Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan seterusnya atas penerus ajaran Baginda.

Kepimpinan merupakan suatu asas yang mesti wujud dalam semua kumpulan di mana-mana peringkat. Sama ada melalui pemilihan khas, ataupun memimpin dan terpimpin melalui naluri, maka urusan ini pasti ada bagi menguruskan komuniti yang ada, terlebih penting lagi bagi umat manusia yang hidupnya sentiasa bermasyarakat.

Justeru, Islam sangat mengambil berat akan urusan ini, hingga dinyatakan melalui sabda Nabi Muhammad SAW, mafhumnya,

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu dipertanggungjawabkan amanah yang dipimpinnya”.

(HR Bukhari dan Muslim)

Lumrahnya, perubahan masa akan sentiasa berlaku dan mencipta pelbagai catatan sejarah. PERUBATAN Cawangan Iskandariah, sebagai wadah kesatuan yang menaungi komuniti pelajar-pelajar sains kesihatan di bumi Iskandariah juga tidak terlepas daripada hambatan masa yang mendesak kepada silih ganti barisan kepimpinan.

Sabda baginda Nabi SAW:

“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka mereka hendaklah melantik seorang daripada kalangan mereka untuk menjadi ketua.”

(HR Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a.)

Justeru itu, Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Iskandariah telah diamanahkan untuk melantik Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC) untuk mengendalikan pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Iskandariah bagi sesi 2018/2019 bertepatan dengan tugas penasihat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PERUBATAN merujuk pada Perkara 5 (b), Fasal 30, Bab Keempat, telah memperuntukkan bahawa;

“Melantik Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) 2019 adalah sebuah badan bebas yang bernaung di bawah Jawatankuasa PIlihanraya PERUBATAN bertanggungjawab untuk memastikan proses pemilihan kepimpinan komuniti ini, iaitu pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) sesi 2020/2021 bagi PERUBATAN Cawangan (PC) yang berkenaan, supaya berjalan lancar dan selari dengan konsep demokrasi yang dibenarkan Islam. Justeru, gerak kerja yang amanah, cekap dan telus amat dititikberatkan dalam pergerakan jawatankuasa ini bagi memaksimumkan kualiti hasil yang bakal dikecapi bersama.

Berikut merupakan nama pengarah dan timbalan pengarah yang dilantik bagi Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Iskandariah:

Pengarah: Mohamad Shahirul Aiman bin Che Abd Aziz, Tahun 6 atas Kuliah Perubatan

Timbalan Pengarah: Nur Afifah Liyana binti Ahmad Refaei, Tahun 4 Kuliah Pergigian

Pada pemilihan AJKT bagi sesi 2020/2021, bilangan kerusi AJKT (tidak termasuk kerusi Pengerusi/Timbalan Pengerusi dan Majlis Tertinggi PERUBATAN) yang akan dipertandingkan adalah hanya sebanyak 4 kerusi berbanding 6 kerusi pada sesi-sesi yang lepas.

Perbincangan berkenaan dengan pengurangan bilangan kerusi AJKT ini telah diadakan sesama Lembaga Penasihat Cawangan (LPC) Iskandariah dengan merujuk kepada Lembaga Penasihat PERUBATAN (LPP). Pengurangan 2 kerusi AJKT pada kali ini adalah berikutan dengan kekurangan bilangan ahli di cawangan dan pengurangan bilangan kerusi ini diharapkan akan mengoptimumkan pergerakan diperingkat unit biro dan unit khas di bawah PCI.

Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada ahli jawatankuasa yang dilantik dan semoga perjalanan pilihanraya cawangan pada kali ini berjalan dengan lancar dan semoga kepimpinan PCI yang akan terpilih kelak dapat menggalas amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Seruan kepada Ahli,

Pilihan raya merupakan wadah kepada ahli untuk melantik pimpinan. Tugas melantik pimpinan merupakan tanggungjawab bersama. Justeru, pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN Cawangan Iskandariah untuk turut serta dan sama-sama melibatkan diri sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya pada bulan ini.

Kuasa pilihan di tangan anda. Sentiasalah amanah dalam mengendalikannya.

Wallahu taala a’lam.

#PERUBATANKelasPertama

#MemimpinGelombangISLAH

#PCIdihatikami

“Berkat, Telus dan Cekap”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Mohamad Shahirul Aiman bin Che Abd Aziz,

Ketua Penasihat,

Lembaga Penasihat Cawangan (LPC),

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2019/2020.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :