Alhamdulillah kita dikurniakan kesempatan dan peluang oleh Allah Taala untuk berada lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.  Ramadan semakin hampir ke penghujungnya, pasti pada waktu ini mahasiswa dan mahasiswi sedang bertungkus-lumus untuk meningkatkan amal kebajikan dan doa masing-masing. Namun begitu, sepanjang hampir sebulan yang berlalu ini cuba kita ambil masa seketika untuk muhasabah diri sendiri, khususnya akhawat yang berada di bumi Mesir ini.

Sumber: Pinterest

Musyrif: Nama yang Tidak Asing

Firman Allah Taala, “Dan hendaklah kamu wahai wanita duduk menetap di rumah kamu.” (Surah al-Ahzab: 33) Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, akhawat juga pasti tidak melepaskan peluang untuk meraih sebanyak mungkin pahala dan berusaha melakukan sebanyak mungkin amalan yang disukai Allah Taala. Tidak perlu untuk diceritakan di sini tentang perbahasan ulama berkenaan persoalan wanita lebih baik solat di rumah atau di masjid.  Persoalan ini telah pun diraikan oleh ramai ulama dan kalian boleh dapatkan penjelasan berkenaan hal ini dengan mudah. Cuma, satu persoalan yang ingin dilontarkan ialah solat Tarawih dan pilihan akhawat ke Maidah Rahman ketika bulan Ramadan ini, yang pastinya memerlukan akhawat untuk keluar dari rumah selepas waktu Maghrib.

Sudah pasti kita tidak asing lagi mendengar tentang musyrif, keperluan dan sebab kewajipannya di bumi Mesir. Firman Allah Taala dalam Surah al-Falaq ayat 3, “Dan aku berlindung daripada kejahatan malam apabila ia berlabuh.” Imam ar-Razi dalam Sofwah at-Tafasir Jilid 3 mengatakan, “Sesungguhnya kita disuruh supaya meminta perlindungan daripada kejahatan pada waktu malam kerana keluarnya binatang buas daripada sarangnya, singa atau para serangga daripada tempatnya, serangan para pencuri dan para penguasa (yang sombong), berlakunya kebakaran, serta sedikitnya pertolongan (yang dapat diberi).”

Sebenarnya banyak lagi pendapat ulama dalam membincangkan mengenai kewajipan musyrif yang lebih lanjut dan terperinci, maka cukuplah untuk dituliskan ringkas sahaja dalam artikel ini.

Bantuan Sudah Ada, Tinggal Minta Sahaja

Namun apa yang berlaku di kawasan kita diami ini, akhawat seakan-akan tidak bimbang walaupun tidak menggunakan khidmat musyrif pada waktu malam khususnya pada bulan Ramadan ini.  Hakikatnya, kewajipan untuk menggunakan khidmat musyrif tidak terangkat selagi mana malam berlabuh;  bermakna akhawat sewajarnya keluar pada waktu malam dengan menggunakan musyrif. Sudah pasti kebimbangan tersebut tidak melanda kerana belum heboh berita kejadian yang tidak diingini kepada sahabat akhawat sendiri. Ada juga segelintir di antara sahabat kita yang melencong ke tempat lain pula selepas berbuka puasa di luar rumah apatah lagi selepas solat tarawih.

Secara rasionalnya, kenapa perlunya untuk akhawat menggunakan musyrif? Tidak dapat tidak, hakikat yang perlu kita sedari ialah keselamatan akhawat di Mesir ini adalah menjadi tanggungjawab bersama-sama kerana keluarga kita tiada di sini.  Jika berlaku apa-apa kejadian yang tak diingini, sebagai contoh jatuh pengsan tiba-tiba di jalanan atau diancam oleh orang yang berniat jahat; sahabat handai ialah orang yang paling dekat untuk membantu.  Begitu juga dengan khidmat musyrif pada waktu malam. Adakah ada perbezaan bantuan yang boleh dihulurkan oleh seorang ikhwah yang bertindak sebagai musyrif dengan seorang sahabat akhawat, apabila seorang lelaki warga asing tiba-tiba bertindak jahat ke atas kita? Apatah lagi pada waktu malam, keadaan yang gelap-gelita dan sunyi-sepi, beberapa orang yang berada di jalanan belum tentu akan sudi membantu.

Sumber: Pinterest

Ikhwah: Adiwira yang Dihargai

Walaupun ramai akhawat akan berfikir, “bilangan ikhwah ramai, tapi musyrif sedikit”, itu bukanlah alasan untuk tidak menggunakan musyrif.  “Kesian dekat musyrif,” ini juga satu pemikiran yang perlu dihentikan.  Satu-satunya benda yang perlu dikasihankan ialah nyawa dan harga diri kalian sendiri yang kalian pertaruhkan saat kaki kalian langkahkan keluar dari rumah tanpa usaha menggunakan musyrif pada waktu malam.  Cara untuk tidak menyusahkan musyrif bukanlah dengan tidak menggunakan musyrif, namun:

  1. Hormati dan jaga kebajikan musyrif. Antaranya dengan meminta bantuan untuk musyrif pada awal waktu, bukan ‘last minute’. Minta pula perlulah dengan cara yang baik, perkenalkan diri dengan beradab dan patuh syariat.
  2. Elakkan keluar pada waktu malam jika tiada kepentingan yang mendesak. Keluar makan pada waktu malam bukanlah kepentingan yang mendesak. Ke masjid untuk solat sunat tarawih dan Maidah Rahman, adakah ianya keperluan yang mendesak? Jika perlu juga untuk ke masjid, gunakanlah musyrif. Jika nak juga ke Maidah Rahman, pulanglah dengan musyrif.
  3. Berikan penghargaan kepada musyrif sekurang-kurangnya ucapan terima kasih dan boleh juga hadiahkan sedikit saguhati seperti air kotak, biskut dan sebagainya. Misalnya, baru pulang daripada iftar jama’i, bungkuslah sedikit juadah berbuka tadi sebagai moreh untuk musyrif.

Sumber: Pinterest

Kesimpulan

Semoga Ramadan yang berbaki ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Ramadan tahun hadapan, harap-harapnya kita dapat perbetulkan kesilapan yang kita lakukan di samping melipatgandakan amalan. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Semoga kita disampaikan ke Ramadan akan datang insya-Allah.

Oleh: Zinnirah, Tahun 4 Perubatan

Disemak oleh: Nursabrina Farhanah Binti Mohd Sabri

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :