Sumber : Google Image

Mencari sumber pendapatan yang halal dan membelanjakannya dengan cara yang baik dan adil adalah merupakan kewajipan setiap muslim. Islam menegah harta dipusingkan dalam kalangan orang kaya dan golongan tertentu sahaja. Islam juga menekankan konsep wasatiyah dalam menguruskan ekonomi, tidak bakhil dan tidak boros. Hasil bumi adalah kurniaan daripada Allah Taala dan sepatutnya diusahakan oleh manusia dengan berhemah tanpa melakukan kezaliman. Dalam ekonomi, Islam tidak sesekali meminggirkan aspek ini bahkan telah menggariskannya dengan jelas seperti yang dibahaskan oleh ulama’. Antara ciri-ciri yang digariskan ialah :

  1. Rabbani

Ekonomi Islam bertunjangkan ciri Rabbani kerana ia adalah daripada Allah Taala, matlamatnya adalah untuk Allah Taala dan wasilahnya berpandukan syariat Islam. Firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah ayat 68 yang bermaksud, “Wahai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu.” Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan haram itu jelas.” Oleh sebab itu, individu muslim seharusnya jelas menilai yang mana halal dan haram berpandukan panduan syariat yang diturunkan kepada sepanjang zaman.

  1. Akhlak

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Akhlak dari sudut bahasa bermaksud tabiat dan perangai manakala dari segi istilah seperti yang ditakrifkan Imam al-Ghazali, “Satu ibarat mengenai unsur yang konkrit di dalam diri yang dengannya melahirkan tingkah laku secara spontan.” Islam tidak membenarkan manfaat keuntungan ekonomi secara cepat yang boleh merosakkan kehidupan manusia dan negara, sebagai contoh judi atau bisnes arak yang mampu memberikan pulangan berjuta-juta ringgit namun meruntuhkan akhlak dan sistem sosial masyarakat.

  1. Kemanusiaan

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Mereka bertanya kepada kamu apa yang mereka nafkahkan. Jawablah, apa saja harta yang baik kamu nafkahkan hendaklah diberi kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 215) Antara ciri-ciri kemanusiaan ialah kebebasan dan kemuliaan manusia, melaksanakan keadilan antara manusia, persaudaraan dan pertolongan dan belas-kasihan terhadap setiap manusia.

  1. Seimbang

Ekonomi Islam adalah seimbang antara kepentingan individu, masyarakat dan negara. Ekonomi Islam juga seimbang antara keperluan dunia dan akhirat, roh dan jasad, akal dan hati, teori dan praktikal. Allah Taala berfirman dalam Surah ar-Rahman ayat 7-9 yang bermaksud, “Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia yang meletakkan neraca keadilan supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu. Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” Apabila batas halal dan haram dicabuli, maka akan terbentuk sistem ekonomi yang merosakkan dan mencengkam masyarakat.

Sudah terang lagi bersuluh, ekonomi yang digariskan oleh Islam adalah berbeza dengan kapitalisme yang merupakan salah satu ideologi manusia yang sempit dan menyeleweng. Sebagai contoh, agenda untuk memonopoli minyak menjadi antara sebab berlakunya peperangan antara negara kapitalis yang merupakan kuasa besar di dunia. Antara implikasi kepada sistem kapitalis ini ialah pengangguran membanjiri, pembaziran berleluasa dan ketidakadilan kepada golongan penghasil seperti nelayan, buruh dan petani menatijahkan taraf hidup masyarakat yang pincang. Kemewahan dan kesenangan diperoleh yang tidak mempunyai nilai keberkatan merupakan jalan hidup yang patut dijauhi oleh orang yang beriman.

 

Oleh:

Amyrah Aina binti Mohd Zamri, Tahun 3 Perubatan

16 Julai 2018.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :