Melihatkan nuansa langit yang hening dengan awannya. Moga nuansa hanya di mata namun minda tetap peka dan tahu akan hukum yang sebenarnya. Bicara tentang kehidupan, hidup yang hanyalah sebuah perjalanan, penuh onak dan pilihan dalam perjalanan yang penuh cabaran. Masih di awal umur remaja, tidak aku nafikan, umurku ini, banyak pilihan dan cabaran yang mencabar naluri keremajaan. Namun aku tahu, setiap yang telah ditetapkan, punya hikmah bagi kita menjalani kehidupan dengan pengamalan ilmu sebagai seorang muslim yang sebenar.

Zaman pembelajaran tingkatan yang ketiga dalam kehidupan, merupakan zaman di mana umur membolehkan seseorang mula memakai gelaran mahasiswa dan mahasiswi di pusat pengajian. Zaman di mana pengolahan ilmu mula bergantung kepada diri sendiri. Di mana kita yang perlu bijak mencari ilmu yang sebenar dan mengamalkan sejajar dengan tujuan mempelajari ilmu. Usai sudah dua tingkatan pembelajaran yang berlaku di sekolah rendah dan menengah, di mana kita diajarkan tentang asas pelbagai cabang ilmu. Lalu mampu memilih pengkhususan ilmu dalam peringkat pembelajaran yang seterusnya. Namun sedarkah kita, agama merupakan aspek ilmu yang selamanya akan terus kita pelajari dan amalkan dan akan semakin bertambah dengan pemahaman Islam yang sebenar?

Pemahaman Islam yang sebenar hanya akan diperoleh apabila kita sedar tanggungjawab untuk mendidik diri dengan menghadiri kelas agama dan bertanya kepada yang merupakan ahlinya atau yang mempelajari pengkhususan ilmu tersebut. Jika dalam keadaan kita di sini, kelas tafaqquh adalah salah satu medium yang boleh kita hadiri selain daripada membaca dan mendengar ceramah secara maya. Untung pelajar di sini, penat belajar di fakulti enam hari, hari Khamis yang lapang ada kelas tafaqquh di malam hari untuk kita rehatkan minda dengan ilmu yang perlu kita pelajari. Jiwa remaja yang lebih sukakan kerehatan, namun ketika mindamu sedar kau perlukan ilmu lagi, digigihkan kaki bersiap menuju ke fakulti. Gigih tapi itulah yang perlu jiwa remaja mu sedar. Betapa beruntungnya kita di bumi ini, masih ada pelajar jurusan agama yang mahu berkongsi ilmu yang mereka pelajari. Sedang aku tahu, jika langkahku dahulu ke seberang sana, belum tentu akan aku kenali dan pelajari selok belok ilmu agama yang tidaklah seberapa dalam diri ini.

Makin kerap menghadiri kelas tafaqquh, makin aku kenali bagaimana tahap ilmu sebagai seorang Islam yang perlu aku ketahui. Banyak rupanya yang belum diketahui dan ada pula perbahasan ilmu disebalik apa yang telah kita ketahui hatta seringkas tajuk sirah nabawi. Pasti ada sahaja benda baharu yang boleh dikongsi terutamanya dalam “Smart Circle” atau bulatan gembira ku nanti. Perkongsian ilmu yang bukan biasa-biasa walaupun kelihatan bersahaja merapatkan ukhwah kami dalam saling mengingati. Pernah aku terkesima sendiri,

“Kenapa aku tiada topik atau sesuatu yang boleh aku berkongsi agar mereka turut tahu dan memahami seperti mana aku yang mencari?” bentak diriku sendiri.

Bermaksud banyak lagi yang belum aku ketahui dan kalau kita mahu berkongsi sesuatu kebaikan, biarlah kita sendiri tahu dan memahami ilmu itu sendiri. Caranya adalah dengan menghadirkan diri ke kelas tafaqquh juga kan? Maka rajinkanlah diri di usia mudamu. Kehadiranmu ke kelas tafaqquh, hanyalah untuk kefahaman dirimu sendiri agar pasak ilmu agamamu kukuh teguh. Agar bila mana kita mahu berkongsi ilmu, kita punya asas, dalil dan kefahaman ilmu yang benar untuk kita terangkan dan mengajak orang untuk memahami dan beramal dengan perkara yang baik. Bukankah orang yang mengajak kepada arah kebaikan itu beruntung?

Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw, sabdanya: “Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka.” (Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Dan aku makin sedar, sambil aku mendidik diriku, aku mendidik jiwaku sebagai seorang anak buat ibu bapaku, sebagai seorang kerabat yang baik dalam salasilahku, sebagai seorang sahabat kepada taulanku, sebagai seorang yang bakal menjadi seorang ibu bapa buat bakal keturunanku dan yang paling penting, sebagai seorang hamba yang soleh dan solehah untuk Rabb-ku. Maka dengan mendidik diri dengan ilmu, aku mendidik diriku menjadi insan yang mahu mencintai-Nya dengan ilmu, dan meninggalkan larangan-Nya dengan ilmu, bukan kerana takutkan manusia yang mengingatkan, tetapi kerana mencintai-Nya dengan ilmu, jiwa hambaku patuh dengan perintahnya untuk berbuat “amar makruf, nahi mungkar.”

Firman Allah SWT, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 71)

Semuanya bermula dengan ilmu, dan aku masih mendidik diriku sendiri hingga kesempatan dan masa berlalu pergi, selagi nafas diberi Ilahi buat sedetik lagi untuk kita renungi. Dengan ilmu, kita akan tahu di mana pemisah antara hak dan batil seperti mana ufuk bumi memisahkan antara langit dan lautan dalam suatu pemandangan, suatu yang jelas kelihatan antara kebenaran dan kebatilan.

 

Karya,

Siti Amalina binti Sanusi, Tahun 5 Kuliah Perubatan.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :