Sumber : Google Image

 

“Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan dikuburkan di bawah kubu Konstantinopel.” Siapakah gerangan sahabat yang disebutkan oleh Rasulullah saw itu? Mesti tertanya-tanya bukan? Tak kenal maka tak cinta. Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib. Beliau merupakan salah seorang tokoh yang sangat hebat dan menjadi contoh teladan kepada ramai orang. Abu Ayyub bukan sahaja mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah swt, bahkan beliau turut menjadi inspirasi kepada kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih yang telah berjaya menakluki Konstantinopel. Hebat bukan?

 

IMPIAN MENJADI KENYATAAN

Ketika peristiwa hijrah, Rasulullah saw dan para sahabat telah berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Oleh itu, ramai pembesar Madinah sangat menginginkan Rasulullah agar tinggal di rumah mereka. Tidak terkecuali Abu Ayyub. Berkat doa beliau yang bersungguh-sungguh, Allah telah pun memperkenankan doanya. Ditakdirkan ketika Rasulullah sampai di Madinah, unta Rasulullah telah berhenti di hadapan rumah Abu Ayyub. Maka tinggallah Rasulullah di rumah Abu Ayyub selama 7 bulan lamanya. Sepanjang keberadaan Rasulullah di rumah beliau, beliau dan isterilah yang bertanggungjawab menjaga makan dan minum Rasulullah. Mereka sangat menghormati Rasulullah. Abu Ayyub dan isteri akan makan selepas Rasulullah habis makan.

 

RELA KESEJUKAN

Rumah Abu Ayyub al-Ansari mempunyai dua bahagian iaitu tingkat atas dan tingakat bawah. Pada mulanya, Abu Ayyub telah mempelawa Rasulullah agar tinggal di tingkat atas. Hal ini kerana beliau berasa kurang senang jika kakinya berada di atas kepala Rasulullah. Tetapi Rasulullah telah menolak permintaan itu atas sebab baginda lebih selesa berada di tingkat bawah kerana ingin menyambut para tetamu yang hadir. Suatu hari, satu bekas air telah pecah dan menyebabkan air bertakung di lantai tingkat atas. Air tersebut hampir menitik ke tingkat bawah. Abu Ayyub dan isterinya berasa agak cemas dan telah mengelap air tersebut menggunakan kain selimut mereka kerana khuatir air tersebut akan menitik terkena Rasulullah di tingkat bawah. Abu Ayyub dan isterinya rela menahan kesejukan memakai selimut basah yang digunakan untuk mengelap air yang tumpah itu. Begitulah pengorbanan para sahabat dek kerana kasih mereka terhadap Rasulullah yang tidak berbelah bahagi. Setelah kejadian itu, Rasulullah telah bersetuju untuk tinggal di tingkat atas.

 

IDOLA DALAM USAHA MEMBEBASKAN KOTA KONSTANTINOPEL

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandernya adalah sebaik-baik pasukan.” (HR Ahmad bin Hanbal) Setelah mendengar hadis Rasulullah berkaitan Konstantinopel, Abu Ayyub al-Ansari adalah salah seorang sahabat yang bersungguh-sungguh untuk menyertainya. Tetapi kali ini, Allah tidak memakbulkan doanya. Beliau syahid ketika zaman pemerintahan Muawiyah bin Zaid ketika berumur lingkungan 80-an. Sebelum beliau syahid, beliau telah mewasiatkan agat jasadnya disemadikan di bawah kubu Konstantinopel. Hal ini kerana, beliau ingin sekali mendengar derapan kuda sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera ketika hendak masuk ke Konstantinopel. Indah bukan?

Begitulah kisah salah seorang sahabat Rasulullah yang sangat mulia sehinggakan beliau telah menjadi inspirasi kepada kejayaan penaklukan Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Dari Ali Muhammad as-Sallabi ada menukilkan kata Sultan Muhammad Al Fateh, “Sesiapa yang ingin bertemu Abu Ayyub al-Ansari, ayuh ikutku mara menentang Byzantine!” Semoga kita turut mempunyai semangat juang yang tinggi seperti Abu Ayyub al-Ansari. Mungkin kita tidak mampu untuk membebaskan Konstantinopel dari cengkaman Byzantine, tapi cukuplah jika kita mampu membebaskan diri kita dari cengkaman jahiliyyah.

 

Karya 8272km dari Konstantinopel:

Fatin Ayuni binti Ahmad Fadhil,

Tahun 3 Pergigian Universiti Iskandariah.

 

Sumber: Wikipedia, Buku Sound Direct oleh Ustaz Abdullah Khairi

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :