Sumber : Google Image

Pendahuluan

Bidang reka grafik bukan lagi satu bidang yang asing dalam kalangan pelajar di bumi Mesir. Walaupun ramai pelajar yang sibuk menelaah pelajaran lebih-lebih lagi kita berada dalam jurusan sains kesihatan ini, namun tidak kurang yang ada minat terhadap bidang kemahiran luar kelas yang mana menjadi nilai tambah kepada mereka. Sebagai contohnya bidang reka grafik, yang kalau dilihat dengan skop lebih global mampu menjanjikan pulangan lumayan jika dijual atas permintaan syarikat-syarikat. Oleh sebab itulah, pereka grafik merupakan salah satu kemahiran yang dilakukan di belakang tabir dan ganjarannya bukanlah lahiriah bahkan mendidik erti itqan dan ihsan dalam diri. Menjadi seorang pereka grafik bukan mudah. Banyak dugaannya kerana untuk menilai sesuatu rekaan itu sebagai “cantik” ialah sesuatu yang subjektif.

 

Ikhlas

Dalam setiap apa pun yang kita lakukan amatlah penting untuk kita memiliki keikhlasan. Nilai ikhlas ini bukanlah untuk keuntungan sesiapa pun, bahkan untuk diri kita sendiri. Allah Taala berfirman, “Supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk: 2) Al-Fudail bin ‘Iyadh berkata, “Apabila amal dilakukan dengan ikhlas namun tidak menepati ajaran Nabi Muhamad saw, amalan tersebut tidak akan diterima. Begitu pula, apabila suatu amalan dilakukan mengikuti ajaran baginda saw namun tidak ikhlas, amalan tersebut juga tidak akan diterima. Amalan barulah diterima jika terdapat syarat ikhlas dan sawab. Amalan dikatakan ikhlas apabila dikerjakan semata-mata kerana Allah. Amalan dikatakan sawab apabila menepati ajaran Nabi Muhamad saw.”

 

Tidak Mudah Melatah dan Syok Sendiri

Menjadi seorang pereka grafik pasti menuntut komen daripada pihak yang telah ditugaskan untuk membetulkan apa yang silap dan apa yang perlu ditambah baik. Oleh hal yang demikian, jika kita mudah berkecil hati apabila ditegur rugilah kita kerana sebenarnya proses kita membaiki rekaan grafik kita ialah satu peluang untuk kita belajar lebih banyak perkara. Semestinya teguran daripada pihak bertugas sepatutnya teguran membina agar dapat menjaga hubungan baik dengan barisan pereka grafik. Kita rasa rekaan kita sudah cantik tapi kenapa tetap juga ditolak? Kelak kita akan faham juga bila lihat kembali rekaan tersebut. Bidang ini menuntut kita untuk berjiwa besar dan tidak mudah perasan sendiri dengan membaiki gaya dan idea dari semasa ke semasa.

 

Jangan Bunuh Idea Pereka Grafik!

Acapkali jika didatangkan sebuah rekaan, ada yang ditolak bulat-bulat kerana tidak menepati piawaian pihak bertugas. Perlu diingatkan bahawa tiada piawaian khusus bagaimana sesebuah rekaan tersebut dikira lulus, bahkan hanya diadili atau dibetulkan mengikut pengalaman pihak yang lebih arif dalam bidang ini. Jika rekaan tersebut memang layak untuk direka semula mengikut pertimbangan yang lebih arif dan berpengalaman, maka tiada masalah. Tetapi adalah lebih baik andai kata pereka tersebut dibimbing supaya idea asalnya berkembang seiring dengan kehendak pihak bertugas. Pereka grafik perlu sabar dan reda andai rekaan anda ditolak bulat-bulat, usahalah dengan lebih baik pada masa akan datang. Usaha bukan sahaja buat poster dan sebagainya namun juga dengan mengkaji rekaan menarik supaya dapat menghasilkan rekaan yang lebih segar.

 

Toleransi dan Persefahaman dalam Pekerjaan

Ibarat satu kapal, semua pihak adalah berperanan dalam menggerakkan bahtera yang berlayar demi memastikan kapal sampai ke destinasi dalam keadaan yang selamat. Pereka grafik dan pihak bertugas perlu saling bertoleransi dan memenuhi kehendak masing-masing dengan cara yang baik. Dalam pekerjaan pasti ada sedikit pergeseran yang boleh berlaku. Selesaikanlah dengan cara yang berhemah dan masalah tersebut usah dibiar membengkak. Kita yang mencipta suasana kerja kita, sama ada menyeronokkan ataupun menekan perasaan. Biarlah berada dalam bidang kemahiran ini menjadi sebuah pengalaman yang manis dan tidak dipatahkan oleh usia. Yang baru belajar jangan ego menerima teguran manakala yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini pula usah malu untuk mengajar. Amalkan sikap bertimbang rasa terhadap satu sama lain. Sekiranya masa terhad, boleh utamakan yang penting dan elakkan kerja saat akhir.

Sumber : Google Image

Minat Sebagai Pereka Grafik

Industri kreatif bukan sekadar telah sekian lama tumbuh di Malaysia malah turut memacu perkembangan ekonomi negara. Dilaporkan peluang pekerjaan dalam industri kreatif juga mendaftarkan sebanyak 10.7 peratus kadar pertumbuhan. Antara bahagian industri kreatif ini termasuklah bidang reka grafik. Sekiranya minat anda terhadap bidang reka grafik ini tinggi, tidak mustahil untuk anda menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan sampingan. Menjadi seorang pereka grafik menuntut anda untuk memiliki pengalaman yang tinggi dan ada portfolio yang baik untuk terlibat dalam projek tertentu. Ketika alam pengajian ini, tuntutlah ilmu dan pengalaman sebaik mungkin. Mahir guna perisian Adobe Photoshop atau Adobe Illustrator bukanlah lesen besar untuk anda bergelar pereka grafik. Jika anda berminat namun tiada yang ingin mengajar kerana anda tidak tahu menggunakan perisian ini, terokailah sendiri dan banyakkan bertanya. Lama-kelamaan pasti ada ilmu baharu bertambah, tinggal mahu atau tidak sahaja. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

 

Penutup

Dalam setiap apa pekerjaan yang kita lakukan, terapkanlah nilai profesionalisme dalam diri terutamanya dalam pengurusan masa, etika bekerja, hormat-menghormati dan sebagainya. Alam pengajian merupakan satu tempoh masa kita menyiapkan diri untuk menghadapi dunia luar yang lebih mencabar lebih-lebih lagi alam pekerjaan. Tambahlah kemahiran lain dalam diri, bukan sekadar menjadi ulat buku yang takut dengan sinaran matahari luar dan gunakan ia untuk manfaat Islam bukanlah semata-mata keuntungan diri sendiri. Adakah menjadi pereka grafik bermakna tidak perlu untuk mengikuti dan menyebarkan syariat Islam? Sebenarnya setiap Muslim berperanan dalam memastikan Islam diamalkan dengan sepenuhnya apatah lagi seorang pereka grafik yang berperanan menghasilkan medium sebaran dalam bentuk kreatif. Selamat menjadi Muslim yang bermanfaat.

 

Karya,

Zinnirah, Tahun 3 Kuliah Perubatan

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :