“Pasar Gelap & Mesir: Catatan Sebelum Jatuhnya Nilai EGP”

Ramai bertanya pada saya berkenaan benarkah pasaran gelap memberikan kesan negatif pada ekonomi. Sebelum saya terangkan, saya kongsikan sedikit latar belakang berkenaan pasaran gelap matawang di Mesir.

  1. Pasaran gelap di Mesir mula wujud dan berkembang setelah revolusi 2011 kerana penyusutan berterusan pada kemasukan duit asing. Sebelum ini, Mesir bergantung harap pada sektor perlancongan, terusan Suez, kegiatan eksport minyak dan kiriman wang dari rakyatnya yg bekerja di luar negara (remittance). Kesemua sumber ini tidak lagi mampu memenuhi keperluan industri import hari ini.
  2. Terusan Suez biarpun telah diusahakan laluan baharu dengan hasrat menambah trafik (biarpun tiada kajian yg jelas menyatakan keperluan terhadap projek ini). Tetapi disebabkan penurunan harga minyak global menjadikan adalah lebih berbaloi dan murah untuk kapal dagang melalui laluan lain yg lebih jauh berbanding membayar di Suez.
  3. Sektor perlancongan juga terjejas teruk bukan hanya kerana ketidakstabilan politik semata-mata, tetapi kerana siri-siri jenayah yang melibatkan mangsa warga asing sehingga menyebabkan tarikan pelancongan merundum.
  4. Dilaporkan bahawa hanya 10% sahaja duit kiriman yang melalui sistem perbankan, rata-ratanya menjualnya di pasaran gelap untuk mendapatkan nilai tukaran yg lebih tinggi.
  5. Nilai tukaran yg ditawarkan di pasar gelap telah menyebabkan lebih ramai cenderung untuk menjual dollar pada pengurup wang haram berbanding menjual di Bank. Bahkan telah dimanfaatkan peluang ini oleh sebilangan pihak dengan membeli dollar di luar negara dan menjualnya di Mesir bagi mendapatkan keuntungan pada perbezaan nilai tukaran antara dua tempat (arbritrage).
  6. Kesemua faktor di atas menyebabkan bank pusat (CBE) sukar untuk mendapatkan wang asing terutama dollar.
  7. Disebabkan rizab asing yang semakin menyusut dan sukar didapati. Mesir melalui CBE terpaksa menyusun prioriti terhadap sektor mana yang diaulakan berhak menerima tukaran wang dollar untuk kegiatan import. Antara yang termasuk dalam senarai keutamaan adalah bahan makanan mentah seperti daging dan bijiran serta ubat-ubatan. Manakala sektor lain yang dianggap tidak asasi, diletakkan prioritinya kebelakang selepas tuntutan keperluan asasi dipenuhi.
  8. Kerana tindakan CBE inilah, pengimport yang tidak tersenarai di dalam senarai keutamaan terpaksa mendapatkan dollar dari pihak ketiga bagi memastikan perusahaan mereka dapat terus hidup.
  9. Pemain pasaran gelap mengambil kesempatan di atas kesukaran yang dihadapi pengimport dengan menjual USD pada harga yang tinggi. Bagi memastikan bekalan USD di pasaran gelap sentiasa mencukupi , maka mereka meletakkan harga beli pada kadar yang jauh lebih tinggi dari kadar rasmi agar orang lebih tertarik untuk menjual di pasaran gelap berbanding Bank.
  10. Tindakan ini menyukarkan CBE untuk memenuhi permintaan tukaran wang asing daripada sektor yang memerlukan.
  11. Bagi mengatasi kegiatan pasar gelap, CBE telah meletakkan had deposit wang asing hanyalah pada nilaian USD 50,000 sebulan sahaja. Menyebabkan kesukaran pada pengimport untuk membayar dan mendapatkan barangan import yg diperlukan. Biarpun mereka berjaya dapatkan dollar dari pasaran gelap, mereka tidak boleh gunakannya melalui sistem perbankan sekiranya jumlah melebihi had yg ditetapkan. Kesannya, ada pengimport yang terpaksa senyap-senyap bawa keluar dollar yang diperoleh dari pasar gelap melalui jalan penerbangan untuk melakukan transaksi secara langsung.
  12. Ini juga menyebabkan pengimport terpaksa membuka banyak akaun untuk mengatasi sekatan tersebut. Lantaran itu, berlakunya pertambahan pada kos operasi. Bukan sahaja terpaksa membeli dollar dengan harga yang tinggi, malah terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi yang menaikkan kos operasi. Kenaikan harga barang dari sektor yang tidak termasuk dalam senarai keutamaan akan tidak dapat dielakkan.
  13. Parlimen juga telah meluluskan undang-undang yang membolehkan pemain pasaran gelap ini dihukum dengan lebih keras, merangkumi denda mencecah LE 5 juta dan penjara dari 3 hingga 10 tahun. Tetapi malangnya, dilaporkan bahawa kegiatan ini tetap sukar dibasmi kerana penguatkuasa mudah untuk disogok dengan rasuah (sesuatu yang biasa di Mesir).
  14. Biarpun begitu, terdapat lebih 48 syarikat pengurup wang telah diarahkan tutup kerana didapati bersalah. Tindakan menutup pejabat pengurup wang ini telah menimbulkan kebimbangan pasaran gelap akan menjadi semakin tidak terkawal kerana bergerak di jalanan tanpa regulasi dan pantauan.
  15. CBE tidak bersedia untuk menurunkan nilai matawangnya lebih rendah kerana kebimbangan pada kenaikan inflasi yang lebih teruk, seterusnya mencederakan lebih parah kemampuan ekonomi negara.
  16. Kegiatan dan kewujudan pasar gelap menyukarkan Mesir untuk pulih dan menyebabkan CBE tidak punya banyak kekuatan dan pilihan untuk membangunkan semula ekonomi. Pemain pasaran gelap adalah orang yang tidak bertanggungjawab terhadap negaranya dan mengambil kesempatan di atas kesempitan yang dihadapi orang lain. Sewajarnya bila negara sedang genting, rakyat perlu berpadu selesai masalah, tetapi ini tidak berlaku pada Mesir yang masyarakatnya punyai kemiskinan moral didorong juga faktor kesempitan hidup yg dialami.

Mengapa nilai tukaran USD/EGP di pasaran gelap menyusut jatuh?

Jika tiga hari lepas nilai USD 1 bersamaan EGP 17.5 dan dijual pada pengimport pada harga EGP 18.5, kini menurun sehingga EGP 13. Mengapa?

Saya sertakan beberapa sebab:

  1. Keputusan yg dibuat antara pengimport melalui persatuan dewan peniaga untuk menghentikan sebarang aktiviti pembelian USD dari pasaran gelap selama dua minggu bagi mengekang kegiatannya disamping memberikan tekanan pada pemain pasaran gelap yang menaikkan kadar tukaran melangkaui kesediaan dan kemampuan pengimport.
  2. Keputusan pertemuan tersebut juga menetapkan tindakan merasionalisasikan skala kegiatan import melalui pengurangan aktiviti import pada beberapa sektor selama tiga bulan. Permintaan tiada, memaksa pemain pasaran gelap menurunkan kadar yang mereka tetapkan.
  3. Peningkatan mendadak di pasaran gelap sebelum ini tidak berdasarkan asas yg benar dan melangkaui penerimaan umum terhadap nilai sewajarnya antara USD/EGP. Bila ditetapkan terlalu tinggi, tidak ada pembeli yang sanggup membeli. Biarpun semakin menggalakkan pemilik dollar menjual pada pemain pasaran gelap, tetapi kemudiannya USD tidak dapat dijual semula. Menurut salah seorang penganalisa ekonomi; Allen Sandeep, sewajarnya nilai tukaran USD/EGP adalah sekitar EGP 11-12. Nilai EGP 17-18 hanyalah didorong spekulasi berikutan situasi yang dihadapi oleh Mesir seperti pemberhentian bantuan petroleum daripada Saudi.
  4. Terdapat kemungkinan bank akan melaksanakan semula regulasi menyekat deposit wang yang diperolehi daripada pasaran gelap.
  5. Mesir hampir berjaya melengkapi syarat yang ditetapkan IMF sebelum kelulusan pinjaman sebanyak USD 12 bilion dapat dibuat. Antaranya adalah mendapatkan USD 6 bilion dana daripada sokongan luar. USD 3 bilion telah diperolehi dari Saudi dan UAE, USD 1 bilion pula dari negara G7 dan terkini, Mesir akan menerima USD 2.7 bilion China melalui kontrak swap matawang. Besar kemungkinan bank pusat akan menurunkan nilai tukaran matawangnya jika Mesir berjaya mendapatkan pinjaman dari IMF tersebut, seterusnya menyebabkan penyusutan permintaan terhadap USD di pasaran gelap.

Konklusi berurusniaga dengan pasaran gelap

Keharusan untuk berurusan dengan pasar gelap / secara langsung dengan peniaga Mesir yang memerlukan dollar, di situ terdapat perbezaan pandangan.

Pandangan pertama: Ada yg bersetuju dibolehkan kerana akan membantu pengimport yang disekat permohonannya untuk mendapatkan USD daripada bank pusat. Turut dianggap pasaran gelap membantu untuk menarik kemasukan USD ke dalam Mesir. Bahkan, merupakan hak kepada pemilik USD tersebut untuk jual pada siapa yang dia inginkan selagi mana syarat-syarat di dalam bay’ sarf dipatuhi. Transaksi jual beli yang berlaku adalah sah dan tidaklah menjadikan ianya wang haram apabila pemilikan USD dan LE yg ditukar itu merupakan pemilikan sempurna secara syar’ie. Adapun status legaliti pembeli USD tadi tidaklah menafikan akad jual beli yg berlaku, itu adalah urusan antara pengurup wang tersebut dengan pemerintah.

Pandangan kedua: Ada pula yang tidak bersetuju berurusan dengan pasaran gelap kerana berpegang kepada pandangan bahawa pasaran gelap ini akan membawa mudarat kepada negara serta penduduknya, dan berpandukan kaedah fiqh untuk menolak mudarat lebih diutamakan daripada memetik maslahah. Ada juga pandangan yang menyamakan pasaran gelap dengan kegiatan talaqqi rukban (jual beli luar pasar) yang dilarang oleh Rasulullah saw. Begitu juga yang meletakkan kewajipan mentaati pemerintah di dalam mematuhi larangan yang diwartakan. Pandangan kedua di sini adalah lebih kepada perihal kewarakan dan sikap berhati-hati pada sumber dan urusniaga harta yang dijalankan. Adapun begitu, selagi mana tiada tindakan ihtikar dan spekulasi berlaku dalam pasaran gelap bagi menaikkan harga tukarannya, selagi itu tidak ada masalah pada transaksi tersebut secara syar’ie.

Maka di sini kita boleh memilih antara dua pandangan yang ada. Jika yakin seseorang itu berada pada pandangan yg mengatakan tidak boleh, maka tidak boleh dia sendiri terlibat.Tetapi jika sebaliknya, seseorang itu yakin pada pandangan yg membolehkan, maka silakan. Kita telah usaha pada kadar dan kapasiti setiap sendiri untuk membuat pendirian, maka pendirian itu terpakai pada diri masing-masing.

 

Sumber :

Tulisan September 2016,

Muhammad Ilman (Tok Ilman)

Ustaz Jamiluddin bin Murat

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :