (Muhammad), “Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?”. (Iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya.”

(QS al-Kahfi : 103-104)

Keuntungan yang sebenar ialah keuntungan di akhirat dan ianya terdapat pada orang-orang soleh yang mengerjakan sesuatu kebaikan bermula daripada dirinya sebelum mengajak orang lain. Seseorang pemimpin Muslim itu hendaklah menjadi contoh kepada orang lain dengan amal-amal soleh yang lebih baik, seandainya tidak, dia lebih layak menjadi seorang penipu umat. Setiap orang yang melibatkan diri dengan gerakan Islam hendaklah menyedari bahawasanya jalan-jalan yang berdasarkan fikrah semata-mata tidak akan mendatangkan hasil yang baik, bahkan tidak akan menjadi pegangan yang kukuh dalam masa yang panjang jika tidak disertakan amal yang ikhlas kerana Allah SWT.

Sesungguhnya memilih jalan bagi menyuburkan hubungan dengan Allah SWT adalah suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Antara amalan yang boleh menghasilkan kekuatan rohani dan keyakinan yang kuat adalah mendirikan sembahyang-sembahyang wajib berserta sembahyang-sembahyang sunat , berpuasa sunat, zikrullah dan bersedekah. Pentarbiahan hati perlu diambil serius oleh setiap Mukmin khususnya pendokong cita-cita Islam supaya dapat melahirkan kecintaan kepada Allah SWT yang  kemudiannya akan melahirkan pengorbanan dan jihad serta sifat-sifat yang memenuhi ciri-ciri bagi mendapat pertolongan Allah SWT.

Sumber: Google Image

Aspek yang seterusnya ialah mehnah (ujian).

Seseorang itu boleh menepuk dada mengaku ikhlas, kuat, berani , bersedia untuk mati dan sebagainya. Maka, ujianlah suatu perkara yang baik bagi pentarbiahan jiwa orang-orang yang beriman. Allah SWT Yang Maha Mengetahui menguji dan mentarbiah hamba-hamba-Nya dengan ujian untuk mengisi sifat-sifat kesabaran, kesyukuran dan pembetulan-pembetulan jiwa kepada golongan-golongan Islam dan pimpinannya sehinggalah mereka layak bagi menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini. Itulah jawapan kepada persoalan mengapa golongan Islam ini diuji terlebih dahulu, sedangkan penegak kebatilan kelihatan bersenang-senang dan menang di peringkat awalnya? Mengapa kemenangan Islam itu diperlukan jarak masa yang sebegitu rupa? Persoalan yang lahir dari hati generasi pejuang Islam di sepanjang zaman. Justeru bagi golongan orang yang beriman yang telah memenuhi sifat-sifatnya, pasti akan dikurniakan kelebihan dan pertolongan Allah SWT sehingga membawa kemenangan di dunia dan akhirat.

Jelas sekali peranan seorang pemimpin amat penting dalam gerakan Islam. Kepetahan seseorang pemimpin itu bercakap tidak cukup untuk menjadikannya seorang pemimpin yang unggul bagi mengemudi suatu organisasi ke arah mencapai daulah Islamiah. Hal ini kerana, yang terpenting pada jati diri seorang Muslim itu ialah kefahaman dan keterikatannya dengan Akidah Islamiah. Peranan sebagai seorang pemimpin takkan mampu sempurna tanpa sahsiah kepimpinan yang sebenarnya. Tidak dinafikan kepentingan sifat-sifat lahiriah5 itu, namun seseorang pemimpin itu perlu sedar bahawasanya tanggungjawab dan amanah yang digalas itu sangatlah besar dan berat. Kepimpinan yang didasari akidah pasti ada padanya pertolongan Allah SWT sama ada pertolongan di dunia mahupun di akhirat kelak . Justeru, perlunya kebersihan jiwa yang lahir daripada kekuatan dan kemurnian akidah yang dibina dengan amalan-amalan soleh bagi meraih pertolongan Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT :

“Sesungguhnya penolongmu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, seraya tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sungguh, pengikut (agama) Allah itulah yang menang.”

( QS al-Maidah : 55-56 )

Sumber: Google Image

Kesimpulannya, agama (akidah, syariat dan akhlak) menjadi asas kepada semua perkara. Manakala kepimpinan adalah untuk menjaga kepentingan agama (maqasid syariah) iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Firman Allah SWT:

شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ ۚ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَنْ يُنِيبُ

“Dia telah mensyariatkan kepada kamu tentang agama (sebagaimana) apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya orang yang kembali (kepada-Nya)”

(QS as-Syura: 13).


Info:

1 Tujuan

2 Menyeluruh

3 Yang buruk

4 Pembersihan atau penyuburan. Dalam konteks ahli tasawuf, tazkiah merujuk kepada bersih daripada sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriah (Ibnu Arabi, t.thn: 389).

5 Pada lahirnya; tampaknya.


Rujukan: Siri 12, Aqidah & Kepimpinan, Manhaj Daurah Tadribiyyah
(karangan: Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)


Disediakan oleh:
Zainab Aqilah binti Azizan
Tahun 3, Kuliah Pergigian,
Universiti Iskandariah.

Disemak oleh:
Muhammad Aiman Hakim bin Ariffin
Tahun 5, Kuliah Perubatan,
Universiti Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :