Iskandariah, Oktober 16  – Telah berlangsung majlis perasmian penutup AHLAN 2016 sebentar tadi di Sutuh Bangunan MARA, Bangunan Pelajar Malaysia. Majlis dimulakan dengan slot ‘Sepetang Bersama Senpai’, iaitu slot perkongsian daripada beberapa orang senior berkenaan pengalaman mereka sepanjang berada di Bumi Anbiya’, Ardhul Kinanah.

Malam ini juga menyaksikan pengumuman Ketua Batch dan Timbalan Ketua Batch yang terdiri daripada pelajar Tahun 1 Perubatan, iaitu Muhammad Aiman bin Nizar dan Dinie Aisyah binti Abd Rahman. Dengan itu sudah berakhirlah majlis sambutan pelajar-pelajar baharu bagi sesi 2016/2017. Namun haruslah diingatkan bahawa perjalanan yang perlu ditempuh oleh para pelajar Tahun 1 baru sahaja bermula dan masih jauh.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ustaz Ahmad Sofi yang turut memberi perkongsian dan banyak memberikan nasihat yang berguna kepada para hadirin di dalam ucapan beliau. Beliau banyak menekankan tentang kepentingan menjadi ‘Tholabal Ilm’ (penuntut ilmu). “Jangan tunggu disuap, cari sendiri. Berubahlah. Kalau tidak, kita yang akan diubah.”

“Perlu ada satu keazaman dan tanggungjawab apabila kita membuat keputusan untuk datang ke Mesir, memilih Universiti Iskandariah sebagai tempat kelangsungan pengajian. Kita bertanggungjawab atas keputusan tersebut, Jangan sampai tahun-tahun akan datang kita menyalahkan orang lain. Apabila kita membuat keputusan yang bertetapan dengan pilhan Allah Taala, maksudnya kita perlu redha dan terima dengan sepenuh hati,” ujar beliau dalam ucapan perasmian penutup AHLAN 2016.

Ketika ditemui, Timbalan Pengarah 3 AHLAN 2016, Nursumayah binti Ismail berkata, “Sejak bulan Julai (sesi lepas), terdapat Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJKP) yang tidak balik pada cuti musim panas semata-mata untuk merangka rapi perjalanan program AHLAN. Bahkan ada yang sanggup bersengkang mata dan mengorbankan cuti musim panas mereka semata-mata untuk menjayakan program sambutan pelajar baharu ini dengan lebih berfokus.”

 

img_5069

Sekalung tahniah diucapkan kepada para AJKP AHLAN 2016 atas usaha dan kerja keras anda. Perjalanan kita di dunia fana ini memang banyak onak durinya, mustahillah untuk kita mengharapkan yang manis sahaja kerana hakikatnya yang manis itu hanyalah di syurga yang abadi. Hakikatnya perkara yang Nabi Muhammad SAW lakukan sememangnya bukan senang dan tidak akan dapat kita lakukan dengan hati yang senang. Oleh hal yang demikian, ayuhlah sahabat-sahabat, kita berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan dalam akademik seiring dengan kegemilangan sahsiah diri.

Disediakan oleh,

Amyrah Aina binti Mohd Zamri,
Unit Liputan dan Hebahan,
Universiti Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :