بسم الله الرحمن الرحيم

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang menikmati nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan besar, baginda Nabi Muhammad SAW, keluarga dan juga sahabat-sahabat baginda. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan rahmatNya, dan sentiasa memperoleh petunjukNya dalam setiap urusan.

Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2018/2019 bersama Unit Akademik dan Kecemerlangan (SR) batch Exquisitus Perubatan telah pun melaksanakan beberapa perjumpaan bagi membantu pelajar yang hendak memohon diadakan winter course seperti sesi sebelumnya. Berikut merupakan hasil perjumpaan:

 

  1. Pelaksanaan winter course

Setelah beberapa perjumpaan yang telah diadakan bersama pihak universiti bagi membincangkan mengenai isu winter course, pihak universiti telah mengeluarkan keputusan muktamad bahawa winter course tidak akan dilaksanakan pada tahun ini. Keputusan ini merupakan kata putus dari Dean dan Vice Dean atas beberapa sebab penting hasil daripada perbincangan mereka bersama Dr Hala.

Antara perkara yang membawa kepada keputusan ini ialah hasil yang kurang memberangsangkan daripada winter course yang telah dilaksanakan pada tahun lepas. Sebilangan kecil sahaja daripada keseluruhan pelajar yang menduduki winter course lulus bagi kesemua peperiksaan yang diambil dan berjaya menaiki tahun. Dinyatakan juga bahawa bebanan yang tinggi dihadapi pelajar apabila mereka perlu mengulangkaji dan menghabiskan beberapa peperiksaan dalam jangka masa yang singkat.  Hal ini boleh membawa kepada kurang kualiti pelajaran lantas menyebabkan pelajar tidak dapat menjawab peperiksaan dengan baik.

Selain itu, Dr Hala turut menyatakan bahawa pelaksanaan winter course sebenarnya adalah bersalahan dengan peraturan universiti sendiri. Seorang pelajar haruslah menamatkan tahun pengajian pra-klinikal sebelum masuk ke fasa klinikal. Dr Hala juga berkata bahawa pengendalian dan teknikaliti yang perlu disusun dalam jangka masa pendek akan menyebabkan pelaksanaan yang kurang teratur dan efektif lalu membawa kesukaran kepada pelajar sendiri.

Perbincangan antara wakil pelajar dan Pengarah Pejabat MARA Mesir, Ustaz Abdullah Bin Samsudin juga telah diadakan. Ustaz Abdullah sedia membantu dan juga telah diusahakan untuk dibawa berbincang bersama pihak univeristi. Namun, pihak univerisiti sekali lagi menegaskan bahawa keputusan yang telah dikeluarkan adalah muktamad dan tiada keperluan dibawa berbincang perkara ini. Hal ini bukan semata-mata atas kemahuan tetapi atas timbang tara beberapa perkara penting serta kesan yang akan perlu dihadapi setelah perlaksanaanya. Oleh itu, pihak kami menghormati keputusan pihak univeristi.

 

  1. Pelaksanaan Peperiksaan Ulangan

Pelaksanaan peperiksaan ulangan akan berlaku seperti sistem sebelum ini dimana pelajar akan mengambil peperiksaan bersama pelajar tahun pra-klinikal semasa. Peperiksaan yang perlu diambil hanyalah peperiksaan Practical (40%) dan End of Semester (60%). Bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan bagi modul-modul tahun, mereka tidak perlu mengambil peperiksaan bersama pelajar tahun 1 semasa dan akan diadakan peperiksaan yang khas dimana akan dimaklumkan kemudian. Bagi peperiksaan modul-modul tahun 2 dan 3 akan diambil bersama pelajar tahun 2 dan 3 semasa.

 

  1. Yuran Peperiksaan Ulangan

Yuran yang telah ditetapkan ialah 2000 USD bagi 1 Modul. Bagi mereka yang mempunyai 4 modul dan ke atas maksimum pembayaran hanyalah 8000 USD. Pembayaran boleh dilakukan dalam bentuk bank draft ataupun wang tunai. Pendaftaran dan urusan pembayaran yuran boleh dibuat pada Madam Amal di pejabat aras bawah, Pusat Konvensyen Kuliah Perubatan.

 

  1. Inisiatif Tambahan bagi membantu Ahli

Biro Akademik juga akan cuba menyusun kelas-kelas tambahan bagi membantu para pelajar dalam menghadapi peperiksaan. Sebarang persoalan juga boleh diajukan kepada Biro Akademik berkaitan seberang isu mengenai peperiksaan ulangan.

 

Akhir kata, kami amat berharap agar apa yang dihadapi kalian mengenai perkara ini dipandang dengan positif dan tidak berputus asa dalam menggapai kejayaan dalam pembelajaran. Allah SWT berfirman di dalam kitab suci al-Quran,

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”- Surah al-Baqarah, ayat 216.

Semoga segala usaha kita dalam menuntut ilmu diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan. Selamat maju jaya untuk semua.

 

Sekian, Siirru a’la barakatillah.

“Achieve the Highest, Improve Others”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

Yang menjalankan tugas,

Muhammad Afif Sidqy bin Abdul Rahim

Ketua Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2018/2019.

 

Syahindah binti Kamaruddin

Timbalan Ketua Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2018/2019.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :