SOALAN:

Assalamualaikum,

Saya belajar di Mesir . Apakah hukum saya menukarkan duit dari ringgit kepada Egyptian Pound/genih dengan kadar tukaran yang lebih tinggi iaitu 2.5 Egyptian Pound bersamaan RM 1 berbanding nilai semasa 2.1 Egyption Pound? Adakah wujud unsur riba dalam proses penukaran wang ini?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Jual beli penukaran matawang ini disebut sebagai Bay’ al-Sarf. Hukum melakukannya adalah harus berdasarkan hadis yang diriwayat oleh Ubadah bin Samit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ، مِثْلًا بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَدًا بِيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: Emas yang ditukar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, (hendaklah) dilakukan secara sama kualiti dan kuantitinya, dan secara tunai (tidak bertangguh). Jika (dilakukan transaksi) berbeza jenis-jenis tersebut, maka lakukanlah jual beli mengikut apa yang kamu kehendaki, dengan syarat dilakukan secara tunai.

Hadis riwayat Imam Muslim (no. 1587)

Penggunaan matawang kertas pada zaman ini mengambil tempat matawang emas dan perak kerana illahnya adalah sama yakni pada thamaniyyah (nilai matawang). Transaksi ini juga hari ini disebut sebagai forex iaitu singkatan kepada foreign exchange yang bererti penukaran matawang asing. Pun begitu, amatlah penting dipastikan jual beli ini dilakukan berdasar syarat-syaratnya yang khusus. Jika tidak menepati syarat, maka transaksi itu menjadi batil dan terlibat dengan riba yang diharamkan.

Syarat-syaratnya ialah:

• Mestilah kedua-dua barang adalah sama kualiti dan kuantitinya jika berlaku antara dua barang yang sama jenis. Misalnya, emas ditukar dengan emas. Contoh lain, ringgit ditukar dengan ringgit. Jika tidak maka akan berlaku riba al-fadl.

• Mestilah berlaku secara tunai terus tanpa bertangguh. Jika tidak maka akan berlaku riba al-nasi’ah.

• Perlu berlakunya serah-terima sebelum bersurai. Jika tidak, maka transaksi itu terbatal dan dikira berlaku riba al-yadd.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/127-130).

Berikut kami nyatakan sekali keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa : Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

• Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut.

• Syarat-syarat umum jual beli:

oPihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);

o Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;

o Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;

o Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

• Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:

o Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platfom forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;

o Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan

o Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.

• Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay’ (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

• Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.

• Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara.

• Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.

• Muzakarah juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.

Justeru dalam konteks soalan yang ditanyakan penanya, maka jawapannya ialah harus transaksi berikut dan sah jika dilakukan dengan syarat-syaratnya yang telah disebutkan diatas.

Wallahua’lam.

 

Sumber :

14/11/2016 | AL-KAFI #444

Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :