Saat aku membaca tentang tercetusnya Perang Uhud 1400 tahun yang lalu . Terdetik di dalam hatiku bahawasanya aku tak mampu .

Aku tak mampu menjadi seperti Mus’ab bin Umair yang teguh dan gagah memegang bendera Islam ketika tercetusnya Perang Uhud . Tika sebelah tangannya memegang bendera manakala sebelah lagi menghayun pedang menyekat kemaraan tentera Quraisy. Akhirnya pihak Quraisy berjaya memotong sebelah tangannya, dipegangnya bendera dengan tangan yang satu lagi. Kemudian tentera Quraisy memenggal sebelah tangannya lagi. Pada masa itu jatuhlah bendera Islam pada peperangan Uhud dengan syahidnya Mus’ab bin Umair.

Aku tak mampu menjadi seperti Saad bin Abi Waqas yang bersemangat membantu tentera islam dengan keupayaannya memanah dengan tepat, kesan panahannya ada yang membunuh dan ada yang tercedera.

Aku juga tak mampu menjadi seperti Anas bin Nadr . Dia syahid dalam keadaan tubuhnya penuh dengan tikaman senjata tidak kurang 83 tikaman. Lihatlah bagaimana dia mempertahankan Muhammad S.A.W. Aku tak mampu menjadi seperti Abu Dujanah , di mana dia melompat ke dalam lubang melindungi Muhammad S.A.W dengan belakangnya. Jadi semua anak panah yang menghujani lubang Muhammad mengenai belakang Abu Dujanah.

Lihatlah betapa sayangnya para sahabat kepada Baginda. Jauh sekali menjadi seperti Saidina Abu Bakar,Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali yang kasih sayang mereka terhadap Muhammad tiada berbelah bahagi. Sanggup bekorban nyawa dan harta demi bersama Muhammad S.A.W. Mempertahankan Baginda lebih dari segala-galanya. Tatkala yang lain mencemuh dan mencaci Muhammad S.A.W, mereka setia mempercayai Al- Amin . Sentiasa utuh membawa Islam di hati, memikul tanggungjawab dakwah berat di bahu. Allahumma solli ‘ala Muhammad . Semua yang ku katakan tadi tak mampu ku lakukan selama bergelar umat Baginda, untuk menyatakan rasa cinta dan hanya terus mampu memendam rindu yang membara tatkala mendengar nama dan sirah Baginda.

 

Semoga aku dan juga kamu, mampu terus mempertahankan perjuangan baginda, membalas segala perih jerih kepayahan baginda menyebarkan Islam di seantero dunia. Semoga aku dan juga kamu, mampu terus menghidupkan sumbu- sumbu cinta agar ia sentiasa membara di dalam setiap hati yang sentiasa merindui Baginda. Semoga aku dan kamu terus dapat menyalakan sunnah-sunnah yang Baginda tinggalkan untuk kita bagi meneruskan kehidupan di saki baki zaman ini. Semoga aku dan juga kamu, sentiasa terinspirasi dan terus terinspirasi dari kisah Muhammad S.A.W kekasih Allah.

 

Hasil Karya,

Fa,

Tahun 1

Pelajar Pergigian,

Universiti Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :