Sumber : Google Image

“Sekarang akan muncul di hadapan kamu lelaki ahli syurga,” kata Rasulullah saw kepada sahabat. Siapakah gerangan Saad Abi Waqas ini sehingga Rasulullah sendiri telah menjanjikan syurga buatnya? Saad Abi Waqas adalah salah seorang sahabat yang terawal memeluk Islam. Walaupun mendapat tentangan yang keras daripada ibunya, beliau masih teguh menjaga keimanannya. Ibunya menentang ke-Islamannya dengan pelbagai cara agar anaknya tidak memeluk Islam sehingga sanggup mogok makan. Namun Saad Abi Waqas tetap teguh dengan pendiriannya lalu berkata, “Wahai ibuku, demi Allah, jika ibu mempunyai seratus nyawa dan nyawa itu hilang satu demi satu aku tidak akan meninggalkan agamaku ini.”

Ibu Saad Abi Waqas sangat kecewa dan menghalaunya keluar dari rumah sehelai sepinggang. Setelah itu Saad telah mengikuti hijrah ke Madinah. Antara kelebihan Saad Abi Waqas adalah setiap panahannya tepat mengenai sasaran dan doanya sangat mustajab. Hal ini kerana, Rasulullah pernah mendoakannya, “Ya Allah, jadikanlah sasaran panahnya tepat dan makbulkan doanya.” Saad Abi Waqas juga merupakan salah seorang sahabat yang dijanjikan syurga. Pada suatu hari, Rasulullah sedang berbual bersama sahabat. Tiba-tiba baginda berkata, “Sekarang akan muncul di hadapan kamu seorang lelaki ahli syurga.” Para sahabat ternanti-nanti siapakah gerangan yang diperkatakan oleh Rasulullah.

Tidak lama kemudian, muncul Saad Abi Waqas di hadapan mereka. Para sahabat tertanya-tanya apakah ibadat yang dilakukan oleh beliau sehingga mendapat kedudukan yang tinggi. Saad Abi Waqas menjawab, “Aku beribadat sama seperti kamu. Cuma aku tidak pernah menyimpan perasaan dendam atau berniat jahat terhadap kaum muslimin.” Begitulah cerita ringkas tentang Saad bin Abi Waqas.

Semoga mendapat manfaat daripada tulisan ini.

Karya:

Fatin Ayuni binti Ahmad Fadhil,

Tahun 3 Pergigian Universiti Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :