Angin meniup lembut sedari tadi. Bersama deru ombak memecah pantai. Disahut pula dengan kicauan sang burung. Indah. Dengan suasana begitu, dia tenggelam dalam khayalannya sendiri. Hilang segala lelah di jiwa. Hilang segala resah di hati. Termenung jauh dia melayan rasa. Hingga sahabat di sebelah langsung tak dia hiraukan. Dia diam terus, sepi menatap laut.

“Eh Hanim, boleh saya tanya?” Soal sahabatnya memecah kesunyian.

Dia lantas mengangguk.

“Awak nak sambung bidang apa lepas kita tamat belajar nanti? Setahu saya, awak tak pernah bagitahu sesiapa bukan?”

“Erm.. Plastic and Reconstructive Surgery perhaps.”

“Waaaaa… Seriously? Tapi kenapa?”

Dia senyum melihat gelagat sahabatnya itu. Teruja mungkin bila mendapat tahu isi hatinya yang sebelum ini tiada seorang pun yang tahu. Atau mungkin juga, jawapannya yang agak lain dari kebanyakan orang. Bukan pediatrician. Bukan cardiologist. Bukan juga family medicine. Tapi mengapa? Dia diam lagi.

***

Dia melompat-lompat kegirangan. Sebentar tadi, ayahnya menyuruh dia dan adik bersiap. Hujung minggu ini, air terjun menjadi destinasi tujuan. Sudah lama dia tidak menjejak kaki ke sana. Ibu ayahnya seakan mengetahui isi hatinya. Laju dia mencapai baju dan tuala untuk dibawa. Diberi pada ibunya yang sedang mengemas beg pakaian. Tidak lama kemudian, kedengaran suaranya bergema di ruang rumah memanggil adiknya. Ah, gembiranya dia.

“Kakak ! Kakak ! Kakakk !!! Bangunlahhh…”

Dia membuka mata. Dilihat adiknya sedang menangis teresak-esak memeluk dirinya yang terbaring di jalanan. Orang ramai mengerumuni mereka. Siren ambulans kedengaran. Beberapa orang berbaju putih datang menghampiri. Dia dan adik dibawa masuk ke dalam ambulans. Pertolongan cemas diberikan segera. Adakah dia bermimpi? Dilihat tubuhnya dipenuhi darah. Sakit.

“Mana ibu ? Mana ayah ?”

Soalnya cemas. Ambulans bergerak menuju ke hospital terdekat. Dia diberitahu yang ibu dan ayahnya juga dalam perjalanan yang sama. Air matanya mula mengalir membasahi pipi. Kegembiraan sebentar tadi bersama keluarga sekelip mata menjadi mimpi ngeri buat dirinya. ‘Ya Allah, selamatkan ibu. Ya Allah, selamatkan ayah’, bisik hati kecilnya sambil menggenggam erat tangan adiknya yang sedari tadi diam membisu. Terkejut mungkin.

 

Sebaik tiba di hospital, ayah mendatangi dia dan adik. Ada balutan di kepala ayah. Dipeluk cium mereka dua beradik. Ibu masih tidak kelihatan. Matanya melilau mencari. Dia lalu menyoal. Ibu selamat, kata ayah. Syukur, Allah masih panjangkan umur dia sekeluarga. Namun, ibu perlu menjalani pembedahan. Bagi membetulkan semula struktur wajah ibu. Memang, muka ibu berbalut semuanya. Dia takut andai dia tidak lagi boleh melihat ibu seperti dulu. Ibu yang sentiasa cantik, pada pandangannya.

“Doktor, nanti ibu jadi cantik semula kan?”

Dia menyoal penuh mengharap sewaktu ibu dibawa pergi bagi menjalani pembedahan rekonstruktif tersebut. Dan kini, dia berdiri di hadapan ibu. Tiada sedikit cela pun di wajah ibu. Sama seperti dulu. Cumanya tinggal kesan jahit yang kata doktor bakal pulih nanti. Dalam diam, rupa-rupanya dia mengagumi kerja doktor terbabit. Ditambah pula dengan perasaan yang dia alami selepas melihat ibunya. Bahagia. Lalu tanpa sedar dia mula menyimpan hasrat dan cita-cita. Berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan bersama mereka. Sama seperti yang dia rasa dulu.

***

“Hanim ? Dengar tak saya tanya ni.. Kenapa plastic surgery ?”

Dia terhenti dari lamunan mendengar suara sahabatnya itu. Ternyata, peristiwa 15 tahun dulu menjadi asbab dia cenderung kepada bidang itu. Kerana ibu. Ditambah pula kerana ada sepupunya yang dilahirkan sumbing. Hal itu turut menjadi pemangkin buat dirinya. Sesungguhnya, tiada siapa yang bakal tahu hikmah di balik segala apa yang berlaku dalam hidup ini melainkan DIA sendiri, bukan ?

“Hmm… Sebab nak semua orang jadi cantik.” Dia menjawab lalu ketawa kecil.

“Eh ? Boleh ke buat plastic surgery untuk cantik ?” Soal sahabatnya keliru.

“Haaa.. Apa kata nanti kita pergi Seminar Perubatan Iskandariah sama-sama nak tak? Kita dengar jawapan langsung dari pengisi yang sememangnya ahli dalam bidang tu. Nak tanya soalan banyak-banyak pun boleh. Hanim pun tak sabar nak pergi ni. Jomlah teman.”

Dan sahabatnya itu mengangguk setuju.

 

Karya oleh,

Hanna Aqila Binti Ahmad Baqir

Tahun 4, Perubatan

PERUBATAN

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :