Iskandariah, 28 Oktober – Telah berlangsung Program Alexandria LINGO Open (ALO) IV bertempat di Pusat Konvensyen, Fakulti Perubatan Universiti Iskandariah yang menyaksikan pertembungan antara wakil pelajar dan wakil pasukan dari PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI) dan PERUBATAN Cawangan Mansuora (PCM). Program ini merupakan salah satu usaha untuk memperkasa penggunaan bahasa dalam diri setiap pelajar tidak kira Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

Program Alexandria LINGO Open ini telah pun bermula pada 11 Oktober yang lalu dimana Bengkel Pre-ALO telah diadakan bagi mencungkil bakat terpendam para pelajar yang berminat serta perkongsian tips pidato dan bahas daripada para peserta senior yang berpengalaman. Program seterusnya bersambung pada 21 Oktober baru-baru ini yang menyaksikan perlawanan liga antara empat pasukan Debat Bahasa Inggeris serta perlawanan liga antara tiga pasukan Debat Bahasa Melayu bagi melayakkan pasukan mereka mara ke peringkat akhir yang berlangsung pada 28 Oktober hari ini.

Terdapat empat kategori perlawanan yang berlangsung pada hari ini iaitu Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris, Pertandingan Pidato Bahasa Melayu, perlawanan pusingan akhir bagi Debat Bahasa Inggeris dan perlawanan pusingan akhir bagi Debat Bahasa Melayu. Program ini dimulakan dengan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada waktu pagi dan seterusnya bersambung pada waktu petang bagi perlawanan pusingan akhir Debat Bahasa Inggeris sebelum diakhiri dengan perlawanan pusingan akhir Debat Bahasa Melayu. Pertandingan ini berlangsung dengan amat sengit antara para peserta dan pasukan yang bertanding.

Pusingan akhir Debat Bahasa Inggeris dengan tajuk perbahasan ‘THBT All Malaysian Males should Serve in The Military during The Prime of Their Youth’ menyaksikan pertembungan antara pasukan ‘Resilience’ dari PCM selaku pihak kerajaan yang terdiri daripada saudari Iffah Nur Liyana Ibrahim, saudara Amirul Mukmin Zarahman @ Muhammad Zulkarnain dan saudari Basyirah Muhammad Firdaus bertemu pasukan ‘YOLO’ dari PCI selaku pihak pembangkang yang terdiri daripada saudari Mumtaz Deeyanah Mohd Razif, saudara Fazrul Aizam Mohammad dan saudari Nazeerah Mohamad Razali.

 

14923039_1190408407685144_1665152411_o

 

Seterusnya, pusingan akhir Debat Bahasa Melayu pula diteruskan dengan tajuk perbahasan ‘PRU : Had Minimum Umur Pengundi Wajar Diturunkan’ menyaksikan pertembungan yang sengit antara pasukan ‘Kalam Sufi’ dari PCM selaku pihak kerajaan yang terdiri daripada saudara Muhammad Fathullah Nordin, saudara Haziq Mohd Aznor dan saudara Muhammad Firdaus Jahari bertemu pasukan ‘Minit Terakhir’ dari PCI selaku pihak pembangkang yang terdiri daripada saudara Nik Muhammad Haikal Nik Soh, saudari Syahindah Kamaruddin dan saudari Amyrah Aina Mohd Zamri.

Keputusan akhir bagi Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris menyaksikan saudara Mohammad Farid Irsyad Mohd Yunus (PCI) muncul sebagai juara. Naib Juara disandang oleh saudara Aiman Azamuddin Aminuddin (PCM) manakala saudara Haidharul Ariff Hairulanam(PCI) memperoleh tempat ketiga. Bagi Pertandingan Pidato Bahasa Melayu pula telah dimenangi oleh saudari Lina Diyana Arif Azhan (PCI) selaku tempat pertama. Tempat kedua disandang oleh saudari Ain Fatini Ibrahim(PCI) manakala saudara Muhammad Syahmi Shamshuddin(PCI) mendapat tempat ketiga.

Bagi Pertandingan Debat Bahasa Inggeris, pasukan ‘YOLO’ dari PCI telah menewaskan pasukan ‘Resilience’ dari PCM. Saudara Fazrul Aizam Mohammad (PCI) telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan manakala saudara Zai Ashraf Zaidi (PCI) pula telah dinobatkan sebagai Pendebat Harapan. Seterusnya, bagi Pertandingan Debat Bahasa Melayu telah menyaksikan pasukan ‘Minit Terakhir’ dari PCI telah menewaskan pasukan ‘Kalam Sufi’ dari PCM. Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan telah dirangkul oleh saudara Nik Muhammad Haikal Nik Soh manakala Anugerah Pendebat Harapan pula dirangkul oleh saudari Amyrah Aina Mohd Zamri. Syabas dan tahniah diucapkan kepada para pemenang!

Program Alexandria LINGO Open (ALO) IV telah diakhiri dengan perasmian penutup oleh Pengarah MARA Mesir, Ustaz Ahmad Sofi Bin Abdullah dan penyampaian hadiah buat para pemenang. Sekalung ucapan syabas dan tahniah diucapkan buat barisan pemidato, pendebat serta semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Tidak lupa juga buat para penyokong peserta dari PCI dan PCM yang hadir bagi memeriahkan lagi program yang berlangsung.

Saudari Amyrah Aina selaku Pendebat Harapan Debat Bahasa Melayu berkata, “Sejujurnya, saya langsung tidak berpuas hati dengan prestasi persembahan saya pada pusingan awal. Namun begitu, sewaktu persediaan untuk pusingan akhir, hati saya disapa dengan sepotong nasihat, ‘Jangan sesekali hilang kebergantungan pada Allah SWT’. Saya juga menerima banyak dorongan dan tunjuk ajar daripada barisan senior seperti saudari Nur Haliayatul, saudari Natasya Nazri, saudari Nasirah Nasruddin, saudara Tuan Iqbal, saudara Ameen Husainy serta rakan sepasukan saya iaitu saudari Syahindah Kamaruddin dan saudara Nik Muhammad Haikal Nik Soh. Ibu bapa saya juga seperti biasa sentiasa memberikan sokongan penuh dan hal ini menjadi motivasi buat saya daripada dulu dan selamanya. Walaupun saya telah berkecimpung sepenuhnya dalam dunia bahas sejak di Tingkatan Tiga lagi, namun masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari agar saya mampu menjadi seorang pembahas yang lebih baik.”

“Saya berharap agar tiada lagi isu ALO tidak wajar dianjurkan. Saya yakin dan percaya ramai yang berminat untuk menyertai cuma mungkin teknikaliti dan tarikan minat ahli perlu dilestarikan lagi. Sesungguhnya, pertemuan kami dengan pasukan ‘Kalam Sufi’ dari PCM benar-benar merupakan kenangan manis buat saya dan banyak yang dapat saya pelajari daripada mereka secara tidak langsung.” akhiri beliau.

Akhir kata, memetik kata-kata daripada Sutan Takdir, “Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu adalah jiwa bangsa.”

 

 

14858705_1134107666626034_567424189_o

 

 

 

Jutaan penghargaan ditujukan buat semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program atas segala usaha dan penat lelah mereka bagi menyediakan medan untuk menggilap dan menyerlahkan lagi bakat ahli PERUBATAN dalam merealisasikan visi kita untuk melahirkan pengamal sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.

 

Disediakan oleh,

Rabi’atul Adawiyah Binti Zainal Abidin,
Unit Liputan dan Hebahan,
Biro Penerbitan dan Penerangan 2016/2017.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :