APA ITU EKONOMI ?

Menurut Wikipedia, ekonomi diambil daripada bahasa Greek ‘peraturan,’ : merupakan satu cabang sains sosial yang mengkaji pembahagian sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak manusia. Ini termasuklah kajian tentang pengeluaran dan penggunaan melalui pemboleh ubah yang dapat diukur, meliputi analisis pengeluaran, pengedaran, dan penggunaan barang dan perkhidmatan.

Ekonomi disebut sebagai positif jika ilmu ini berusaha untuk menjelaskan akibat dari berbagai pilihan yang ada untuk sekumpulan tanggapan-tanggapan tertentu, dan disebut sebagai normatif jika ia mensyaratkan tindakan yang harus diambil.

Sumber : Google Image

APA PULA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN IBADAT ?

Perkataan ibadat datang dari perkataan Arab. Dari segi bahasa bererti : patuh, taat, tunduk, menyembah dan menghambakan diri kepada sesuatu.

Dari segi istilah agama, ibadat bererti tindakan menurut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara-perkara yang disyariatkan oleh Allah dan diseru oleh para Rasul, sama ada berbentuk suruhan atau larangan.

Allah berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dia-lah Maha Pemberi Rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.”

[Adz-Dzaariyaat : 56-58]

 

BAGAIMANA IBADAH DAN EKONOMI SALING BERKAIT ?

Allah telah menurunkan syariat-Nya untuk mengajar manusia bagaimana seharusnya mereka hidup dan ber’muamalat’ sesama mereka. Semua isi syariat ini saling berhubungan dan tidak dapat dipisahkan. Tetapi ibadah yang hanya dilaksanakan tanpa ‘roh’ atau penghayatan, ia tidak akan banyak mengubah diri individu seseorang apatah lagi untuk memberi kesan kepada orang lain dan masyarakat.

Oleh kerana manusia sebagai pelakon utama dalam kegiatan ekonomi, maka secara tidak langsung kemantapan dan keutuhan seseorang individu akan memberi kesan kepada ekonomi dan persekitaran mereka. Apabila penghayatan berlaku di dalam ibadah yang dilaksanakan oleh setiap orang, maka secara automatik kesannya akan terpancar melalui semua aktiviti yang dilaksanakan. Sebaliknya jika penghayatan terhadap ibadah sendiri lemah, maka akan lahir individu yang longlai, lesu dan tidak mungkin akan memberi sumbangan yang besar kepada kegiatan seharian mereka dalam masyarakat.

Sumber : Google Image

CONTOH IBADAH YANG MEMBAWA KEPADA PEMBANGUNAN EKONOMI

 

  1. ZAKAT

Sejak awal penubuhan negara Islam Madinah,  telah menyaksikan peningkatan dan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan. Madinah yang asalnya hanyalah satu kampung kecil yang bergantung kepada tanaman kurma dan buahan lain telah menjadi maju dan berkembang besar dalam semua bidang. Tidak dapat ditolak lagi bahawa antara sebab pengembangan Kota Madinah ialah kerana sistem yang telah diperkenalkan oleh Islam di dalam semua aspek hidup masyarakatnya. Salah satu darinya ialah zakat. Keadaan ini telah menjadi lebih hebat selepas perkembangan negara Islam ke seluruh rantau dunia. Setiap negara yang berada di bawah pemerintahan Islam telah menjadi maju dan makmur jauh berbanding dengan negara-negara dunia yang pada masa tersebut masih berada di bawah paras kefakiran dan mundur.

Walaubagaimanapun, ketika Islam mula jatuh dan kemasukan unsur-unsur bukan Islam ke tanah-tanah umat Islam, maka kemunduran mula melata. Adakah zakat telah dimansuhkan di negara-negara Islam tersebut? Sejarah membuktikan bahawa tidak berlaku pemansuhan zakat di negara-negara Islam yang telah dijajah oleh kuasa luar tetapi apa yang berlaku ialah penghayatan terhadap ibadah zakat ini telah mula hilang. Zakat akhirnya hanya menjadi pembayaran beban dan seperti cukai yang dirasai memberati seseorang.

 

  1. HAJI

Pada hari ini haji telah menjadi satu penyumbang besar kepada ekonomi perjalanan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia. Tidak ada tumpuan yang besar ini berlaku pada umat-umat yang lain. Mengikut statistik terkini haji dan umrah, setiap tahun umat Islam yang menunaikan haji ialah lebih dari 2 juta orang dan yang datang menunaikan umrah pula melebihi 5 juta orang. Perolehan Arab Saudi pada tahun 2012 sahaja ialah 62 billion riyal Saudi hasil dari kedatangan pengunjung haji dan umrah.

Sebagai contoh sumbangan haji kepada ekonomi juga boleh dilihat pada Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia. Ianya ditubuhkan pada tahun 1963 dengan hanya modal RM152,000 daripada kerajaan. Tetapi pada hari ini ia memiliki harta aset lebih dari 63 billion Ringgit Malaysia (20 billion BND)

 

KESIMPULAN

Ibadat di dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohani dan jasmani. Tiap-tiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat, inilah kombinasi yang indah di dalam Islam yang tidak terdapat di dalam agama-agama lain.

Pintu untuk membuat ibadat adalah terbuka di semua penjuru. Semua aktiviti manusia sehingga makan dan minum pun boleh menjadi ibadat jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga bagi memperjuangkan perkara-perkara yang baik seperti yang disuruh oleh Islam.

 

Wallahu’alam, moga bermanfaat untuk semua.

 

Sumber rujukan :

  1. Kertas kerja Seminar Kebangsaan Syariah Fiqh Ibadah (Brunei)
  2. Pautan JAKIM
  3. ‘Wikipedia’

 

Disediakan oleh :

Husna Najihah, Tahun 2 Kuliah Pergigian,

JB-BIKON Familia.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :