Iskandariah, Mei 2 – PEACE (PERUBATAN For Peace and Care) telah mengadakan ‘Street Sadaqah’ pada hari ini melibatkan barisan aktivis dan AJK PEACE sendiri. Sejak awal pagi lagi, mereka telah berkumpul di Taman Game’ Ibrahim sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan kecil ke kawasan-kawasan yang ditetapkan iaitu dari Manshiah ke Camp Caesar.

Menurut seorang mahasiswi Tahun 5 yang merupakan salah seorang aktivis PEACE, beliau yang bergerak ke kawasan Syubban Muslimin berkata, “Antara yang saya peroleh pada hari ini ialah jangan bersangka-sangka dengan manusia. Kita jadi ragu-ragu untuk memberi sebab takut tersalah bagi pada orang yang bukan sepatutnya. Boleh saja bagi pada tukang sapu ke, pada makcik penjual tisu ke. Secara asasnya dia pun kurang bernasib baik. Adapun sebenarnya kerana kita sendiri yang terlalu menghakimi.”

Sebanyak 50 syantah berisi makanan telah diagihkan kepada insan-insan yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai tempat tinggal. Sesungguhnya, golongan gelandangan bukanlah untuk dipandang hina dan dicaci malah mereka patut dibantu atas dasar sesama manusia.

“Walaupun lusa akan ada peperiksaan, saya rasa satu kepuasan apabila dapat menyumbang dengan tenaga. Dari sudut kita sebagai pemberi, kita dapat lihat, ramainya orang-orang yang tak bernasib baik macam kita. Terima kasih juga pada wakil AJK, Kak Azifah (Nor Azifah Zakaria – Timbalan Pengarah PEACE) dan Abelo (Amirulhafidz Arifin – Pengarah PEACE). Tahniah AJK Penggerak. Tahniah aktivis. Terima kasih PERUBATAN kerana menyediakan medium untuk kami membuat amal,” ulas seorang mahasiswi Tahun 1 jurusan perubatan.

13140670_1196771970368127_1205757222_n

Menjadi aktivis PEACE, mahasiswa-mahasiswi dapat belajar tentang kehidupan setempat di samping dapat membantu masyarakat yg memerlukan. Semoga PEACE dapat terus menjadi medium untuk menganjurkan aktiviti sebegini serta aktiviti amal kebajikan yang lain untuk para aktivis di Iskandariah.

“Perumpamaan (pahala) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti dengan sebiji benih yang menumbuh tujuh tangkai, dan pada setiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah melipat gandakan (pahala) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” [Al-Baqarah 2:261]

Disediakan oleh,
Amyrah Aina binti Mohd Zamri,
Unit Liputan dan Hebahan,
Biro Penerbitan dan Penerangan 2016/2017.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :