Iskandariah, 29 April – Majlis perasmian penutup Kempen SC The Odyssey telah berlangsung dengan jayanya semalam bertempat di Sutuh MARA dan diserikan dengan kehadiran barisan Majlis Tertinggi PERUBATAN sesi 2016/2017 yang meneruskan siri jelajah mereka ke PERUBATAN Cawangan Iskandariah. Majlis penutup ini terlebih dahulu telah dimulakan dengan majlis khatam Al-Quran, solat Maghrib secara berjemaah dan iftar jamaie sebelum diteruskan dengan sebuah forum yang bertajuk ‘The Odyssey: A Spiritual Quest’ yang dikupas oleh ahli-ahli panel jemputan iaitu Dr. Hamdi Razali dan Ustaz Atif Banin.

“Dari manakah kita datang (min aina ji’-na)? Kenapakah kita didatangkan atau diciptakan (li ma-za ji’na)? Dan kemanakah kita kembali (ila ainal mashir)?” demikianlah soalan yang dilontarkan oleh Dr. Hamdi pada awal kata-katanya dan pada akhir kata-katanya barulah beliau mengulas dengan lebih lanjut tentang persoalan-persoalan tersebut.

Hadirin diingatkan untuk sentiasa bermuhasabah diri adakah setiap apa yang mereka lakukan boleh membawa rahmat Allah Taala. The Odyssey yang boleh digambarkan sebagai perjalanan yang dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi merupakan tema yang sangat tepat untuk mendefinisikan perjalanan seseorang hamba di atas muka bumi ini. Beliau juga menekankan kepentingan Smart Circle (SC) mempunyai kedua-dua proses iaitu proses taa’lim dan tarbiyah yang mendidik kedua-dua akal dan jiwa manusia. Ahli panel yang kedua, Ustaz Atif Banin turut menegaskan kepada hadirin untuk meletakkan SC sebagai perkara sunnah dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri telah mengadakan usrah seperti SC ini malah baginda sendiri yang bertindak sebagai mentor. Alangkah baiknya jika peluang untuk mengikuti jejak langkah insan mulia ini direbut agar kita tetap dekat dengan baginda walaupun tidak bersama-sama.

Syabas diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan majlis ini. Semoga mahasiswa-mahasiswi PERUBATAN Cawangan Iskandariah lebih memahami fungsi diri dan kepentingan usrah dalam menempuh jalan di alam dunia ini. Diharapkan agar Kempen SC ini bukan sekadar kempen pada bulan ini sahaja, namun jadikanlah ia sebagai batu loncatan untuk terus menjadi mentor dan mentee yang komited dalam menggerakkan SC sebagai medan tarbiah ahli dalam PERUBATAN.

Disediakan oleh,
Amyrah Aina binti Mohd Zamri,
Unit Liputan dan Hebahan,
Biro Penerbitan dan Penerangan 2016/2017.

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :