“Hah, dah lama tunggu?” sergahan Fatimah membuatkan bahu Aminah terangkat. Pantas dia berpaling ke arah sahabatnya, geram dengan gurauan Fatimah. Namun kata-katanya mati sewaktu matanya jatuh pada senyuman Fatimah.

“Kau… sejak bila kau pakai braces?” soal Aminah, terperanjat melihat pendakap gigi yang berwarna merah jambu pada barisan gigi Fatimah yang tersengih lagi. “Jom kita masuk dalam dulu, minum. Di luar ini, panas sungguh.”

Fatimah merangkul bahu Aminah dan menariknya masuk ke dalam kafe itu, walaupun sebenarnya persoalan di hati Aminah masih belum terungkai.

“Setahu aku gigi kau elok saja tersusun, kenapa kau pakai braces?” soal Aminah selepas pelayan beredar dari meja mereka setelah mengambil pesanan, masih belum berpuas hati sehingga mendapat jawapan daripada Fatimah sendiri. Fatimah bermain-main dengan kunci kereta pada tangannya.

“Alah, kau ni. Takkanlah tidak tahu, trend zaman sekarang. Pakai braces ni boleh bagi nampak lebih menarik tau,” balas Fatimah. Aminah mengerutkan dahi.

“Apa yang menariknya pakai braces?”

“Ah, malaslah cakap dengan kau. Kau bukan tahu apa-apa pun tentang gaya zaman sekarang,” kata Fatimah. Aminah tak berkecil hati, memang dia sendiri akui dia kurang ambil tahu tentang gaya anak muda kini, kalau tahu pun memang tak untuk dia ikut begitu sahaja.

“Bila kau pakai?”

“Baru lagi, minggu lepas.”

“Tak sakit?”

“Tak adalah. Bukannya braces betul-betul yang buat dengan doktor pun.”

“Lah, habis tu? Kau buat di mana?”

“Aku tengok dalam Instagram, yang jual braces murah-murah. Bukan aku seorang je, ramai lagi yang pakai braces murah macam aku ni.” Aminah menggeleng-geleng kepala, melihatkan ketaksuban Fatimah mengikut gaya semasa.

Pelayan datang menghantar dua gelas teh ais ke meja mereka. Keadaan hening sejenak, tinggal sebuah keluarga di hujung kafe yang agak riuh dengan suara anak kecil yang bergurau senda.

“Kau tahu kisah Mak Cik Muna yang bengkak muka itu?” soal Aminah setelah menyedut air miliknya. Sekarang giliran Fatimah pula berkerut muka.

“Mak Cik Muna mana?”

“Mak Cik Muna, jiran aku yang ambil upah jahit baju tu,” Aminah cuba mengingatkan. Hubungan Aminah dengan Fatimah memang sangat erat, sehingga saudara masing-masing pun sudah mengenali mereka.

“Oh, oh. Ingat! Kenapa dengan makcik?”

“Baru-baru ini, masuk ICU sebab ada komplikasi pernafasan. Mula-mula muka jadi bengkak. Lepas tu, barulah doktor sahkan dia sebenarnya menghidap kanser kulit. Haa lebih kurang begitulah yang aku dengar,” cerita Aminah.

“Kenapa jadi begitu ya? Alergi mungkin,” teka Fatimah.

“Mak Cik Muna kan selalu pergi pusat-pusat kecantikan. Dia ada buat proses apalah yang boleh putihkan kulit tu, tapi kena cucuklah. Kemudian, dia cuba pakai produk kosmetik yang tak disahkan oleh pihak berwajib akan keselamatannya. Mungkin bila bahan kimia bercampur-baur, itulah penyebabnya,” cerita Aminah lagi.

Fatimah terdiam seketika sambil berfikir-fikir. Simpati juga dirinya pada wanita sebaya ibunya sendiri itu.

Tiba-tiba, keluarga di hujung kafe tadi menoleh ke arah televisyen yang terpasang di dinding kafe. Melihatkan pekerja kafe turut menguatkan suara televisyen untuk menonton berita yang disiarkan, mereka turut memandang sama. Ingin tahu isu apakah yang menarik perhatian semua orang di dalam kafe tersebut.

Rupa-rupanya seorang pemuda telah ditangkap kerana menyediakan perkhidmatan memakaikan pendakap gigi palsu. Pemuda tersebut ditahan dan didakwa di mahkamah kerana tidak mempunyai kelulusan sewajarnya. Para penonton tadi terangguk-angguk, terperanjat juga. Yalah, tidak sangka ada yang boleh menawarkan sesuatu yang di luar bidang kepakaran mereka. Yang lebih mengejutkan, ramai pula permintaan; kalau tidak, masakan perniagaan sebegitu boleh menerima sambutan. Diselitkan juga kisah beberapa orang pengguna pendakap gigi yang dipasang oleh bukan doktor yang perlu menerima rawatan segera seperti gigi terkeluar daripada gusi dan pendarahan melampau.

Aminah dan Fatimah berpandangan. Fatimah telan air liur kesat sambil mengetap bibirnya kemas-kemas.

 

 

Nukilan,

Amyrah Aina binti Mohd Zamri,

Tahun 2 Perubatan,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :