photo-1456983887044-b5ecb1059660

Terik sang suria di musim panas mula menyuram, menandakan cuti musim panas bakal berakhir dan sesi pembelajaran bakal menginjak datang. Semangat yang mula dikutip dan disemai sejak awal impian ingin menjadi seorang pengamal sains kesihatan diharap dapat menjadi baja yang terus menyuburkan roh-roh insan ini.

Mari duduk sebentar dan sama-sama merenungi mutiara kata Imam Syafie, seorang hafiz seawal usianya 9 tahun, pemuda yang menghafal kitab hadis al-Muwatta’ sewaktu 10 tahun dan mampu memberi fatwa semuda usianya 15 tahun. Apabila ditanya rahsia kejayaanynya, beliau mendedahkan enam kunci azimat yang diamalkannya.

Pertama, perlunya ada kecerdikan (az-zaka) bagi setiap pencinta ilmu. Setiap orang mampu mencapai darjat ini namun haruslah menjaga akal fikiran usah dicemari dengan maksiat. Selain itu, setiap pencinta ilmu perlu ada sikap tamak. Bukanlah yang dimaksudkan tamakkan harta kemewahan namun tamak terhadap ilmu, tidak berasa puas dengan ilmu yang ada. Jika seorang pengembara berjaya memperoleh binatang buruan pasti akan diikat haiwan tersebut untuk mengelakkannya terlepas. Begitulah jua sebagai seorang pelajar, ilmu yang diperoleh perlu ditambat erat dengan menulis ilmu itu sebagai catatan.

Kunci seterusnya yang membolehkan beliau menjadi seorang ilmuwan yang begitu hebat ialah kesabaran. Jika ingin menjadi pohon yang tinggi bersedialah untuk ditiup angin yang kencang, jika tidak cukuplah sekadar menjadi rumput yang hidup dipijak-pijak. Sebagaimana sabarnya Ayahanda Nabi Yusuf A.S taat kala diuji kehilangan anak kesayangannya begitulah juga setiap pencinta ilmu perlu meneladani sifat tersebut. Cukuplah sekadar pujukan dari Allah yang menenangkan hati setiap hambaNya “dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” (surah Yusuf : 87)

Dalam meniti pahit manis ranjau perjalanan menuntut ilmu, bekalan kewangan dan panjangnya masa juga menjadi asbab kejayaan beliau. Mana mungkin ilmu Allah yang tidak setanding seluas lautan mahupun segunung emas mampu dikecapi dengan bekalan yang kosong dalam masa yang singkat.Tidak dilupakan bimbingan seorang guru dalam mencapai maksud sebenar sesuatu ilmu. Dapat dilihat peranan seorang guru yang bukan sekadar menjadi pembimbing tetapi juga menjadi tempat mengadu dan meminta pandangan sebagaimana Imam Syafie sendiri yang mengadu kepada gurunya Imam Waqi’ berkenaan buruknya hafalannya. Walaupun ringkas nasihat yang diberikan gurunya, namun cukup untuk menyedarkan beliau akan kesalahannya.

Wahai pejuang ummah nukleus masyarakat, Teruskan berlari, biar penat itu menjadi lelah mengejarmu. Jangan kau mengah sebelum kejayaan menjengah. Jangan kau menyerah biarpun berkali-kali rebah. Bertahanlah selagi ada Tuhan. Jangan pernah kuburkan impian hari ini yang merupakan realiti masa depan.

If you want to see your past, see your present condition If you want to know your future, see your present action

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :