pexels-photo

 

Riba ialah sesuatu yang diharamkan oleh Islam secara mutlak. Namun begitu riba tetap menjadi amalan dalam kalangan masyarakat masa kini. Amalan ini banyak dipraktikkan dalam sistem kewangan kita sekaligus turut mengheret umat Islam di Malaysia terlibat dengan riba yang banyak diamalkan dalam sistem bank-bank konvensional terutamanya. Secara tidak disedari amalan riba ini telah lama dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya apabila membuat sesuatu pinjaman dengan syarikat-syarikat kewangan yang tidak mengamalkan sistem pinjaman secara Islam.

Bangsa Arab jahiliah juga memandang riba sebagai satu perkara yang dibenci seta menganggapnya sebagai satu perbuatan yang kotor. Ini jelas ditunjukkan ketika dinding Baitullah rosak dan kaum Quraisy mahu membinanya semula, mereka berusaha sedaya upaya mengumpulkan dana bagi tujuan itu dan dana tersebut dikumpulkan dari mereka yang tidak mengamalkan riba. Ini bererti pembinaan Kaabah adalah dari hasil yang bersih. Disebabkan jumlah dana yang terkumpul dari mereka yang tidak mengamalkan riba adalah sedikit, maka pembinaan Kaabah itu dikecilkan dan kawasan asal yang tidak dibina semula Kaabah tesebutlah yang dikenali sebagai Hijr Ismail.

Begitu juga dalam dunia barat, pandangan cerdik pandai teologi mereka mengatakan riba adalah kemusnahan, malah cendekiawan klasik Aristotle suatu masa dahulu pernah mencadangkan untuk mengharamkan riba. Ini disebabkan riba dianggap sesuatu gejala yang tidak sihat. Namun begitu kata-kata itu bagaikan angin mendesir yang hanya lalu di pendengaran mereka sahaja. Setelah syariat Islam diturunkan, amalan riba menjadi perkara yang amat dititik beratkan oleh Islam sehingga dibenarkan perang terhadap mereka yang mengamalkan riba.

Sistem kewangan pada masa kini yang dikenal pasti paling banyak mengamalkan riba seperti pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, pinjaman wang, pinjaman pelajaran dan lain-lain. Riba atau dipanggil faedah yang dikenakan ke atas peminjam adalah tinggi, malah jika terlewat membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan maka faedah pinjaman dengan sendirinya akan dinaikkan.

 Definisi Riba

Riba dari segi Bahasa:

  1. Bermaksud lebih, bertambah dan subur (Hj. Abd Razak Hj. Muhammad : 1997 : hlm. 27)
  2. Selain itu ia juga boleh ditakrifkan sebagai pertambahan dan peningkatan (Zaharuddin Abd. Rahman : 2010 : hlm 1).
    Riba juga ditakrifkan sebagai bunga berganda yang membebankan yang diharamkan oleh Islam (Kamus Dewan Edisi ke 3 : 2002 : hlm. 1137).
  3. Sesetengah kitab fiqh mentakrifkan riba sebagai naik iaitu peningkatan sesuatu untuk suatu tujuan tertentu Ar-Raudhu Al-Marba’ : 1994 : hlm 298). Pengertian riba dari sudut bahasa juga disebut sebagai menaikkan atau melebihkan sesuatu terhadap orang yang menggunakan sesuatu barang atau perkhidmatan (Al-Mughni : 1997 : hlm. 133).

Dari Sudut Istilah Syarak

  1. Syarak mentakrifkan riba itu sebagai suatu akad bagi pertukaran barang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak ketika akad itu, atau diketahui persamaannya dengan menangguhkan kedua-duanya (Hj. Abd Razak Hj. Muhammad : hlm. 27).
  2. Terdapat juga tafsiran lain bagi riba iaitu sebarang tambahan dalam item-item tertentu (ribawi) dan tambahan keatas hutang akibat tempoh masa (Zaharuddin Abd. Rahman)
  3. Selain itu, sebahagian ulama mentakrifkan riba sebagai peningkatan atau meningkatkan kadar pertukaran dalam akad dalam hal-hal khusus yang diharamkan oleh al-Quran, sunnah Rasulullah s.a.w dan juga ijmak para ulama (Al-Mughni : 1997 : hlm. 133).
  4. Riba juga diistilahkan sebagai peningkatan secara bersyarat dalam sesuatu kontrak bebas yang pada asalnya bukanlah berada dalam pertimbangan sesuatu kontrak (Fiqh Muamalat al-Musajjar : 2000 : hlm.18) .

Jenis-jenis Riba

  hHukum Riba

Al-Quran secara jelas mengharamkan riba daripada diamalkan oleh umat Islam. Ini jelas berdasarkan firman Allah berikut : وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ Maksudnya : Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (al-Baqarah : 2 : 275)

Rasulullah s.a.w pula ada menyebut perkara berkaitan riba dalam hadis Maksudnya : hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan. Kami bertanya apakah perkara-perkara itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : mensyirikkan (menyekutukan) Allah (dengan yang lain), melakukan sihir, membunuh manusia yang Allah haramkan (dari membunuhnya) melainkan dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari peperangan (semasa peperangan sedang berlaku) dan menuduh perempuan mukhsan lali (dari melakukan zina) lagi mukmin dengan melakukan zina.

Berdasarkan firman Allah s.w.t dan juga hadis daripada Nabi s.a.w di atas maka telah jelas kepada kita sebagai seorang muslim bahawa riba merupakan satu amalan atau perbuatan yang dilarang keras dan diharamkan daripada melakukannya.

 

Rujukan

-http://zakwanhalim.blogspot.my/2011/01/riba-jenis-isu-berkaitannya-pada-masa.html

-http://www.zaharuddin.net/

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :