Aku menghentikan langkah tatkala terpandang susuk kanak-kanak lelaki yang sangat aku kenali, duduk memeluk lutut atas katil. Terus aku tangguh hasratku ke bilik penyimpanan cadar dan sarung bantal di hujung tingkat bangunan itu. Sebelum sampai ke katilnya lagi, aku sudah dapat melihat air mukanya yang keruh, memandang jauh-jauh menerobosi kehitaman malam melalui tingkap yang terbuka.

“Dr Hazem dah tiada kan?”

Aku yang baru membetulkan kainku yang agak meleret setelah duduk tadi, terpaku memandang wajah suram budak lelaki itu. Ahmad namanya. Aku tidak sempat berkata apa-apa namun Ahmad sudah menarik bantal di belakangnya lantas dibaling ke lantai. Bekas ubat dan pinggan besi hospital dibalingnya juga. Tiang tempat sangkut botol plastik berisi ‘saline’ ditolak kasar, serentak itu branula yang disemat pada kura tangan kiri tercabut sama. Dia menjerit, berteriak-teriak dalam deraian air mata.

“Ameena?”

“Hah? Ya, ya,” aku terpinga-pinga memandang Ahmad. Sepasang mata warna coklat cair itu penuh kebimbangan memandang aku yang seolah-olah tersedar dari mimpi. Wajahnya juga kering, tanpa basah air mata. Aku kerling meja di sisi katil, sedikit pun tiada barang-barang yang bergerak dari tempat asal. Botol ‘saline’ yang tersangkut juga kaku tak berusik menandakan aksi luar kawalan Ahmad tadi cuma halusinasi aku semata-mata. Mata aku terkebil-kebil sebelum aku berdehem dan menyusun kata-kata.

“Mana… mana kau tahu?”

“Aku dengar jururawat-jururawat berbual sama sendiri pagi tadi,” suara dia lemah. Lidah aku kelu. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan Ahmad tadi yang dia sendiri sudah tahu jawapannya. Ahmad ukir senyum pahit.

“Kau sedihkah Ameena?” sekali lagi soalannya dia sendiri sudah ada jawapannya. Aku angguk sedikit sambil aku menongkat wajahku dengan tangan kiriku manakala sebelah lagi aku letak di pipi kirinya. Sabarlah duhai adik, hati aku juga bukang kepalang sakitnya.

“Ameena?”

“Ya?”

“Aku… aku ingin pulang Ameena,” ujar Ahmad lirih. Aku terjeda. Berbual dengan kanak-kanak ini memang membuatkan aku habis akal bagaimana untuk menjawab. Ke mana lagi kau mahu pulang wahai adikku? Tanah mana lagi yang kau milik dan kau boleh duduki?

“Aku pun. Aku juga ingin pulang,” aku angguk-angguk sahaja. Tidak tahu bagaimana untuk meneruskan lagi perbualan. Dia bukan adikku. Sekalipun bukan adik kandungku namun kasih sayang aku sudah tertumpah dalam terhadapnya. Ahmad sama seperti aku. Kami berdua kehilangan keluarga dalam masa yang begitu pantas. Umurnya baru mencecah 9 tahun, namun fikirannya cukup matang. Beberapa minggu yang berlalu setelah kali pertama aku bertemunya di sini, di hospital ini sudah cukup untuk membuktikan kepintaran anak ini.

Setiap malam sebelum melelapkan mata, pasti aku akan bertemu kanak-kanak di ruangan wad ini yang rata-rata sudah bergelar yatim piatu. Dan Ahmad antara yang sentiasa petah berkata-kata, dan menarik perhatian aku barangkali kerana jalan hidupnya yang sangat menyedihkan. Kehilangan yang dirasai jarang ditunjukkan, tersembunyi di balik tawa dan senyum manis. Melalui ceritanya, dia juara pertandingan pidato di sekolah. Namun, kepetahan berbicara dan kepintarannya semakin dilupakan. Terkambus di celah runtuhan bangunan yang ranap dibom syaitan yang bertopengkan manusia.

“Berita Dr Hazem begitu perit buatkan aku sangat ingin pulang pada daerah yang lalu. Aku ingin pulang ke rumah. Supaya dapat bersama-sama ibuku, ayahku dan ahli keluargaku. Pada malam seperti ini, setiap minggu pasti ibuku akan memasak makanan yang kami akan nikmati waktu perkelahan pagi esoknya. Sudah lama aku tidak makan masakan ibu. Oh ibu.”

Andai kau tahu, aku juga merindui ibuku. Ayahku. Mereka semua. Mereka yang diambil dari kami dalam sekelip mata. Mereka pergi begitu sahaja, sedangkan beberapa minit yang lalu kami baru berbual-bual. Kami baru melihat mereka bergelak ketawa, sebelum senyuman mereka hanya terbias pada jasad kaku.

Seperti Dr Hazem yang didakap panggilan syahid, beberapa jam selepas beliau melawat wad kanak-kanak ini. Dr Hazem sangat penyayang dan baik hati, semua kanak-kanak pun mengenali beliau. Beliau bukan berasal dari Aleppo ini, malah anak isterinya ditinggalkan. Untuk meredakan tangisan anak-anak kecil, katanya. Dia juga sering memberikan kata-kata semangat kepada kami, barisan doktor di sini. Kini bumi ini sudah tiada lagi doktor pakar kanak-kanak. Walhal anak-anak kecillah yang mempelopori jumlah mangsa terkorban disembelih dan perlukan rawatan rapi.

“Aku mahu berjalan-jalan lagi di taman seperti satu waktu dulu. Aku ingin ke sekolah lagi, pegang pensil dan membawa buku ke sana ke mari. Aku ingin bermain bola lagi dengan jiran-jiranku. Kawan-kawan aku bagaimanapun sudah tiada. Malah aku merasa jauh sekali dengan masa lalu. Jadi Ameena, siapakah yang mampu membawa aku kembali pulang?”

Terasa mataku berkaca. Aku alih tangan yang dari tadi di pipi Ahmad, dibawa ke rambut perang lembut itu lalu ku elus. Kuatlah adikku.

“Benar Ahmad.  Aku juga seperti kamu, aku mahu pergi dari semua kehancuran ini. Adakah mungkin untuk kita bina hidup baharu yang jauh lebih baik daripada ini, itulah yang selalu aku fikirkan. Untuk masa sekarang, kita perlu bertahan…”

“Bertahan? Bertahan untuk akhirnya mati,” tingkahnya. Aku angguk mengiyakan. Langsung tidak salah sama sekali apa yang dikatakan itu. Ya, kami bertahan untuk akhirnya mati.

“Matinya kita tidak bererti kita kalah. Semoga bila kita mati, semangat kita terus segar bercambah di bumi ini.”

“Bahkan aku sendiri merasakan semangat ahli keluargaku yang telah pergi. Ibuku meninggal dengan perut terbelah dua, memisahkah jasad adikku di dalam rahim ibu. Ayahku ditarik keluar dari celah puing-puing binaan dengan kepala pecah. Adik-adikku juga sama. Nenekku badan bercerai empat waktu ditemui. Kematian bagimanakah yang akan aku hadap?” dia menyapu air mata dengan tapak tangan. Aku segera merangkul Ahmad, menyalurkan kekuatan. Cerita kematian ahli keluarganya sudah berulang kali aku dengar, lantas menjadi asbab kepada nasibnya yang menjadi sebatang kara.

“Setelah Dr Hazem pergi, maka siapa yang akan merawat anak-anak di sini Ameena?” itu juga perkara yang bermain di fikiranku. Mata Ahmad sayu.

“Aku tidak tahu Ahmad,” serentak itu Ahmad menangis. Air mata yang menitis tadi membanjiri pipi gebunya. Aku kaget.

“Bagaimana nasib anak-anak kecil di sini nanti Ameena? Bayi… bayi di bilik sana akan matikah? Kawan-kawan aku di sini akan matikah?” dia merengek dalam tangisan.

Aku mengemaskan pelukan lagi. Dagu aku tongkat pada ubun-ubunnya. Tanpa sedar aku sendiri menitiskan air mata. Laju turun dan jatuh atas kepala Ahmad. Untuk yang pertama kalinya, aku menangis di hadapan Ahmad. Adikku, kau masih kecil. Bukan ini yang kau patut fikirkan. Bukan kematian demi kematian, kehancuran dan kemusnahan yang patut berlegar di minda anak seusiamu.

“Allah Taala itu ada. Kita kuat, kerana Dia di samping kita. Jangan takut, jangan sedih.” Tangisan Ahmad semakin reda dengan kata-kataku itu. Dia tidak merengek lagi, namun bahunya terhinggut-hinggut menahan esakan. Aku menepuk-nepuk bahunya. Anak ini, sudah banyak yang dilaluinya.

“Malam sudah lewat. Kamu harus ti…”

Kata-kataku dimatikan oleh suatu bunyi berdesis yang kuat dari kejauhan. Aku melihat manusia-manusia yang belum tidur, memandang ke arah tingkap di belakang aku dengan mata terbuntang. Lantas aku menoleh.

Dalam hitam malam, aku menyaksikan cahaya warna merah yang panjang menegak merentasi langit. Aku kenal benar bunyi itu. Itu bunyi sebelum ada bangunan-bangunan yang rebah mencium bumi, mengambus manusia-manusia di celahan batu dan debu. Jantung aku berdegup kencang.

“Aku… takut Ameena,” Ahmad memaut tangannya pada leher aku. “Berzikir dik. Berzikir,” aku berusaha tenang sambil memandang jururawat-jururawat yang kelihatan kalut di kaunter sana. Kalau benar peluru berpandu itu disasarkan ke hospital ini, kami takkan sempat lari dari sini.

Tiba-tiba, kedengaran dentuman yang kuat di atas kepala kami sebelum aku langsung tidak mendengar apa-apa lagi. Suara bisikan Ahmad berzikir dekat di telinga aku juga terhapus. Aku seolah-olah jatuh dalam sebuah lubang dalam yang hitam. Merentas kegelapan dan kesunyian ini, aku sempat terfikir. Aku sudah dibawa pulangkah? Beginikah jalan pulang kami?

 

Hasil nukilan,

Amina Rayha,

(Tahun 1 Perubatan)

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :