Iskandariah, 17 Mei – LIFE Grand Finale yang berlangsung kelmarin menjadi penutup program khas untuk mahasiswa/i Tahun 1, iaitu Love Islam For Eternity (LIFE). LIFE merupakan program tarbiyah yang memberikan kefahaman mendalam tentang Islam, telah diadakan sebanyak tujuh kali dengan pembawaan 13 manhaj yang telah dibentangkan oleh para pengisi berlainan. Cuaca yang hangat pada musim panas ini langsung tidak mematahkan semangat para mahasiswa/i Tahun 1 yang berkumpul di Sutuh MARA dari pukul 4.30 petang hingga 10.30 malam.

Apa yang menarik ialah anugerah turut diberikan kepada Smart Circle (SC) yang sangat komited sepanjang LIFE diadakan, dan berjaya dijulang oleh komuniti kecil mahasiswi jurusan farmasi klinikal di Mesir ini. Ketika diwawancara, Nur Shahirah binti Shafiee meluahkan rasa gembira beliau selepas menerima augerah tersebut. “Terima kasih diucapkan kepada kakak mentor kami, Kak Fatin Farhana yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada kami. Semoga dengan kejayaan kami ini menjadi pemangkin juga kepada SC lain untuk bergerak lebih aktif. Kami bukanlah yang terbaik sebenarnya tapi kami sedang cuba memperbaik diri bersama-sama untuk menjadi lebih baik kerana saya yakin SC adalah satu medium terbaik untuk kita melakukan hal tersebut,” ujar beliau. SC yang diberi nama Pharmacohana ini dikendalikan oleh saudari Nor Fatin Farhana binti Mohd Fauzi. Anugerah Peserta LIFE Terbaik juga disampaikan pada malam tersebut, yang digondol oleh Muhammad Umar Uthman bin Mohd Nazri bagi ikhwah dan Wan Nur Insyirah Ilhami binti Wan Anuar bagi akhawat.

13224987_1101389446590530_379077319_o

Malam ini juga dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh dua orang pelajar Tahun 1 perubatan, Muhammad Nazrin Asyraf bin Mohd Aziz dan Muhammad Aiman Hakim bin Arifin sebelum berakhir dengan jamuan BBQ dan aktiviti tukar hadiah. Adapun merupakan satu kerugian andai kata para peserta tidak mengutip ilmu yang dicurahkan sepanjang program LIFE yang telah pun berakhir ini, apatah lagi jika langsung tidak melibatkan diri untuk bersama-sama komuniti Islam dalam mentarbiyah diri dan memahami agama Islam yang sebenar.

Pembawaan manhaj LIFE yang dikatakan agak berat dan patut ‘diringankan’ lagi adalah tidak wajar kerana sebagai seorang Muslim, semua aspek yang ditekankan tersebut hanyalah secara kulit sahaja dan bukanlah terus ke akar umbi. Semoga SC terus menjadi hati PERUBATAN dan siapa lagi kalau bukan kita sebagai ahli untuk menggerakkannya.

Disediakan oleh,

Amyrah Aina binti Mohd Zamri,

Unit Liputan dan Hebahan,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2016/17.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :