“Astaghfirullah al-‘azhiim… Astaghfirullah al-‘azhiim… .” Engkau beristighfar beberapa kali selepas Solat Isyak. Tiba-tiba wiridmu dicuri fokusnya. Telatah dua beranak di saf depan telah mencuri perhatianmu.

“Begini… sebut Allahumma antas salam. Wa minkas salam.” Ungkap sang Ayah kepada anaknya yang berusia dalam lingkungan empat hingga enam tahun.

“Allahumma antas salam.” Turut pula sang Anak.

“Wa minkas salam.” Ulang lagi sang Ayah.

“Wa minkas salam.” Tanpa sengaja kau mengukir senyuman. Gembira hatimu apabila melihat seorang ayah mengajar anaknya dengan zikir-zikir mengingati Allah.

 

***

 

Waktu itu engkau baru sahaja selesai berdoa selepas solat sunat ba’diyah. Hatikau mahu engkau duduk-duduk sebentar di dalam rumah Allah itu. Engkau menurut saja kerna kau juga dapat merasai seolah satu ketenangan hadir bertamu apabila duduk-duduk dahulu selepas solat.

Sambil duduk-duduk itulah, pandangan matamu tertumpu pada dua kanak-kanak kecil. Pada hemah engkau, yang kecil itu adik dan yang besar sedikit itulah abangnya. Abangnya mengambil dua tangan adik lalu dirapatkan bertemu tangan kanan dan kiri. Rupanya si abang mengajar adiknya gaya berdoa.

Lantas sang abang membuat aksi berdoa juga sambil membacakan doa-doa. Adiknya menurut dengan suara perlahan. Engkau tergelak kecil melihat gelegat mereka namun hatimu penuh kagum pada dua beradik yang soleh itu. Engkau mengangguk-angguk seperti memahami suatu pelajaran baru. Terus sejurus itu kau bingkas kembali ke rumah.

***

 

Pintu rumah ditutup rapat. Kaki kau laju melangkah meninggalkan rumah sewa ditingkat tiga. Kau melalui beberapa anak tangga dengan pantas. Tatkala tiba di lobi masuk bangunan rumah sewa engkau itu, langkah kau diperlahankan. Kedapatan seorang makcik bersama dua orang anak. Seorang anak perempuan kecil sedang membaiki rambutnya yang ikal panjang manakala seorang anak  didukung kemas olehnya.

“Sebut; Bismillahi tawakkaltu… .”

“Bismillahi tawakkaltu… .” Anak perempuannya menuruti sambil memandang tepat pada ibunya.

“ ‘alallah. Allahumma… .” Tidak sempat untuk kau dengar sepenuhnya apa doa yang di ajarkan ibu pada si anak kecil. Namun lafaz ‘bismillahi tawakkaltu ‘alallah’ sudah cukup untuk mengingatkan kamu pada doa keluar rumah itu. Sedangkan kau yang bergegas-gegas keluar rumah tadi telahpun lupa untuk membaca doa yang mudah dan penting itu.

Dalam perjalanan ke tempat yang dituju kau bermonolog lagi;

“Mengapa tiga minggu kebelakangan ini aku asyik terlihat aksi-aksi sedemikian rupa?”

“Adakah kerana aku sedang ‘homesick’, tidak sabar mahu pulang ke Malaysia atau adakah sudah hampir seru untuk membina ‘masjid’ sendiri?” Engkau tergelak sambil menggeleng-geleng dengan telahan nakal itu.

Hakikatnya kau sedar bahawa kau tidak akan mampu mengajar atau mendidik generasi selepas engkau melazimi zikir-zikir yang akan mengingatkan dan mendekatkan manusia kepada Allah jika kau sendiri tidak tahu zikir apa yang seharusnya kau baca. Begitu juga kalau engkau sudah tahu sekalipun, engkau tidak akan berbuat perkara yang sama seperti ayah, abang dan ibu yang kau temui itu jika hari ini dan esok, engkau masih malas berzikir, malas beramal dengan ilmu.

 

***

 

“Sebelum bermimpi mendapatkan teman yang soleh atau menginginkan ahli keluarga yang soleh dan solehah, jadilah seorang yang soleh atau solehah terlebih dahulu.”

Nabi SAW bersabda agar: “Ajarlah anak mu dengan tiga perkara yang utama. Yang pertama ialah ajar supaya anak-anak kamu mencintai aku (Nabi saw), yang keduanya ialah ajar anak kamu supaya kasihkan ahli keluarga aku, dan yang ketiga ajarlah anak kamu baca Quran”.

 

Hasil karya:

Syabab Katib

Mahasiswa Universiti Iskandariah

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :