Iskandariah, 2 Mac 2017 – Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PERUBATAN Cawangan Iskandariah kali ke-9 telah diadakan pada 17 Februari 2017 bertempat di Pusat Konvensyen, Azarita. Jumlah perwakilan yang hadir berkurang berbanding pada sesi lepas, iaitu seramai 134 orang perwakilan manakala kehadiran pemerhati pula ialah seramai 20 orang. Setelah selesai pembentangan dan pengesahan minit MTC kali ke-8, Khairul Anuar bin Bahrim selaku Pengerusi PCI sesi 2016/2017 menyampaikan ucaptama beliau sebelum mesyuarat diteruskan dengan pembentangan laporan dan aktiviti tahunan.

Ketika diwawancara, Shahirah binti Shafiee, pelajar Tahun Dua jurusan farmasi berkata, “Ya, MTC merupakan medan terbaik untuk kami menyuarakan pendapat supaya pimpinan dan ahli lebih cakna dengan kami yang minoriti ini. Dalam setiap apa pun, suara kami wajar didengari supaya kami tidak akan rasa ketinggalan mahupun rasa terasing.”

“Saya menyokong seratus peratus usul yang pertama kerana ia merupakan langkah terbaik untuk melatih nilai profesionalisme dalam diri mahasiswa. Mengkhususkan satu hari sebagai hari akademik dapat menjadikan mahasiswa lebih cakna dengan prestasi akademik mereka di samping melatih kita berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan lebih baik,” tambah beliau lagi.

Semua mahasiswa di bumi Iskandariah sewajarnya maklum bahawa MTC bukanlah semata-mata sesi Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan menjawab soalan ahli sahaja, tapi juga medan untuk ahli sendiri dalam menyuarakan hasrat hati dan mengambil peluang yang ada dalam membina diri sebagai belia yang berguna kepada masyarakat, negara dan agama.

“Perasaan saya sepanjang menjadi AJK Pelaksana ialah saya rasa diri ini banyak lagi perlu belajar. Saya juga berasa insaf dan sedar kerana selama ni banyak melepaskan peluang untuk menimba pengalaman bekerja. Tidak dapat dinafikan, ada rasa susah sewaktu pertama kali masa menjadi Unit Disiplin dan Protokol kerana ini kali pertama dan tiada pengalaman. Selain itu, ia turut mengajar saya untuk tidak malu ke hadapan menegur pengerusi majlis,” ujar Amir Zahin Al-Mukmin bin Japar, pelajar Tahun 6 jurusan perubatan merangkap tenaga penggerak dalam menjayakan mesyuarat ini. “Sesungguhnya, MTC mengajar rasa ikhlaskan hati untuk bekerja, walaupun tak dapat apa-apa sebagai balasan tapi rasa puas yang amat bila dah kerja sehabis mungkin.”

Sayang seribu kali sayang, kalaulah pada saat ini sikap kita masih lagi tidak berubah umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Jutaan terima kasih diucapkan pada semua AJKP yang gigih menjayakan MTC serta tidak dilupakan buat barisan AJKT PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2016/2017, semoga amalan yang dilakukan dihitung oleh Allah Taala. Tahniah dan selamat bekerja juga diucapkan pada AJKT PERUBATAN Cawangan Iskandariah sesi 2017/2018!

 

Disediakan oleh,

Amyrah Aina binti Mohd Zamri,

Unit Liputan dan Hebahan,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :