بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah menganugerahkan kepada kita dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat yang telah memberikan keteladanan yang baik kepada umat manusia, menunjukkan jalan dakwah yang panjang buat para pendakwah. Tidak lupa juga nikmat kesihatan yang kita kecapi saban hari yang membolehkan kita meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu Allah di muka bumi ini.

 

Sedarkah kita dalam menjadi mahasiswa di bumi anbiya’ Mesir, masa pantas meninggalkan kita. Dalam kesibukan kita menghadiri kuliah, mengikuti program-program PERUBATAN atau PERUBATAN Cawangan, menyelesaikan hal-hal persendirian, kini tiba masanya mahasiswa mahasiswi Sains Kesihatan diuji kefahaman, penguasaan dan skil dalam subjek yang dipelajari. Debaran dirasai tatkala menanti peperiksaan yang bakal diadakan tidak lama lagi.

 

Maka dengan ini, PERUBATAN Cawangan Iskandariah ingin memberi laluan sepenuhnya kepada ahli-ahli PERUBATAN Cawangan Iskandariah untuk memberi fokus yang lebih mantap dan jitu bagi membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan dengan menghentikan seketika beberapa program dan pergerakan PERUBATAN Cawangan Iskandariah sehingga selesai peperiksaan. Program dan pergerakan PERUBATAN Cawangan Iskandariah akan ditangguhkan berbeza mengikut jurusan dan batch masing-masing.

 

Rujukan lanjut mengenai tarikh penangguhan disertakan di dalam jadual di bawah :

 

BIL. FASA TARIKH  PENANGGUHAN
1. Pergigian 1 April 2017 – 18 Mei 2017
2. Farmasi 4 Mei 2017 – 11 Jun 2017
3. Pra-Klinikal (Tahun 1, 2 dan 3) 14 Mei 2017 – 2 Julai 2017
4. Klinikal (Tahun 4) 10 Jun 2017 – 2 Julai 2017
5. Klinikal (Tahun 5) 15 Julai 2017 – 27 Ogos 2017

 

Buat pengetahuan semua, hasil perbincangan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) turut memutuskan beberapa bentuk program yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian program dan keadaan semasa. Antaranya ialah:

 

1) Program berbentuk kecemerlangan akademik yang melibatkan sasaran yang kecil.

2) Pembawaan Smart Circle yang tidak memberi fokus kepada silibus.

3) Aktiviti semasa seperti solat jenazah, solat hajat dan kutipan derma kilat yang melibatkan kebajikan ahli.

4) Aktiviti-aktiviti berkala yang berskala kecil (termasuk mesyuarat).

5) Program/aktiviti sepanjang fasa IHRAM sempena menyambut bulan Ramadan.

 

Besar harapan kami di peringkat pimpinan supaya kita semua dapat bersatu hati dan saling membantu dalam menyusun strategi dan mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan yang bakal kunjung tiba. Berusahalah bersungguh-sungguh tanpa mengambil kira apa natijahnya. Kerana yang dinilai Allah bukanlah hasil semata, tetapi apakah usaha yang dilakukan dalam mengejar cita-cita kita. Sebagaimana firman Allah dalam Surah at-Taubah, ayat ke 105.

 

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.

 

Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjaga hubungan dengan Sang Pencipta di samping hubungan sesama manusia. Insya-Allah, moga ada keberkatan dari-Nya dalam setiap tindak tanduk seharian kita. Sehebat mana usaha yang kita lakukan untuk menempuhi peperiksaan pada kali ini, jangan dilupakan kebergantungan kita semua kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa.

 

Selamat maju jaya kepada semua. Semoga kejayaan yang diraih dapat dimanfaatkan untuk Islam.

 

Sekian, siiru ‘ala barakatillah.

 

PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.
“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berintegriti”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”
#PERUBATANKelasPertama

 

 

Yang menjalankan tugas,

 

 

 

 

 

 

 

 

Mohamad Shahirul Aiman bin Che Abd Aziz

Naib Pengerusi I,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2017/2018.

 

 

 

 

 

 

 

 

Mirza Aqila binti Ahmad Murat

Naib Pengerusi II,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2017/2018.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :