“Orang tegur, kata orang marah, kata orang jaga tepi kain dia, tapi bila jadi lagu nie, sapa yang teriak tak berlagu?”

“Aku dok kata dah, dok pesan banyak kali dah kat hampa, keluaq umah tu jangan lewat malam, keluaq awai,”

“Hang nie pi mana malam-malam, siang-siang takleh pi ka?”

 

Zappp, pening kepala Amirah dengar bebelan kawan-kawan yang rapatnya dalam rumah ini. Nasib ikatan ukhwah mereka kuat, sudah boleh terima antara satu sama lain. Betul orang kata, malang itu tidak berbau, malang itu tidak kenal pemangsa.

 

 

………………………………………………………………………………………………………………….

 

Menjelang musim peperiksaan, makin kerap Amirah keluar untuk belajar bersama rakan sekelas kami yang lain di kafe popular di hujung Jalan Fuad sana. Ramai mahasiswa/wi Melayu belajar di sana jika sampai musim peperiksaan, kadang-kadang  sampai kafe itu tutup baru ada yang beransur pulang. Cara belajar setiap orang lain-lain jadi macam-macam gayalah orang mencari momentum untuk belajar.

 

“Aku tak boleh lah study kat bilik aku tu, ada ja magnet yang tarik aku, berat je badan aku nak hempap atas katil empuk tu,” mengadu Amirah apabila setiap kali aku tanya mana dia pergi.

“Kau jangan risau aku pi dengan Peah, pastu ada jugak Nik, kami study sama-sama, hal musyrif jangan risau, Nik boleh jadi musyrif kami,” Panjang lebar penjelasan Amirah apabila Hana pula yang bertanya memandangkan Hana ini lebih tegas dari aku , jadi Amirah cari bukti keselamatan untuk dia pulang dengan selamat di rumah kelak.

 

Aku mungkin lebih rapat dengannya, tetapi hal-hal peribadinya, Amirah simpan rapat-rapat, dia sedikit berahsia. Aku tidak kisah asalkan dia bijak menjaga diri dan tahu batas- batas pergaulan yang digariskan. Aku percaya, Amirah budak yang baik, patuh cakap ibu ayah dan masih berpegang teguh nilai-nilai ketimuran yang kaya dengan sifat malunya walaupun Amirah bukanlah bertudung cendawan seperti Lin yang merupakan ahli pimpinan persatuan di Iskandariah ini.

 

 

Sejak dua menjak ini, Amirah sedikit lain, aku tanya sepatah, sepatah dia jawab, aku tanya khabar, diam je. Aku pun naik hairan, selalunya dia petah, tidak tanya pun dijawabnya. Aku risau, dan aku mula untuk mendekatinya pada petang itu.

 

“Amirah, hang okay ka? Awat aku tengok hang macam kucing nak beranak ja ni? Gelisah tak sudah”

“Takde apa2-apa lah, aku rasa aku takmau lah study kat luar lagi, duit aku banyak habis minum dan makan kat luar tu, mahal,”

“Cukup ka dak belanja hang bulan ni, kalo tak cukup pinjam aku dulu,”

“Haa takpa, cukup je ni,”

 

Seminggu itu, Amirah memang belajar di rumah sahaja, kadang-kadang Peah datang belajar dengan dia, aku rasa lega dan aman dapat tengok dia ada di rumah. Keselamatan pun terjamin. Aku pun belajar bersama mereka jika ada kesempatan dan berbincang soalan-soalan yang lepas, Hana pun belajar dengan kami jika dia tiada hal urusan persatuan di Teratak Iskandar.

 

“Yasmin, aku rasa nak study kat kafe tu lah hari ni,” ujar Amirah dalam nada tersekat-sekat.

“Awat pulak nak keluar, studylah kat umah, aku bancuh kopi kat hang nak?”

“Takpalah, aku dah janji dengan Peah dengan Nik ni, satgi lambat pulak, lama pulak tunggu aku,”

“Kalo lagu tu takpalah, sat gi hang balik siapa nak musyrifkan hang?”

“Nik ada, macam selalu lah,”

“Okay,” balas aku dalam nada tidak sedap hati.

 

Jam menunjukkan tepat 11 malam, tetapi Amirah belum lagi pulang. Lin dah lama mengamuk dalam  telefon bimbit, Amirah pun satu, tidak angkat panggilan kami. Bila telefon Peah, dia kata dia tidak jadi keluar belajar di kafe dengan Amirah hari ini. Mungkin dengan Nik barangkali.

 

Hana terus capai telefon pinknya untuk menelefon Nik, namun hampa apabila hanya operator yang menjawab.

“Aku risau dah ni, pi mana budak Amirah ni?” Kerisauan Lin sangat ketara.

“Sat gi dia balik lah tu, kita doakan dia selamat deh,” Hana menjadi pendamai keadaan.

Tapi aku, dalam fikiran aku dah melayang pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku ini. Aku mampu diam dan berdoa, menunggu Amirah pulang dengan selamatnya.

 

Tetiba, telefon bimbit aku bunyi,

“Assalamualaikum, ya saya,”

“Ya Allah Amirah!”

“Kami ke hospital sekarang”

 

Aku bergegas bersiap, ambil segala dokumen pengenalan dan passport Amirah untuk dibawa ke hospital. Aku juga beritahu Hana dan Lin supaya tenang dan jangan gelabah, “Kita gerak dulu ke hospital, tengok dulu keadaan dia macam mana, hampa dua jangan dok marah dia pulak.” Mereka hanya mampu menggangguk dan mengikut arahan aku. Aku capai beberapa helai kain batik dan baju untuk Amirah buat persalinan di hospital nanti.

 

Setibanya di hospital, Pengerusi dan beberapa ikhwah lain berada di lobi, aku terus berlari ke hujung lobi, ke arah Kak Ain, timbalan pengerusi untuk mengetahui keadaan Amirah sekarang.

“Mana Amirah kak?”

Diam.

Soalan aku cuma dibalas pelukkan erat oleh Kak Ain.

Airmataku hanya mampu turun laju , kakiku kaku tanpa boleh bergerak seinci pun.

Aku ingin berjumpa dengan Amirah.

Dia perlukan aku.

 

Setelah rawatan selesai, Amirah dipindahkan ke dalam wad. Dia tidak mahu berjumpa sesiapa, kecuali aku sahaja. Aku teman dia semalaman di wad. Masing-masing diam , aku pegang erat tangan dia, dan usap muka dia.

“Amirah, awat sampai jadi lagu ni? Hang tau dak hati aku sakit tengok hang lagu ni?”

Dia cuma diam, air matanya tidak pernah kering sejak semalam.

 

“Aku bersyukur, hang selamat, nasib takdak benda yang buruk berlaku.”

“Aku minta maaf, Min, aku tak dengar nasihat hang, aku tak telefon hang untuk carikan aku musyrif, aku bersalah, maafkan aku”

“Hang bukan bersalah kat aku, hang bersalah dengan diri hang sendiri, mak ayah hang, kalo depa tau nie, aku rasa depa terbang mai alex nie,”

“Jangan bagitau depa weh, aku takmau depa risau,”

“Taklah, aku tak bagitau pun, jangan risau,”

 

Malam itu, Amirah ingin pulang ke rumah, namun Nik terpaksa balik awal sebab ada hal  di rumanhnya, Peah sejak awal lagi tidak ikut. Jadi , Amirah terpaksa pulang sendiri dengan teksi , namun pemandu teksi itu, bukanlah orang yang baik-baik dia ingin membuat sesuatu ke atas Amirah, mujur Amirah bertindak cepat dan nekad dengan terjun keluar dari teksi dalam keadaan teksi sedang bergerak. Mujur ketika itu, ada beberapa ikhwah yang sedang menunggu tram di stesen setelah selesai bermain futsal di gelenggang Syatbi.  Mereka cuba mengangkat Amirah yang memang tidak sedarkan diri.Aku tetap rasa bersyukur, kerana tiada peristiwa yang lebih buruk berlaku terhadap Amirah.

 

 

“Pernah dak hang tengok iklan kat tv?”

“Iklan apa?”

“Iklan kosmetik tu, yang ending dia kata, kerana dirimu begitu berharga,”

“Ouch, hang kata kat aku noh,” pecah tawa kami dalam wad.

 

“Kami sayang hang, hang macam adik kami, kita ni kena saling menasihati, saling menjaga dan saling berkasih sayang”

“Bukan ke ukhwah tu manis kalo lagi erat pelukannya,” tambah Hana.

Kami peluk erat Amirah dan berjanji akan saling menjaga diri, nasihat menasihati kerana masing-masing tahu, dirimu begitu berharga.

 

Hasil Karya,

Nur Haliayatul Shawani binti Abd Goni

Pelajar Pergigian Tahun 5,

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2016/2017.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :