Apakah itu perbankan Islam?

Perbankan Islam atau Perbankan Syariah (Arab:المصرفية الإسلامية  al-Masrafiyah al-Islamiyah) ialah satu sistem perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (Syariah), di bawah fiqh muamalat iaitu peraturan Islam dalam berurus niaga. Kesemua peraturan dalam fiqh muamalat diambil daripada Al-Quran, Hadis dan sumber undang-undang sekunder yang lain dibawah kesepakatan pendapat ulama mujtahid mengenai sesuatu hukum (Ijma’), menyamakan perkara baru dengan yang tiada nas secara analogi (Qiyas) dan hasil usaha para mujtahid dalam merumuskan sesuatu hukum dan menilai melalui kaedah Istibat (Ijtihad).

 

Sejarah Perbankan Islam di Malaysia.

Tahun 1983 – Bank Islam pertama ditubuhkan di Malaysia
Tahun 1993 – bank saudagar, bank perdagangan dan syarikat kewangan menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam bawah Skim Perbankan Islam (SPI)

Bank SPI perlu memisahkan dana dan aktiviti transaksi perbankan Islam daripada perniagaan perbankan konvensional. Semua bank Islam dan bank-bank SPI hendaklah menubuhkan jawatankuasa Syariah bagi membimbing dalam hal-hal Syariah dan memastikan bank mematuhi kehendak Syariah.

 

Prinsip Perbankan Islam

Perbankan Islam juga memiliki tujuan yang sama seperti perbankan konvensional iaitu agar lembaga perbankan dapat menghasilkan keuntungan melalui pemimjaman modal, penyimpanan dana, pembiayaan kegiatan perniagaan atau kegiatan lain yang bersesuaian. Semua itu dapat dapat dilaksanakan dengan berlandaskan Prinsip hukum Islam yang melarang unsur-unsur tersebut dalam segala urusniaga perbankan.

  1. Perniagaan atas barangan yang haram
  2. Bunga (Riba’)
  3. Perjudian
  4. Ketidakjelasan (Gharar)

Perbandingan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional

Perbankan Islam
-Melakukan hanya pelaburan yang halal menurut hukum Islam
-Menggunakan prinsip hasil, jual beli dan sewa
-Berorientasi keuntungan dan falah (kebahagian dunia dan akhirat bertepatan dengan ajaran Islam)

Perbankan Konvensional
-Melakukan pelaburan baik yang halal atau haram menurut hukum Islam
-Menggunakan prinsip bunga (Riba’)
-Berorientasi keuntungan

 

Konsep-konsep asas Syariah dalam perbankan Islam

  1. Penyimpanan

Al-Wadi’ah
Al-Wadi’ah ialah kontrak menyimpan sesuatu barang atau harta sebagai amanah.  Dalam kontrak ini, pelanggan akan mendepositkan wang tunai atau asset lain sebagai simpanan di bank. Bank akan menjamin keselamatan barang yang disimpan oleh pelanggannya.

 

  1. Urus niaga (Perniagaan)

Al-Mudarabah (Perkongsian keuntungan)
Al-Mudarabah ialah kontrak perkongsian keuntungan antara dua pihak, iaitu pemilik modal dan pengusaha. Pemilik modal akan menyediakan dana bagi pengusaha untuk menjalankan usaha niaga dan mendapat pulangan hasil daripada jumlah dana yang dilaburkan dalam usaha niaga tersebut berdasarkan nisbah perkongsian untung yang telah dipersetujui.

Al-Musyarakah (Usaha sama)
Al-Musyarakah ialah perkongsian atau usaha sama perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Keuntungan yang diperolehi akan dikongsi oleh rakan kongsi berdasarkan nisbah keuntungan yang dipersetujui yang mungkin nisbah jumlah pelaburan yang dibuat oleh rakan kongsi tidak sama. Bagaimanapun, kerugian yang dialami akan dikongsi berdasarkan nisbah dana yang dilabur oleh setiap rakan kongsi.

 

  1. Jual beli

Bai’ Al-Murabahah (Kos tambah)
Bai’ Al-Murabahah ialah penjualan barangan antara penjual dan pembeli pada harga jualan yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Bagaimanapun penjual hendaklah memaklumkan kepada pembeli kos sebenar asset dan margin keuntungan semasa perjanjian jualan dibuat.

Bai’ Al-Istishna’ (Bai’ Bithaman Ajil)
Bai’ Al-Istishna’ ialah penjualan barangan di mana pembeli membayar kepada penjual harga jualan secara tangguh berserta margin keuntungan yang dipersetujui sama ada sekali gus atau secara ansuran.

Al-Ijarah (Sewa)
Al-Ijarah ialah akad pemindahkan hak guna atas barang dan jasa melalui pembayaran upah sewa, tanpa diikuti pemindahan pemilikan atas barang itu sendiri.

 

  1. Perkhidmatan

Al-Wakalah (Agensi)
Al-Wakalah ialah satu kontrak di mana seseorang (principal) melantik pihak lain bagi bertindak mewakili dirinya (sebagai ejen) untuk melaksanakan tugas-tugas khusus. Pihakyang menerima tugas itu adalah ejen yang dibayar fi atas perkhidmatannya.

Al-Qard (Kontrak Hutang)
Al-Qard ialah perjanjian pinjaman yang diberi satu tempoh yang tetap atas nilai ihsan kepada peminjam dan peminjam hanya perlu membayar balik jumlah pinjaman yang sebenar sahaja.

Al-Kafalah (Jaminan)
Al-Kafalah ialah jaminan yang diberikan oleh penanggung kepada pihak ketiga untuk memenuhi kewajiban penanggung dengan mengambil alih tanggungjawab sebagai jaminan.

Ar-Rahn (Penggadaian)
Ar-Rahn ialah sistem gadaian dalam transaksi perbankan Islam di mana merupakan satu skim pinjaman jangka pendek yang bebas daripada Riba’.

Al-Hibah (Ganjaran)
Al-Hibah ialah pemberian hadiah secara sukarela sebagai balasan atas manfaat yang diterima.

 

Penutup

Pertumbuhan perbankan Islam di peringkat global dapat dilihat dan dinilai sendiri serta dikira tidak diragukan lagi. Ini mencerminkan hukum Allah adalah yang terbaik demi kemaslahatan manusia bersesuaian dengan keperluan manusia dan mengelakkan berlaku unsur penindasan dan ketidakadilan dalam sebarang urusan Muamalat tidak kira melalui simpanan, pelaburan, pinjaman mahupun perkhidmatan.

Persoalan yang akan saya tinggalkan, adakah anda sudah memilih untuk melangkah ke Gerbang Perbankan Islam?

 

Glosari
Gharar – Unsur penipuan atau keadaan ketidakpastian yang boleh membawa kepada pertelingkahan dalam kontrak.

Riba’ – Amaun yang dibayar atau diterima melebihi principal dalam kontrak perjanjian

Syariah – Undang-undang Islam yang berteraskan pelbagai sumber – Al-Quran, Hadis, Ijma’, Qiyas dan Ijtihad.

 

 

Rujukan
1. Panduan anda mengenai Konsep Asas dan Amalan dalam perbankan Islam – Bank Negara Malaysia Edisi Kedua 2009

  1. Rammal, H. G., Zurbruegg, R. (2007). Awareness if Islamic Banking Products Among Muslims: The Case of Australia. Journal of Financial Services Marketing.
  2. Saeed, Abdullah (1996). Islamic Banking and Interest: A Study of the Prohibition of Riba and its Contemporary Interpretation. Leiden Netherlands: E.J.Brill
  3. Subhi Y. LAbib (1969), Capitalism in Medieval Islam, The Journal of Economic History, 29 (1)

 

Mohamad Shahirul Aiman Bin Che Abd Aziz
PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI)
Tahun 4 Kuliah Perubatan,
Universiti Iskandariah, Mesir.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :