Iskandariah, 13 September – Telah berlangsung Rumah Terbuka PERUBATAN (PCI) bertempat di Bangunan MARA yang turut dihadiri Pegawai MARA Timur Tengah, Ustaz Ahmad Sofi bin Abdullah sekeluarga, Dr Hala Maklad dan beberapa orang lagi wakil dari Fakulti Perubatan Universiti Iskandariah.

Seawal jam 8.00 malam, telah ramai daripada kalangan ahli PCI memenuhi perkarangan Kafe dan Sutuh MARA bagi menanti hidangan tiba. Antara menu juadah yang telah disediakan ialah sup unta, kari kambing, dalca dan ayam goreng berempah beserta nasi jagung. Hampir seratus peratus jamuan dan aktiviti ini telah disertai oleh ahli PCI yang sedia datang merewang dan memasak bagi jamuan tersebut. Respon ahli tentang keenakan juadah tersebut amat positif sekali walaupun makanan tiba agak lewat sedikit. Rumah terbuka pada hari raya ketiga ini menandakan tamatlah sudah program SAADAH 1437H pada tahun ini.

Program SAADAH yang telah dirancang selama tiga hari berturut-turut ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang mampu mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli PCI. Antaranya ialah Malam Gema Takbir yang diadakan di Sutuh MARA dan turut diadakan majlis berbuka puasa bersempena dengan puasa sunat Hari Arafah.

Pada pagi 10 Zulhijjah bersamaan dengan 12 September 2016, Solat Sunat Hari Raya dan Khutbah Raya telah dilaksanakan di Bangunan MARA. Khutbah raya kali ini telah disampaikan oleh Pegawai MARA Timur Tengah sendiri iaitu Ustaz Ahmad Sofi bin Abdullah. Selepas daripada selesai khutbah, ahli PCI telah dijamu dengan juadah istimewa seperti nasi minyak, ayam masak merah, acar dan tambahahan menu istimewa dari ustaz Sofi sekeluarga, kuey teow sup.

 

dsc00151

 

Pada pagi 13 September ini bermulalah kemuncak aktiviti bagi program SAADAH 1437H iaitu penyembelihan binatang korban dengan sebanyak seekor unta, seekor khoruf dan 16 ekor kambing telah ditumbangkan. Seramai 60 orang ikhwah dan disertai oleh Ustaz Sofi telah bertungkus-lumus melapah binatang korban di perkampungan angkat anak Malaysia di Karamella. Mereka telah dibahagikan sebanyak 14 kumpulan bagi melancarkan urusan melapah.


14359768_1234112316640005_456416102_o
14359838_1234011066650130_2099227898_o

 

 

 

 

 

 

Kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli PCI membuktikan PCI mempunyai ahli yang sangat proaktif dan ringan tulang dalam menjayakan program-program mega seperti ini. Inilah semangat berpasukan dan kesatuan yang amat diperlukan bagi melahirkan pengamal sains kesihatan yang rabbani dan kompeten. Semoga Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini mampu menggilap sikap tadhiyyah yang tinggi pada diri setiap ahli sekaligus mempersiapkan diri sebagai pengamal sains kesihatan yang telus dan tulus.

 

dsc00736

 

Setingi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua penggerak SAADAH 1437H sama ada secara langsung sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang diketuai oleh saudara Muhammad Huzaifah bin Hassan Pengarah SAADAH 1437H, dan secara tidak langsung untuk turun bagi merewang dan memasak. Jutaan terima kasih kepada semua ahli PCI yang datang memeriahkan susasana dan turut menjadi salah satu agen penggerak dalam menjayakan program ini yang bermula sejak 11 September yang lalu.

 

dsc00742

 

 

Semoga kita dapat menghayati erti sebenar pengorbanan sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha dan terus dapat mengukuhkan ukhuwah sesama ahli PCI melalui program-program yang dianjurkan. Diharapkan nilai kerjasama dan sikap saling membantu terus tersemat dalam diri mahasiswa sains kesihatan di luar Negara seperti kita di bumi Iskandariah ini.

 

Dilaporkan oleh,

Nur Haliayatul Shawani bt Abd Goni,

Unit Liputan dan Berita,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2016/2017.

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :