Iskandariah, 22 April – Malam Heart of Peace (H.O.P.E) telah berlangsung semalam bersamaan 21 April di Pusat Konvensyen dianjurkan dengan kerjasama dua unit khas dalam PERUBATAN Cawangan Iskandariah iaitu PEACE dan Mentor Council dengan membawakan pelbagai jenis persembahan yang mantap gandingan mahasiswa-mahasiswa daripada ahli PCI sendiri dan juga mahasiswa yang datang jauh dari Kaherah.

Program ini bukan sahaja menjadi inisiatif pihak pelaksana untuk menggalakkan para mahasiswa untuk cakna terhadap isu semasa dan ancaman yang menimpa saudara seagama mereka yang lain malah juga menjadi medan kolaborasi dan langkah perdana buat kedua-dua unit ini. Ketika ditemu bual, Nor Azifah binti Zakaria, Timbalan Pengarah PEACE 2016/2017 berkata pihak PEACE sendiri baru sahaja bertukar tampuk pimpinan dan mereka merupakan penggerak-penggerak PEACE yang baru jadi sebenarnya mereka bercadang untuk mengadakan pengenalan bagi sesi 2016/2017.

“Kebetulan pada masa yang sama, Kempen SC, The Odyssey mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk semua mahasiswa dan kami merasakan ini peluang yang baik untuk kami bekerjasama dengan Kempen SC sendiri dan jika dilihat pada malam ini ianya lebih bersifat kemanusiaan. Jadi ini adalah peluang yang baik kepada PEACE sendiri untuk menambahkan atau menyuburkan rasa semangat kemanusiaan kepada ahli-ahli PCI. Dan Alhamdulillah pada malam ini penyertaan sendiri sangat menggalakkan daripada ahli-ahli mahasiswa PCI,” ulasnya.

Program yang berlangsung selama satu malam ini telah mengetengahkan hiburan bertemakan isu-isu kemanusiaan yang berlaku pada era globalisasi ini terutamanya isu penduduk Syria yang menjadi pelarian di negara Turki. Persembahan yang dibawa ada yang menyentuh hati penonton namun sesekali tidak kering gusi dengan jenaka oleh pengacara majlis. Sesungguhnya, program ini bukan sahaja membolehkan penonton untuk berhibur sambil beramal malah dapat menjadi sebuah lapangan untuk membina jaringan persaudaraan antara mahasiswa sendiri.

Mewakili pihak PEACE, beliau berharap berdasarkan sambutan malam tersebut ahli akan mula rasa sedar dan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik kepada PEACE sekaligus menggerakkan aktiviti-aktiviti yang diadakan dan dianjurkan oleh PCI sendiri. Semoga para mahasiswa berasa bertanggungjawab untuk membantu insan lain dengan menghulurkan apa yang termampu sepanjang masa dalam kehidupan dan bukanlah sekadar untuk satu malam sahaja. Syabas diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.

 

Disediakan oleh,

Amyrah Aina binti Mohd Zamri,

Unit Liputan dan Hebahan,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2016/2017.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :