ISKANDARIAH, 3 September – 5 ekor unta, 2 ekor lembu, 6 ekor khoruf dan 25 ekor kambing telah berjaya disembelih dan dikorbankan pada hari ini dan semalam. Haiwan-haiwan korban ini adalah terdiri daripada haiwan korban, akikah, dan korban kemanusiaan. Kategori korban kemanusiaan merupakan antara usaha yang telah diberi nafas baru oleh pihak AJKP SAADAH bagi memupuk sikap kesedaran dan kemanusiaan dalam kalangan para peserta korban. Daging dan bahagian-bahagian haiwan korban yang telah diuruskan, diagih kepada masyarakat setempat.

 

Pada tahun ini, kelainan turut dirasakan apabila dua tempat penyembelihan, Kafr Dawar dan Kampung Karamella telah dipilih oleh pihak penganjur. Penyembelihan di Kafr Dawar telah diadakan pada hari raya kedua membawa rombongan pelapah seramai 27 orang manakala penyembelihan di Karamella pada hari raya ketiga disertai oleh 38 orang sebagai ‘team melapah’. Aktiviti penyembelihan dan melapah telah dilakukan oleh para pelajar sendiri dengan kerjasama masyarakat tempatan dan turut kelihatan Ustaz Abdullah bin Samsuddin, pegawai MARA Timur Tengah turun padang bagi merasai Hari Raya Aidiladha yang pertama di Iskandariah.

Aktiviti korban dan melapah ini memberi peluang kepada para pelajar melakukan penyembelihan dan menjadi memori aidiladha terakhir kepada mereka kerana rata-rata para peserta yang turun melapah adalah merupakan mahasiswa tahun akhir Universiti Iskandariah.

“Saya harap program ini dapat diteruskan dan melibatkan lebih ramai para pelajar terutamanya kepada pelajar-pelajar tahun akhir sebagai pengalaman mereka sendiri dan bagi mencipta kenangan bersama rakan-rakan di bumi Mesir ini”, ulas salah seorang peserta korban.

Selain pengalaman dan sebagai memori yang indah, pihak penganjur mengharapkan agar ibrah dari pensyariatan ibadah korban ini dapat dihayati dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian samada sebagai pelajar mahupun sebagai professional sains kesihatan kelak.

 

Setinggi penghargaan buat Ahli Jawatankuasa Pelaksana SAADAH 1438h yang telah berjaya menjalankan program SAADAH selama 3 hari berturut-turut ini. Semoga pengorbanan dan jerih perih kalian dikira oleh Allah dan menjadi asbab meraih redha dan syurgaNya. Hidup ini hanyalah alat, akhirat jualah penamat dan matlamat yang paling indah dan kekal abadi.

“Pengorbanan itu adalah memberi atau menyumbang sesuatu yang terbaik yang kita mampu. Sama-samalah kita menghayati pengajaran disebalik ibadah ini dalam mengejar taqwa yang dijanjikan oleh Allah”, kalam daripada saudara Nazimal Fikry, MTP Cawangan Iskandariah haruslah kita ambil pengajaran bersama.

 

Disediakan oleh,

Unit liputan dan hebahan,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2017/2018.

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :