Petang yang cerah Yusuf duduk santai di kerusi goyang di beranda rumah sambil menghirup teh yang panas yang dibancuh oleh isterinya. Rumahnya yang menghadap lalu lintas menjadi laluan kebiasaan orang ramai di Kampung Kelewek itu. Sesekali Yusuf tersenyum. Benak Yusuf menghitung wang yang masuk ke koceknya. Petang itu sahaja sudah 5 orang membayar hutang kepadanya dengan jumlah sebanyak RM 5000.

Walau sekalipun mereka hanya mampu membayar bunga sebanyak 30 peratus itu, bererti setiap kali pembayaran 30 peratus digandakan dengan hutang yang asalnya RM 5000.

Ini belum lagi termasuk dengan bayaran sepenuhnya, namun Yusuf sudah mampu menjana pendapatan hanya dengan bunga wang sahaja. Bagi Yusuf, apabila mereka hanya mampu membayar bunga wang sahaja pun tidak mengapalah.

Kan hutang tetap kekal, silakan walau hanya membayar bunganya sahaja. Hutangnya tidak berkurang sama sekali, benak Yusuf. Beberapa bulan sahaja bunga yang diterima sudah melebihi wang yang dipinjamkan. Wang itu tetap kekal dan penghutang tetap membayar bunganya sebanyak 30 peratus setiap bulan.

 

Acap kali senantiasa orang akan melangsaikan hutang mereka mahupun membayar bunganya maka wang bagi Yusuf mengalir seperti batang sungai yang tidak jauh dari tempat dia tinggal. Yusuf tidak pernah memarahi penghutangnya walaupun mereka hanya membayar bunganya sahaja. Yusuf mengeluarkan wang hasil kutipan petang itu dengan tidak menyedari bahawa dia sedang mengamalkan riba’ yang jelas perbuatan itu dilaknati Allah.

 

Yusuf tersentak dari lamunan ketika seseorang datang menyapa dan menunduk mendekatinya. Seperti biasa, lelaki itu tersenyum. Yusuf tidak bermasam muka ketika menyambut tetamu yang datang lalu dia berhenti dari menghitung wang hutang yang dikutipnya petang itu.

“Kamu Amri?” ujar Yusuf

“Ye, Usop”, Amri membalas dengan nama panggilannya.

“Nampak sedih kamu ni Amri. Ada masalah ke?”

“Maaf Usop, saya belum boleh melangsaikan hutang”

“Takpe Amri, aku ni orangnya mudah, bayar bunganya sahaja sudahlah”

“ Tapi Usop . .

“Takpe Amri, aku ni orangnya baik. Bayar bunganya sudah cukup, tapi ingat, hutang tetap kekal” jawab Yusuf mudah cuba menenangkan Amri yang kerunsingan.

“Ingat Amri, bukan bini kamu sahaja yang boleh beranak, wang juga bisa beranak Amri”

Kedengaran vespa tunggangan Hussin menuju ke rumah Yusuf. Hutangnya terhadap Yusuf masih belum dilangsaikan lagi gara-gara minat beliau yang mendalam terhadap vespa memaksa beliau untuk berhutang dengan Yusuf.

“Assalamualaikum Usop” sapa Hussin.

“Waalaikumussalam Sin, naiklah rumah” jemput Yusuf.

Hussin kelihatan gembira seakan beliau sedang membawa berita gembira untuk Yusuf.

“Nah, aku nak gadaikan gelang emas ini untuk hutang aku” kata Hussin

Yusuf mencapai gelang emas itu daripada Hussin, membelek-beleknya, mata beliau kelihatan bercahaya. Yusuf memikir sejenak sebelum membuat keputusan.

“Hmm, baikah Sin, aku ambil gelang emas ini. Tapi ini separuh sahaja daripada hutang kau ya belum termasuk bunganya lagi”

Sungguhpun nilainya tidak seperti diharapkan mahupun dapat melangsaikan sebahagian besar hutangnya, Hussin tetap akur. Beliau seperti sudah terikat dalam genggaman Yusuf, tiada jalan pintas melainkan hanya dengan hutang yang dilangsaikan.

Setelah membuat perjanjian, Hussin yang menaiki Vespa merah miliknya pun berlalu pergi dari rumah itu.

Bukan sahaja Hussin yang terperangkap dalam jeratan Yusuf, Malik yang berhutang dengan Yusuf pun lambat laun akan menggadaikan tanah miliknya demi melangsaikan hutang. Tentu sahaja Yusuf gembira apabila mengetahui tentang tanah itu. Walaupun tanahnya tidak luas, namun lokasinya strategik terletak di pinggir jalan besar dan berdekatan dengan pekan.

Lelaki yang ramah dan tidak pernah bermasam muka ini sudah seringkali mencekik keringat orang. Mereka tidak gemar dengan kelakuan Yusuf namun mereka memerlukannya. Ternyata di kampung itu tidak ada orang lain yang sedia memberi pinjaman tanpa batas, pintunya sentiasa terbuka bagi sesiapa yang memerlukan wang.

Mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain merupakan modal perniagaan Yusuf. Semakin ramai orang dalam kesusahan, semakin kaya dan menjadi-jadi perniagaan Yusuf yang berunsurkan riba’ itu.

Hiduplah miskin walau terpaksa bayar hutang sekalipun, jangan mati dalam hutang.

Kekuatan yang kita ada, dengan bilangan yang cukup utuh untuk kita beralih kearah sistem ekonomi Islam, memboikot segala unsur riba’ yang didoktrinasi oleh Barat malahan mereka sendiri termakan dengan sistem yang digembar-gemburkan mempunyai banyak faedah. Greece adalah antara negara yang telah terbenam dalam sistem.

Dalam sejarah mana pun, kebenaran tidak perlukan pembesar suara.

Dan, kebenaran tidak pernah dikalahkan kebatilan, tinggal ianya perlu diperjuangkan.

 

Nukilan,

Muhammad Zikry Hamedi

Tahun 4 Perubatan

Universiti Iskandariah

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :