Iskandariah, Mei 6 – Telah berlangsung Majlis Perasmian perpustakaan mini Booksgalore di Teratak Iskandar hari ini. Majlis dimulakan dengan penerangan oleh Pengarah Booksgalore, Mohd Qarafi bin Mohd Ridhuan Tee sebelum diteruskan dengan slot perdana iaitu sesi perkongsian bersama Pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah, Khairul Anuar bin Bahrim.

Ketika wawancara, Mohd Qarafi berkata, “Telah menjadi masalah utama terhadap mahasiswa Islam,  mereka dilanda penyakit kronik iaitu penyakit malas membaca. Jadi kami terfikir untuk menyediakan sebuah medium yang akan sentiasa menjadi peringatan kepada mahasiswa/wi setiap kali mereka melihatnya. Oleh itu wujudnya perpustakaan tersebut bagi menarik dan memudahkan mahasiswa untuk mula menerapkan sifat membaca dalam diri.”

Sememangnya, membaca bukanlah satu pilihan dalam kehidupan bahkan membaca merupakan asas binaan untuk pembangunan hidup. Oleh hal yang demikian, Booksgalore menjanjikan para mahasiswa/wi pilihan buku yang variasi dan boleh dipinjam dengan satu klik pada papan kekunci sahaja. Membaca ini diibaratkan seperti mesin masa yang boleh membawa kita ke mana-mana sahaja, kembali ke masa lepas dan pergi ke masa hadapan malah boleh menerobos masuk ke dalam pemikiran sesetengah manusia.

 

“Kita sebenarnya sudah ketinggalan dari peredaran semasa. Musuh Islam telah pun terkehadapan meninggalkan kita. Semua kekurangan yang terjadi ini kerana kurangnya amalan bacaan dalam hidup kita. Bagi membentuk persekitaran membaca ini merupakan perkara yang sukar kerana jika senang sudah semestinya semua orang sudah melakukannya. Oleh itu kami mengharap agar semua mahasiswa/wi boleh memberi kerjasama dan sokongan kepada Kempen “LEGO” (kempen membaca) ini agar kita dapat membudayakan membaca ini bila-bila masa sahaja. “A reader lives a thousand lives before he dies, said Jojen. The man who never reads lives only one,” beliau mengakhiri kata-katanya dengan petikan buku ‘A Dance with Dragons’ tulisan George R.R. Martin, seorang penulis veteran yang terkenal dari Amerika Syarikat.

Syabas diucapkan kepada semua AJK Booksgalore yang telah bersama-sama membantu menjayakan majlis perasmian ini. Tidak lupa kepada Lenders iaitu pihak yang tidak lokek untuk menyumbang buku-buku untuk dipinjam seterusnya kepada peminjam-peminjam buku, juga kepada semua yang tidak pernah tidak cinta kepada buku. Semoga para mahasiswa/wi dapat memiliki sifat membaca yang bukan sekadar membaca buku, tetapi menghidupkan kehidupan dengan penuh ilmu sama ada ilmu sains kesihatan mahupun luar supaya dapat menjadi mahasiswa/wi yang berfikiran luas dan berilmu pengetahuan.

 

Antara mahasiswa dan mahasiswi yang turut hadir ketika Majlis Pelancaran Perpustakaan Mini Teratak Iskandar.

Antara mahasiswa dan mahasiswi yang turut hadir ketika Majlis Pelancaran Perpustakaan Mini Teratak Iskandar.

Tepuk amai-amai,

Belalang kupu-kupu,

Mari ramai-ramai,

Kita baca buku.

 

Disediakan oleh,

Amyrah Aina binti Mohd Zamri,

Unit Liputan dan Hebahan,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2016/2017.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :