Dalam beberapa bulan lagi aku bakal tinggalkan tanah ini. Tanah tumpah air mata yang banyak mengajar aku erti sabar dan berusaha. Tebing bayu Mediterrenian yang terasa sejuk mencengkam tatkala angin menyapa, sungguh tidak dapatku bayangkan jika tiada laut ini, laut yang membuatkan Iskandariah ini lebih tampak manis dan indah. Pasti aku akan merindui seisinya kelak.

 

Begitu juga manusia, pasti ingin kelihatan cantik walaupun kita mengetahui cantik itu adalah subjektif bagi setiap orang dan berbeza definisinya, namun itu adalah lumrah. Semua orang inginkan dirinya tampil cantik namun bukan semua orang mampu untuk membelanjakan wang ringgit semata-mata untuk berlabur dalam mengejar kecantikan.

Kecantikan semulajadi itu memang sudah dijadikan oleh Allah SWT, kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah sebagai makluk di muka bumi ini. Firman Allah swt,

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin, 95:4)

 

Jika fikir akan logiknya kita sudah sememangnya cantik kerana semulajadinya begitu tetapi ada juga yang mengalami beberapa masalah untuk berhadapan dengan orang lain seperti kurang keyakinan, rasa rendah diri, malu dan sebagainya.

 

Trend kecantikan bukanlah sesuatu hal yang baru dan mempunyai harga yang tersendiri mengikut kemampuan masing-masing. Cantiknya seseorang itu bukanlah bergantung kepada mahalnya rawatan yang dibayar, tetapi cukup sekadar keperluan individu. Mari kita lihat satu persatu nilai kecantikan di badan kita terutamanya di wajah yang merupakan daya tarikan utama apabila kita berjumpa atau melihat seseorang.

 

 

Di wajah , Allah SWT telah menciptakan umat Adam dengan dua mata, satu hidung dan mulut dan di atas ada dahi dan di bawah pula ada dagu, bahagian tepi ada pipi yang menjadi penutup kepada gigi di dalam mulut. Mata merupakan penyeri di wajah seseorang selain fungsi utamanya untuk melihat, warna anak matanya, alis mata yang lentik dan kadang kala pemakai kaca mata juga ada seri dan membuatkan si pemakai tampil cantik di samping menjaga kesihatan mata dan membantu penglihatan si pemakai. Kawasan mulut dan sekitarnya adalah daya tarikan kedua selepas mata kerana setiap kali kita berjumpa dengan orang, pasti kita akan mula dengan menyapa atau memberikan senyuman. Sudah pasti mulut dan gigi akan menjadi pelakon utama dalam sesi komunikasi dengan orang ramai. Oleh itu, kesihatan mulut dan gigi perlu dijaga dengan baik dan bersih, serta pastikan gigi kelihatan sentiasa putih dan menarik.

 

Cuba kita kira kawan-kawan sekeliling kita yang memakai pendakap gigi (braces) sudah pasti ramai bukan? Penggunaan pendakap gigi bukanlah sesuatu benda yang asing buat kita, ramai penggunanya mengalami masalah susunan gigi, masalah rahang dan yang paling tinggi sebabnya adalah kurang keyakinan diri. Harganya sudah pasti mahal dan memerlukan nasihat dan kepakaran seorang doktor gigi dalam bidang orthodontik. Si pemakai juga perlu berkorban masa, wang ringgit dan menyumbang sedikit rasa sabar dalam menanggung kesakitan.

 

Namun, bukanlah semua orang memerlukan rawatan ini untuk tampil cantik, cukup sekadar keperluan individu dalam memperbaiki serba sedikit kekurangan yang dia alami.

 

Tanpa perlu menolak lagi, kecantikkan adalah sesuatu keperluan mengikut pertimbangan setiap individu. Ramai orang pasti tertarik untuk mendekati orang yang cantik, yang menjaga kebersihan diri dan tampil kemas dan bersih. Oleh itu, sebagai seorang mahasiwa/wi sains kesihatan yang sentiasa sibuk, bukanlah alasan itu digunapakai untuk mengelak kelihatan cantik walau di mana kita berada, malah kita harus sentiasa cantik dan kemas kerana kita adalah anggota masyakat yang selalu menjadi rujukan utama dalam menjaga kesihatan diri, bukan menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Marilah sama-sama kita menaikkan semangat dan keyakinan diri dengan menjaga kecantikan dan kesihatan diri sekaligus dapat menjadi contoh dalam masyarakat.

 

Karya oleh,

Nur Haliayatul Shawani bt Abd Goni,

Tahun 5 Pergigian.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :