Mata wang emas dan perak atau bahasa Arabnya dikenali sebagai nuqud telah digunapakai oleh masyarakat dahulu dalam urusan jual beli. Bagi mengukur sesuatu nilai, mereka menggunakan sistem timbangan – timbangan dinar dan dirham. Fulus pula bermaksud alat gantian mata wang emas dan perak seperti gangsa, timah dan lain-lain logam kerana senang diperolehi dan memudahkan urusan pembayaran barangan yang lebih murah.

 

Al-Quran telah menggunakan istilah dinar, dirham, emas dan perak bagi menyatakan fungsi wang itu sendiri. Dalam Surah Yusuf ayat 20: “Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham…”. Menerusi ayat ini, ia menerangkan fungsi wang sebagai alat pertukaran berdasarkan jumlah atau bilangan tetapi bukan pada nilai. Manakala dalam Surah al Kahfi ayat 19, “Maka suruhlah salah seorang daripada kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini…”. Ayat ini menerangkan makna perak yang dicetak dan dijadikan wang, bukannya fidhdhoh sebagaimana ayat-ayat lain.

 

Ilmuwan Islam mempunyai perbezaan pendapat tentang fungsi fulus kerana sifatnya yang tidak tetap; ada kalanya bersifat wang dan ada kalanya bersifal logam sokongan sahaja. Dalam mazhab Syafi’i, fulus tidak berfungsi sebagai mata wang tetapi sekadar mata wang sokongan. Oleh itu, fulus tidak dikenakan sebarang zakat dan tidak tertakluk kepada hukum-hukum riba’. Fulus juga tidak sah untuk dijadikan modal kontrak perkongsian (musyarakah) tetapi boleh dijadikan produk kontrak as-salam (bayar dahulu tetapi peroleh kemudian). Jikalau dibandingkan dengan pendapat mazhab Syafi’i berkenaan dengan nuqud, ia hendaklah dikenakan zakat, boleh dijadikan sebagai modal perkongsian dan tertakluk kepada hukum riba’

 

Mazhab Hanbali dan Maliki berpendapat bahawa nuqud dan fulus berfungsi sebagai wang walaupun fulus bersifat logam sokongan. Atas sebab itu, fulus tertakluk kepada hukum riba, boleh dijadikan modal perkongsian dan tertakluk kepada hukum-hukum riba’.

 

Adakah wang kertas disamakan dengan fulus? Jawapannya ada pada ciri-ciri wang kertas itu sendiri. Kini, ia berfungsi sebagai mata wang utama. Justeru, ia diqiyaskan dengan nuqud dan bukannya fulus yang cirinya yang tidak konsisten.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :