UCAPAN DASAR PENGERUSI PERSATUAN PELAJAR-PELAJAR SAINS KESIHATAN MALAYSIA-MESIR (PERUBATAN) CAWANGAN ISKANDARIAH SESI 2018/2019

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Muqaddimah

Mesyuarat Tahunan Cawangan ataupun MTC yang diadakan setiap tahun ini adalah sebagai satu wasilah untuk ahli memberi komentar, muhasabah ataupun cadangan kepada para pimpinan khususnya, para penggerak dan ahli dalam menambah baik prestasi gerak kerja persatuan yang kita sayangi ini. Pada hari ini para perwakilan diberi ruang untuk bersuara secara terbuka bagi melontarkan persoalan, mendapatkan penjelasan dan menyuarakan segala hasrat hati. Hal ini menunjukkan bahawa PCI bukanlah milik dan hak para pimpinan namun PCI adalah hak dan milik kita semua. Justeru, ahli mestilah bersifat proaktif dan sentiasa memberi cadangan penambahbaikan, muhasabah dan kritikan-kritikan membina dan juga pada masa yang sama berusaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Para pimpinan pula perlulah mengambil kira suara-suara ahli dalam melaksanakan gerak kerja dan berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi kehendak ahli. Dengan wujudnya sinergi ini, PCI akan bergerak laju dan lebih progresif dalam keadaan suasana yang harmoni.

Sebelum meneruskan ucapan dasar ini, marilah kita bersama hayati firman Allah SWT, dalam ayat ke 35 Surah Al-Maidah yang berbunyi:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱبْتَغُوٓا۟ إِلَيْهِ ٱلْوَسِيلَةَ وَجَٰهِدُوا۟ فِى سَبِيلِهِۦ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya), dan berjihadlah (berjuanglah) pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan” (Surah Al-Maidah: 35)

 

Menerajui PCI yang Progresif

Tanggal 13 Oktober 2006 merupakan lakaran sejarah yang sangat penting bagi warga PCI kerana tarikh keramat tersebut merupakan tarikh penubuhan PERUBATAN Cawangan Iskandariah yang kita cinta dan semat dalam hati-hati kita. Sejajar ke arah ulang tahun penubuhan kali ke-12 pada 13 Oktober akan datang, PCI sesi 2018/2019 membawa satu pendekatan baru iaitu “Menerajui PCI yang Progresif” sebagai anjakan paradigma dengan harapan kita sama-sama dapat menggerakkan PCI ke arah lebih matang dan membangun.

Sebagai persatuan induk di bumi Iskandariah, PCI sentiasa mengorak selangkah demi selangkah kehadapan dalam menilai perihal survival ahli dari pelbagai aspek dan membentuk sinergi pergerakan secara kolektif dalam membawa ahlinya untuk terus maju walau dalam mengharungi arus dunia yang mencabar ini.

 

4 Misi PERUBATAN Asas Penerajuan

Berpandukan visi “PERUBATAN sebagai Wadah Integrasi dalam Membentuk Professional Sains Kesihatan yang Rabbani dan Kompeten”, serta saya mengklasifikakan lagi kepada 4 Misi PERUBATAN iaitu:
1. Membentuk mahasiswa PERUBATAN berdaya saing ke arah melahirkan pengamal sains kesihatan yang kompeten. (Akademik)
2. PERUBATAN sebagai medan penghayatan Islam. (Pembangunan Insan)
3. Mempererat ukhuwah Islamiah dalam kalangan masyarakat PERUBATAN. (Kesatuan)
4. Menerapkan nilai profesionalisme dan berintegriti dalam mahasiswa PERUBATAN. (Profesionalisme)

Melalui keempat-empat misi ini, akan diketengahkan objektif-objektif sebagai mekanisme pelaksanaan dalam pembawaan PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2018/2019.

 

  1. Akademik Tunjang Pergerakan

Ilmu merupakan perkara yang sangat penting bagi kita sebagai umat Islam kerana ilmu adalah kunci bagi kefahaman dan kefahaman yang mendorong kita untuk kekal bergerak dalam lapangan amal. Di dalam Al-Quran, Allah sering gariskan berkenaan tingginya darjat orang yang berilmu jika dibandingkan dengan mereka yang tidak berilmu. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mujadalah ayat ke-11 yang bermaksud:

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.

Dalam skop kita sebagai mahasiswa sains kesihatan, adalah kewajiban bagi kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu yang berkaitan dengan kita. Hal ini kerana telah terpundak di atas bahu kita fardu ain bukan lagi fardu kifayah kerana kita sudah berada dalam jalur bidang tersebut dan menyedari akan kepentingan ilmu supaya kita dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Malaysia kelak.

Berbicara dalam konteks akademik, terdapat beberapa perkara yang PCI gariskan dalam pemerkasaan akademik yang menjadikan ‘core business’ kita di sini. Pada sesi kali ini, PCI akan cuba memfokuskan beberapa program dan aktiviti akademik yang bersesuaian dengan keperluan ahli. Dalam harapan peningkatan peratusan ahli yang cemerlang, Bengkel Kecemerlangan Akademik bagi setiap batch adalah satu kemestian untuk dilaksanakan serta dengan tambahan medan perkongsian akademik melalui medium alam maya dan perbincangan dalam skop sains kesihatan bagi meninggikan lagi gelombang ilmu di Iskandariah sebagai persediaan peperiksaan kepada ahli. Selain itu, kesedaran dan motivasi ahli perlu ditingkatkan dengan pelaksanaan penganjuran motivasi kecemerlangan akademik menjelang musim peperiksaan dan penghargaan kepada ahli cemerlang.

Tidak lengkap sesuatu kefahaman teori tanpa pengimplementasian klinikal, maka peranan dan fungsi Health Academy (HA) akan diperkasakan dengan menjalankan aktiviti pembinaan kemahiran klinikal yang bukan sahaja tertumpu kepada ahli yang berdaftar serta dengan mengeluarkan panduan berkenaan prosedur melakukan attachment di hospital. PCI juga akan berusaha untuk bekerjasama dan menganjurkan program atau aktiviti dengan universiti atau institusi berkaitan kajian semasa Sains Kesihatan.

Di bawah kerangka akademik, diselitkan juga objektif kebajikan akademik yang PCI akan titik beratkan iaitu dengan mengadakan pertemuan dengan pihak universiti secara berkala bagi membincangkan perkara yang boleh ditambah baik bersama pihak universiti serta bantuan kepada ahli dalam urusan berkaitan universiti.

 

  1. Pembangunan Insan Teras Mahasiswa Rabbani

Misi Pembangunan Insan merupakan antara misi yang penting dalam PERUBATAN. Seiring dengan wawasan PERUBATAN untuk melahirkan profesional muslim kelas Pertama di dunia dan di akhirat, PCI juga menyusun strategi bagi mengukuhkan kefahaman Islam yang jelas di samping Ilmu Asas Fardu Ain yang mantap dalam kalangan ahli.

Seperti yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam Surah Ad-Dhuha, ayat ke-5,

وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ

Dan sesungguhnya Tuhamu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagian di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda (berpuas hati).

 

Dalam usaha bagi membangunkan jiwa dan keperibadian Mahasiswa Muslim Sains Kesihatan, PCI akan menerapkan unsur pembangunkan jiwa (tarbiah) dalam setiap program dan aktiviti PCI serta mengoptimumkan fungsi lidah rasmi PCI dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan tarbiah. Melalui kelas pengajian agama pula, penekanan bagi perlaksanaan kelas tafaqquh umum, khusus serta daurah kitab sebagai usaha pembudayaan ilmu dalam kalangan ahli PCI sekaligus sebagai obligasi kepada kita selaku individu muslim, ditambah dengan perbincangan isu akidah dan serangan pemikiran semasa umat Islam bagi menanamkan kefahaman (fikrah) Islam yang kukuh dan syumul. PCI juga merancang dalam melaksanakan SOP (standard operation procedure) berkaitan pembinaan pelapis pengisi dalam penekanan sistem pentarbiahan ahli untuk turut sama memberi bukan sahaja menerima.

Selain pergerakan yang bersifat program, PCI juga akan mengatur gerak langkah bagi memupuk biah solehah di bumi Iskandariah ini dengan penguatkuasaan Agent of Change (AoC) sebagai agen amar makruf nahi mungkar di sini serta pelaksanaan tazkirah bersilibus di setiap peringkat termasuk mesyuarat bagi program Mega PCI dan juga penekanan perihal solat dalam program malah gerak kerja dengan mewajibkan penyusunan waktu solat dalam tentatif program khususnya dalam program Mega PCI.

Dalam meraikan komuniti ahli yang pelbagai, pendekatan melalui kaedah turun padang juga akan dipraktikkan melalui pemerkasaan Trek Siswa Siswi sebagai Dakwah Fardiah kepada ahli yang berbeza latar belakang serta penekanan pengisian Fikah Perubatan dalam ziarah ahli yang ditimpa musibah kesihatan. Kaedah pengaplikasian turun padang tidak terhenti kepada komuniti ahli sahaja, malah dipanjangkan lagi kepada masyarakat setempat dengan melakukan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat setempat.

 

  1. Kesatuan Kunci Kekuatan

 Ukhuwah Islamiyyah ialah sebuah tali persaudaraan yang terbina atas dasar agama dan akidah yang sebenar. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis banyak menekankan untuk kepentingan menjaga tali persaudaraan kita seperti firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat, ayat ke-10 yang berbunyi,

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

 

Persaudaraan yang berlandaskan akidah dan iman, serta berdasarkan agama yang murni kerana Rab Yang Maha Esa senantiasa mampu mempersatukan umat Islam dari berbagai penjuru. Dalam kerangka kesatuan, PCI tergerak dalam menyuburkan rasa kebersamaan antara pimpinan dan ahli dengan mewujudkan semangat cinta PERUBATAN. Melalui elemen ini, PCI akan terus komited dalam memperjuangkan isu mahasiswa setempat melalui pelbagai aspek. Selain itu, PCI juga mensasarkan untuk melaksanakan Jerayawara pimpinan ke setiap batch bagi memperkenalkan barisan pimpinan semasa PCI selain merancang untuk mengadakan Hari Sambutan Pelayaran PCI bersempena ulang tahun kali ke-12 pada 13 Oktober 2018 nanti. Tidak terhenti di situ, PCI juga merancang untuk mengeluarkan taujihad daripada graduan Universiti Alexandria yang sudah bergelar Professional Sains Kesihatan di Malaysia.

Dalam fasa pengukuhan hubungan persahabatan dalam kalangan ahli, PCI merencanakan untuk mengeluarkan statistik musibah yang menimpa ahli sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran bersama dan dengan mempergiat keterlibatan ahli pelbagai jurusan dan tahun sebagai penggerak sama ada biro ataupun program. Hal ini tidak terbatas kepada ahli PCI sahaja, malah PCI cuba untuk memanifestasikan kerjasama antara PCI dengan PERUBATAN Cawangan yang lain atau pelajar Pengajian Islam dalam bertukar-tukar kepakaran.

Tertubuhnya PERUBATAN bertujuan menekankan aspek kebajikan, program-program kesatuan yang berkala dan antara komuniti akan diteruskan tidak berkecuali penerangan isu semasa melalui medium yang bersesuaian. Pemerkasaan Tabung Kasih Sayang dan Panduan Kebajikan juga akan dijadikan sebagai medium penekanan aspek kebajikan dalam gerak kerja. Di samping itu, Sistem Musyrif juga akan dikuatkuasa dalam usaha penjagaan keselamatan ahli juga terkandung bawah aspek kebajikan.

 

  1. Profesionalisme Nilai Pentadbiran

Profesionalisme menggambarkan kompetensi seorang pekerja untuk melaksanakan tugas dan fungsinya secara baik dan benar. Ia juga memerlukan komitmen daripada para anggota daripada sebuah profesion untuk meningkatkan kemampuan bersama. PERUBATAN juga tidak ketinggalan dalam menerapkan profesionalisme sebagai nilai dalam pentadbiran dan pengurusan. Penilaian demi penilaian dibuat bagi menambahbaik pergerakan dan meningkatkan lagi ketersampaian matlamat penubuhannya.

Pada sesi ini melalui elemen pemerkasaan sistem pengurusan organisasi, PCI akan menyusun strategi dalam memperkasakan pembawaan PERUBATAN secara kolektif melalui pengkajian yang menyeluruh di peringkat PCI seperti Kajian Keperluan Unit Portfolio, Analisa dan Resolusi bagi program serta Culaan Inovasi daripada ahli untuk pergerakan PCI. Selain itu, ruang untuk ahli bersuara akan dibuka seluas-luasnya melalui Alexandria Complaint Centre (ACC) serta melalui medium yang bersesuaian. PCI juga mensasarkan pengeluaran cetakan lidah rasmi PCI melalui The Letter of Avicenna atau Ar-Razi. Selain teknikal yang bersifat eksternal, PCI juga dalam perancangan bagi menambahbaik markas melalui pelaksaanan keceriaan markas secara menyeluruh dan berinformatif serta meningkatkan fungsi pejabat sebagai pejabat PCI.

Mobiliti sesuatu persatuan akan terencat jika tidak mempunyai integrasi kewangan yang baik. Sejajar dengan itu, sistem pengurusan kewangan akan diperkasakan melalui yuran PERUBATAN dan dana PERUBATAN yang merupakan sumber kewangan utama persatuan. Selain itu, kadar penjanaan ekonomi juga dipertingkatkan dengan penghasilan produk dan penjualan produk import dan eksport.

Terakhir, pimpinan adalah cerminan kepada ahli. Maka melalui elemen pembentukan personaliti pimpinan PERUBATAN, thaqafah dan akademik pimpinan akan ditekankan dengan penerapan Muwasofat Tarbiah dalam perjumpaan pimpinan serta penekanan pembacaan buku ilmiah dalam kalangan pimpinan dan prestasi akademik pimpinan yang stabil walaupun aktif dalam urus tadbir persatuan.

 

Seruan

Maka dengan ini, saya dapat simpulkan 3 perkara penting untuk diambil cakna oleh warga PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

  1. Penghayatan Aspirasi Akademik dan Pembangunan Insan– Kedua-dua elemen ini merupakan elemen yang sangat penting dan sebagai tunjang bagi kita dalam menjadi Professional Sains Kesihatan yang Rabbani dan Kompeten.
  2. Agenda “Menerajui PCI yang Progresif”– Untuk merealisasi agenda ini, kita perlu bersatu dan memainkan posisi dan peranan kita dengan sebaik-baiknya walaupun mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi. Perjuangan memang pahit kerana syurga itu manis.
  • Kita bekerja dengan PERUBATAN, kita bekerja untuk Islam– Selagi mana PERUBATAN berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar, maka segala gerak kerja yang kita laksanakan adalah penyumbangan kita kepada Islam dan PERUBATAN adalah wasilahnya.

 

Penutup

Akhir kalam, PERUBATAN Cawangan Iskandariah bukanlah sebuah persatuan yang bersifat ekslusif kepada golongan-golongan yang tertentu tetapi PCI adalah milik kita semua selaku persatuan induk pelajar-pelajar sains kesihatan di Iskandariah Bandar Bayu Mediterranean.

Jadi, ayuhlah kita sama-sama rapatkan saf, ketepikan perbezaan yang merugikan dan bersepadu memperteguh persatuan yang kita cintai ini, sebagaimana yang disebut dalam firman Allah s.w.t,

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur, seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
(Surah As-Saff, Ayat 4)

Terima Kasih. Siiru ala Barakatillah.

“Menerajui PCI yang Progresif”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

 

 

 

 

 

 
Mohamad Shahirul Aiman bin Che Abd Aziz

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2018/2019

 

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :