Akak, ada bau tak?” soalnya tiba-tiba. Aku mengerutkan dahi. Gadis itu baru sahaja bertugas sebagai pelatih di syarikat majalah kami. Dia agak nakal tapi cekap. Seperti biasa dia akan jadi pembantu aku, bertugas menjadi jurukamera setiap kali kami keluar mencari bahan cerita.

“Bau apa pula?”

“Bau bunga melur. Seramnya, akak,” Aina menggosok-gosok lengannya. Aku mengeluh sebelum aku menuding ke arah belakang pagar, ke arah pokok setinggi budak berumur lima tahun yang agak tersorok.

“Apa yang nak diseramkan. Dah pokoknya di situ. Betul-betul di tepi kau,” aku menggelengkan kepala manakala Aina pula tersipu-sipu malu. Serentak itu, kedengaran bunyi selipar getah diseret ke lantai mozek itu diringi suara menjawab salam yang kami berikan beberapa minit yang lepas.

“Anak-anak ini yang dari majalah itu ya?” tanya wanita separuh abad itu yang membuka mangga pintu pagar, sambil tersenyum mesra. Kami mengiyakan sambil menyalami wanita yang terus mempersilakan kami masuk ke dalam rumah.

“Duduklah dulu, nak. Mami, orang majalah sudah sampai,” panggil wanita itu sebelum beredar ke dalam rumah meninggalkan kami berdua di ruang tamu yang sangat besar itu.

Dekorasi dalamannya yang bertemakan kontemporari itu ringkas, dan sekali imbas boleh tahu tiada kanak-kanak di dalam rumah ini. Di atas meja kopi berkayu jati dan beralas songket itu, ada mangkuk kaca berisi batu-batu sungai berwarna putih hitam. Sepucuk senapang antik tergantung di dinding yang dicat warna pastel, sebaris dengan lukisan-lukisan flora.

“Masuklah, Mami dah tunggu,” aku dan Aina berpandangan mendengarkan kata-kata wanita itu yang muncul kembali selepas beberapa minit. Segan juga, tapi mahu tidak mahu kami mengekori langkahnya ke tingkat atas dan memasuki sebuah bilik yang lebih kurang besarnya dengan ruang tamu tadi.

Hati aku berdegup kecang.

Wajah yang selama ini hanya mampu kami tatap dalam buku-buku sejarah kini berdiri tampangnya betul-betul di hadapan kami. Walaupun wajah itu sudah kedut seribu, aku diyakinkan Mami masih sihat dan ingatan beliau juga masih utuh.

Hangat tangan beliau sewaktu kami bersalam dan memperkenalkan diri masing-masing kepada pejuang bangsa itu terasa-rasa pada saat aku sudah memegang pen aku pun, bersedia untuk mencatat. Raut wajahnya tegas dan garang, seperti yang aku pernah terbaca juga beliau memang tidak banyak bercakap namun kalau beliau berbicara, semestinya dalam loghat utara yang pekat, memang meninggalkan kesan pada yang mendengarnya.

Sebenarnya kami bertuah kerana Mami bersetuju untuk ditemu bual, walhal sebelum ini semua permintaan oleh ramai pihak ditolak beliau bulat-bulat. Setelah kehilangan suami, beliau banyak mendiamkan diri.

Siapalah yang tidak kenal dengan Melur Malaya?

Aku meminta Mami Melur memulakan cerita tentang bagaimana Mami boleh terlibat dalam perjuangan sewaktu sebelum kemerdekaan dahulu.

“Pada tahun 1948, waktu itu Tanah Melayu diisytiharkan darurat dan ancaman komunis berleluasa di mana-mana oleh sebab itu British menubuhkan Home Guard (HG). Ayah aku pesan, siapa lagi kalau bukan kita yang pertahankan tanah tumpah darah sendiri. Bukan tidak boleh percaya pada orang luar, tapi kita yang tinggal di sini. Ini bumi kita. Kami pakai kain lilit pada lengan tertulis HG. Aku ajak kawan-kawan aku yang tinggal di kampung sekali,” Mami Melur mengambil album gambar di atas meja di depannya dan menunjukkan gambar beliau dan rakan-rakan yang masih tersimpan rapi walau hampir 68 tahun berlalu.

“Selain HG, aku juga menulis untuk akhbar.” Wanita tadi datang dengan membawa seteko teh panas, tiga biji cawan dan sepiring kuih lepat pisang yang masih hangat. Daripada Mami, kami tahu wanita itu pembantu rumahnya.

“Mami tulis pasal apa?”

“Aku diupah jadi penulis untuk banteras kegiatan komunis. Aku bersekolah di sekolah Inggeris, malah aku juga mahir menulis bahasa Mandarin. Aku berkahwin dengan suamiku yang bersaudara dengan golongan kerabat. Aku suka menulis, aku jadikan ia jalan untuk aku sampaikan hasrat aku kerana peluang untuk bercakap dengan khalayak agak jarang buat aku,” dan kemudian beliau menyebut nama beberapa orang pejuang wanita yang aku bimbang kalau ditulis di sini boleh menimbulkan kontroversi kerana isu politiknya. “Dan begitulah, juga ada khabar angin yang mengatakan aku terlibat dalam pakatan untuk menjatuhkan pihak British.”

“Bagaimana pula dengan perjuangan Mami selepas merdeka?”

“Pada 1969 berlaku kekecohan antara rakyat. Suami aku meninggal dunia sewaktu Peristiwa 13 Mei,” beliau terjeda seketika. Kami pun terdiam, turut bersimpati dengan pemergian suami beliau yang memang bersama-sama dalam perjuangan beliau. “Waktu itu, tiga kaum majoriti di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India saling bermusuhan. Banyak sebab kenapa krisis perkauman itu terjadi.  Rakyat hidup dalam ketakutan dan penuh syak wasangka. Keadaan waktu itu amat dasyat.”

“Dahsyatnya,” sampuk Aina. Sekali lagi aku menjeling ke arahnya. Mami Melur mengangguk.

“Ramai yang terkorban, hilang ahli keluarga. Yang meninggal dunia 196 orang. Yang cedera 149 orang. Datuk kamu,” Mami Melur memandang tepat ke arah aku. Aku telan liur. “Datuk kamu pun meninggal sewaktu peristiwa itu berlaku, bukan?”

Rahang aku jatuh. Tepat sekali. Aku terkebil-kebil kehairanan. Bagaimana Mami boleh tahu? “Mendengar sahaja nama ayah kamu melalui telefon tempoh hari dan melihat wajah kamu sendiri, aku sudah tahu kamu cucunya. Datuk kamu sahabat baik arwah suamiku. Suamiku terbunuh sebelum datukmu,” kata beliau. Aku angguk faham, patutlah Mami sudi ditemu bual oleh kami. Sayangnya, aku sendiri tidak sempat bertemu datukku.

“Kalau perpaduan antara rakyat sudah hapus, maka bakal musnah kemerdekaan yang kita kecapi. Perjuangan orang dahulu payah untuk dihargai kerana mereka tidak merasa peritnya hilang orang yang disayangi, peritnya hidup dalam ketakutan, dalam cengkaman manusia zalim. Hari ini kalian hidup senang-lenang sebaik sahaja mata dibuka. Semua sudah di depan mata, tinggal untuk disuap sahaja.”

“Aku sudah tua, yang akan berjuang sudah bukan aku lagi tapi kalian. Anak muda perlu sedar. Anak muda perlu bangkit. Jiwa anak muda berapi, namun jangan dibiar marak sembarangan. Merdeka jasad, merdeka jiwa. Gunakanlah, wahai anak muda, tulang empat keratmu sehabis daya.” nasihat beliau lagi. “Usah dipedulikan perbezaan antara kita, hidup di bumi ini kalau mahu digariskan jurang antara satu sama lain alamatnya ranaplah. Ranap.”

“Ingatlah, sejarah kalau tidak dipelajari maka tidak mustahil ia boleh berulang kembali,” kata beliau mengakhiri wawancara kami. Kami meminta diri untuk pulang, dengan buah tangan seplastik lepat pisang dan diiringi haruman bunga melur di tepi pagar rumah Mami.

“Saya rasa jualan isu kali ini mesti jadi perhatian ramai,” komen Aina girang sewaktu masuk ke dalam perut kereta. Aku tidak mengendahkannya. Ada sesuatu yang lebih penting bermain di mindaku.

Sesuatu yang menyalakan obor dalam diri aku dan semboyan berbunyi, terngiang-ngiang kata Mami Melur tadi. ‘Kalau perpaduan antara rakyat sudah hapus, maka bakal musnah kemerdekaan yang kita kecapi.’

“Walaupun berbeza budaya agama

Bukanlah penghalang kita bergandingan

Marilah bersatu sehati sejiwa

Malaysia kekal sejahtera.”

(Sehati Sejiwa – Lagu Tema Kemerdekaan 2015/2016)

28388f9e6e4487183bac642b69884176

Disediakan oleh,

AA,

Pelajar Tahun Satu Perubatan,

Universiti Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :