Iskandariah, Mac 29 – Sudah menjadi adat resam kehidupan manusia. Yang bertemu pasti akan berpisah jua akhirnya. Setelah lebih empat tahun Ustaz Ahmad Sofi Bin Abdullah atau lebih mesra disapa Ustaz Sofi bertugas sebagai Pengarah MARA Timur Tengah yang berpusat di Iskandariah, Mesir. Akhirnya negara ibunda memanggil agar beliau pulang menabur bakti di Malaysia pula.

Majlis perpisahan ini diadakan di Pusat Konvensyen, Fakulti Perubatan, Universiti Iskandariah beberapa hari sebelum Ustaz berangkat pulang ke tanah air. Ustaz Sofi dalam ucapannya berkata,“Jangan pernah berhenti untuk belajar. Jika kita tidak sempat bertemu di dunia, dengan izin Allah, kita akan bertemu di syurga kelak. Ustaz amat berharap anak-anak ustaz akan terus berusaha untuk cemerlang dalam akademik. Buktikan mahasiswa/wi keluaran Timur Tengah juga berkualiti seperti universiti lain.”

Majlis kemudiannya dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pegawai Eksekutif International Undergraduate Medical Program (IUMP), Dr. Hala Maklad untuk bersama-sama  meraikan Ustaz Sofi. Dr. Hala Maklad dalam ucapannya, kedengaran cukup hiba dan sedih akan kepulangan Ustaz Sofi ke Malaysia.

“Sedih rasanya hati ini. Ibarat hendak berpisah dengan ayah sendiri. Saya akui tidak mengenali Ustaz Sofi dengan rapat namun dapat dirasakan layanan Ustaz terhadap anak-anaknya ini sama sahaja. Apabila berjumpa, belum sempat saya memberi salam, Ustaz akan terlebih dahulu menyapa dan bertanya khabar, bertanya mengenai pelajaran. Sapaan Ustaz ketika saya belajar di perpustakaan bangunan MARA pastinya akan dirindui”, kata Aida Farhana Binti Fariza, mahasiswi tahun 2 jurusan Perubatan ketika diajukan soalan tentang perasaannya terhadap kepulangan Ustaz Sofi ke Malaysia.

Majlis perpisahan ini diakhiri dengan sesi fotografi Ustaz Sofi bersama setiap batch. Suasana sedih dan pilu mengakhiri majlis pada malam itu. Seluruh mahasiswa/wi mengucapkan selamat maju jaya buat Ustaz Sofi dalam menggalas tugas yang mendatang. Terima kasih kami semua ucapkan, ayah!

 

Disediakan oleh,

Salsabiila Farhana Binti Muhammad Afkar,
Unit Liputan dan Hebahan,
Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2017/2018.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :