Iskandariah, 28 April – telah berlangsung Program Open Volleyball khas buat mahasiswi Iskandariah yang menyaksikan perlawanan bola tampar antara pasukan batch dan pasukan batch taakhi yang diadakan di Gelanggang Mowassah di bawah kelolaan Biro Sukan dan Aktiviti Luar. Program ini diadakan bertujuan bagi mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain di samping dapat menyihatkan tubuh badan.

Program Open Volleyball ini merupakan perlawanan liga antara pasukan batch Althea, Exquisitus, Valiantz, Ayden, Phylox dan Stanza Mahabbah yang menentang antara satu sama lain bagi merebut gelaran Juara dan Naib Juara. Perlawanan akhir menyaksikan pertembungan yang sengit antara pasukan Stanza Mahabbah menentang pasukan Phylox.

Keputusan keseluruhan menyaksikan kemenangan telah berpihak kepada pasukan Stanza Mahabbah yang telah merangkul gelaran Juara sekaligus merangkul pingat emas untuk dibawa pulang manakala gelaran Naib Juara pula disandang oleh pasukan Phylox sekaligus merangkul pingat perak yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2017/2018, saudari Farah Yasmin Binti Zaini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada para pemenang!

Ucapan sekalung tahniah dan penghargaan turut diucapkan kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan Program Open Volleyball ini dan tidak lupa juga buat para penyokong yang turut hadir bagi memeriahkan lagi perlawanan dengan sokongan padu buat pasukan batch masing-masing walaupun sedang berada dalam fatrah imtihan! Semoga perlawanan ini menjadi satu titik tolak buat mahasiswi Iskandariah untuk lebih mengenali antara satu sama lain serta dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli batch masing-masing.

Akhir kata, majulah sukan buat semua! Daripada Nu’man Bin Bashir R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, “Perbandingan orang-orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti satu tubuh badan, apabila satu anggota berasa sakit, seluruh badan akan turut merasainya.”

Disediakan oleh,

Rabi’atul Adawiyah Binti Zainal Abidin,

Unit Liputan dan Hebahan,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2017/2018.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :