16561-alone-at-the-beach-1920x1080-photography-wallpaper

Jatuh, bangkit, jatuh kembali.

Siapa yang tidak akan putus asa, kalau asyik jatuh tergolek.

Habis terluka badan,

Calar balar terkena batu-batuan,

Terpijak paku dan kaca tajam,

Tertoreh hati sedalam-dalam,

Membuat diri itu jauh dan tawar pada perjuangan.

 

Sejurus burung terbang keluar mencari makan di waktu pagi, seorang fata sudah terlebih dahulu bangun mempersiapkan diri demi ummah! Ceh, bersemangat kental. Maka hari yang disangka panjang itu berakhir juga. Segalanya dirasakan terlalu singkat dan masa berlalu terlalu pantas. Begitulah setiap harinya. Sebelum mampu setabah itu, berjam-jam bahkan berhari-hari fata itu bermuhasabah diri, memohon doa diikhlaskan diri, meminta hati yang penuh patuh, perilaku seorang yang taat dan redha. Puas dia bersolat dan membaca al-quran. Dan perasaan serta kekuatan itu tetap tidak berkunjung tiba. Maka kaki terus melangkah tanpa menanti lagi walaupun dengan hanya berbekalkan semangat. Akhirnya di hadapan perjalanannya siapa sangka rupanya cintanya pada kebaikan itu berputik dan harapannya ia membuahkan keikhlasan. Namun sebaliknya, dalam semangat yang meninggi seorang fata itu, dia tidak sedar bahawa dirinya telah menguasai semangat melebihi hikmah.

Maka jadilah dia seorang hamba yang penuh semangat. Lalu tanpa disangka, saat dia hampir sampai di hujung garisan penamat, ujian Allah datang. Allah saja yang tahu bagaimana sakit kepala yang dihadapi Asar itu. Sehingga usai solat, seakan-akan dia membayangkan dirinya yang sedang menjerit sambil memegang kepala yang sakit. Dia mahu menjerit memberitahu dunia ini betapa sakitnya kepalanya! Belum terhenti di situ, ujian Allah datang bertimpa. Dia diminta menghadiri satu perjumpaan yang tak dimaklumi dari awal dek kerana tidak berkesempatan mengemas kini info dari laman facebook. Sebelum itu, dia sudah membuat temu janji serta ada hak saudaranya yang mahu ditunaikan. Maka ditunaikannya satu persatu. Alhamdulillah dia pulang dengan gembira kerana dapat menyelesaikan tugasannya dan menghiburkan hati saudaranya. Namun, siapa sangka, satu pihak gembira satu pihak bermuram durja.

“Aku kalah dalam meraih dua redha manusia pada masa yang sama, walau hakikatnya semuanya aku lakukan kerana Mu ya Allah”, dia mengeluh.

Akhirnya seorang hamba itu kalah. Dia gagal meraikan semua pihak, keluarganya, sahabatnya, minatnya, pelajarannya, ibadahnya, dirinya, nafsunya. Tertunduk malu dia menghadap Pencipta. Benarlah dia tiada apa-apa.

“Benarlah aku tidak mampu tanpa Mu, benarlah Kau memegang hati mereka, benarlah Kau yang memiliki waktu, benarlah Kau yg memiliki kudratku. Dan sungguh Kau Maha Tahu sehingga ke tahap mana aku mampu”

Air mata membasahi dirinya. Lebat. Bajunya basah. Dia menahan esaknya. Memohon ampun, mengakui kelemahan, memohon pertolongan, memohon dijauhkan riak, takabbur, penyakit lupa dan segalanya. Memohon sesungguh-sungguhnya. Saat itu tangisannya benar-benar melumpuhkan kudratnya, dalam dia memohon kekuatan buat jiwanya.

“Kita jarang memohon bersungguh-sungguh ke jalan lurus”, pesan Abang  SCnya suatu masa dulu.

“Pastinya kerana aku tidak ikhlas!”, monolog hati si fata.

“Bekerjalah bersungguh-sungguh hingga pada satu ketika kamu mengharapkan Allah untuk menerima dan membantu mu, ikhlas itu akan datang namun tiada siapa yang tahu bila dan bagaimana kerana  ia adalah rahsia di antara rahsia-rahsia Allah bersama hambanya…”, tambah Abang Hassan lagi.

“Siapa yang akan menjaminku ?”, pintas si fata.

“Ingatlah, bersama keikhlasan itu akan diringi dengan jaminan Allah”, Abang Hassan mengingatkannya.

Berbulan-bulan lamanya si fata bertahan, sehinggalah tiba suatu saat. Dia nekad.  Dia sudah mahu menyerah, alasannya dia juga punya keperluan dan maruah diri dan hak untuk dihargai. Dia melangkah laju mencari sahabat baiknya. Dadanya sesak, berombak. Fikirannya hanya satu.

“Aku tidak mahu buat semua kerja ini lagi! Aku bukan manusia bodoh mencari penyakit, menyeksa diri!”, dia menengking secara tiba-tiba. Segenap masyarakat Arab di situ berasa pelik dengan kelakuannya.

“Sabar dulu. Jelaskan pada aku apa sebenarnya yang berlaku? Berhenti bukanlah solusi masalah, kau sebenarnya hanya melarikan diri dari hakikat tanggungjawab seorang dewasa. Sabar, kita sudah menghampiri MTC yang tidak lama lagi,” balas Hawari cuba menenangkan.

“Dah, cukup dengan segala ceramah atau cakap manis kau. Aku sudah tekad untuk berhenti. Enough!” tengking si fata. Emosinya sudah menguasai dirinya.

“Habis, maksud kau selama ini Bilal itu bodoh? Rasulullah itu mencari penyakit? Sumayyah itu membunuh diri? Dan Abu Bakar itu menyeksa diri?”, balas Hawari tegas. Hatinya pula terasa panas.

Pergaduhan petang itu adalah kemuncak segalanya. Lawannya adalah sahabat kesayangannya juga. Sahabatnya itu kecewa dengan dirinya dan meninggalkannya tanpa sebarang ucapan salam. Jauh di sudut hati, dia terasa kehilangan sahabat baiknya itu. Namun, salahkah jika dia ingin menuntut hak dirinya? Dia sudah sampai pada limit dirinya bertahan. Dia tidak sanggup lagi menahan sakit hati kerenah manusia. Ditambah sakit kepala yang menyerangnya sekarang. Dia mahu menjalani hidup biasa seorang pelajar.

“Aku mahu hidup seperti manusia lain! Hidup biasa seorang pelajar, salahkah?”, si fata menjerit sekuat hati.

“Dan kemudian kau lupa hidup biasa seorang hamba?”

“Salahkah? Aku mahu menuntut hak diri aku!”

“Tidak! Kau tiada hak pada dirimu! Diri kau milik Allah sepenuhnya!”, luah Hawari dan berlalu pergi dengan kecewa.

Kepalanya bertambah sakit lagi malam itu. Terasa seperti sedang dihantuk ke dinding. Telinganya bingit dengan rakaman pergaduhan petang tadi yang berterusan berputar lagi. Bergilir-gilir dengan otaknya yang bercakap-cakapan sendiri. Dia tahu dia sudah putus asa tapi salahkah, dengan apa yang sudah dia lalui. Cukuplah.

“Manusia lain fikir mereka sahaja yang mempunyai masalah, mereka tidak pernah fikir kalau aku juga mempunyai masalah?”

“Farhan! Seorang naqib tak boleh menanti mad’u untuk memahami. Kita perlu banyak berkorban. Jika kita tidak bersabar bagaimana dakwah fardhiyah akan tersebar”, terbayang nasihat murabbinya yang telah kembali ke tanah air. Ingin sahaja dia mengadu pada murabbinya. Dia berasa silap kerana menyatakan semua itu pada sahabatnya yang selama ini memberi sokongan dan motivasi tapi tadi meninggalkan dirinya dan berlalu pergi.  Kini dia tidak tahu pada siapa lagi mahu dikongsi, tentang rasa yang mencarik-carik hati dan nurani.

XXXX

Buntu. Jari jemarinya laju menekan skrol youtube mencari lagu-lagu yang boleh menjadi halwa telinga pagi itu. Dia bukanlah seorang yang jenis suka mendengar lagu-lagu jiwang atau rock kapak. Namun, jiwanya terasa geram, sedih, kecewa, ­­dan kosong tanpa semangat lalu dia mencuba nasib jika terdapat lagu-lagu nyanyian Raef atau Saif atau Maher Zain atau Yusuf Islam yang meraikan jiwa mudanya. Lagu-lagu yang disertai bunyi gitar, piano dan sebagainya sering menjadi pilihan pemuda-pemudi abad ini. Katanya, lagu begitulah yang masih baik liriknya, dan sedap didengari telinga juga. Penyanyinya juga mempunyai suara yang luar biasa, bukan seperti suara umum penyanyi zaman ini. Pemuda…

Justeru itu, berbelas-belas lagu didengarinya namun jiwanya masih berasa ada tidak kena. Seharian dia buntu. Ke kelas dia berasa ada yang tidak selesai, pulang ke rumah pula ada sahaja yang tak kena. Puas dia menjauhkan diri daripada manusia tapi masih tidak kena. Waktu solat pula mula ditangguh-tangguhkan dengan alasan mahu berehat. Hatinya mula merasakan dia perlu berehat sebentar. Seminit ditangguh kepada lima minit. Kemudian setengah jam. Kemudian setelah terasa sudah agak lama barulah dia bangkit solat. Solatnya pula terasa tidak khusyuk. Kepalanya berpusing memikirkan dunia. Jasad dan rohaninya tidak dapat disatukan arah dalam sujudnya. Doanya pula pendek. Mulutnya cekap membaca doa namun hatinya tidak tahu apa yang diulang baca. Lalu dia duduk termenung.

Fata itu cuba mencari solusi dari muhasabahnya. Masalahnya tidak tahu punca. Dia sendiri tidak tahu apa yang ingin diadukan pada sang Pencipta. Saat itu dia berasakan yang dia sudah semakin parah. Timbul juga rasa bimbang solat fardunya tidak diterima. Bahkan solat sunat pun dia sudah mengambil ringan, dirinya menuntut rehat. Biasanya dahulu, jika pada waktu-waktu begini dia akan meraikan dirinya yang dahulu. Dirinya sewaktu masih ‘jahil’. Mendengar lagu nyanyian Owl City dan Jason Mraz penyanyi kegemarannya sambil berkaroke dengan headphone yang memekakkan telinga. Sudah dibuat demikian namun hati tetap terasa kosong. Masakan hati gembira bila kembali pada jahiliyyah. Dia sedar semua  itu, namun dia cukup buntu dengan dirinya. Masih buntu.

Dia mencapai telefon di bawah bantal. Tangan mencari nama seseorang. Berbelas-belas panggilan dibuat namun satu pun tidak berangkat. Kemudian dia mengambil keputusan untuk menghantar pesanan ringkas sahaja ke nombor itu.

“Akhi, ana futur!”, berharian mesej itu dibiarkan sehinggalah si penerima membalas. Pendek.

“Tadabbur surah at-taubah:40,41”, ringkas dibalas. Dia tersentak. Sedikit mengeluh, ini sahajakah cara yang dapat mengubati hatinya? Setelah mesejnya dibiarkan tidak berbalas begitu lama, tidak adakah kata-kata semangat untuk memujuk diri dia? Dia akur walau dirinya seperti hilang tempat bergantung. Terasa hilang manusia yang selama ini membawa dirinya keluar dari jahiliyyah, yang selama ini mengangkat dirinya tinggi ke puncak bukit, namun kini membiarkan dia jatuh terkapai-kapai dan tenggelam lemas dengan jawapan seringkas itu. Dia akur. Dia akur. Dia bukanlah siapa-siapa.

“Jom lepak di pantai?”, dia mengajak pula sahabat yang lain namun tiada jawapan juga diterima. Akhirnya fata itu nekad untuk pergi walau bersendirian ke laut Meditterenean itu. Lautan yang menjadi saksi saat bangun dan jatuh dirinya. Lautan yang setia dan patuh berzikir pada Allah disaat hambanya yang lain lalai. Lautan air yang hakikatnya beku dari segala emosi dan perasaan yang lebih dahulu melembutkan hatinya berbanding lautan manusia yang hakikatnya cair dan lemas dihanyut arus dunia.

Dia mencari spot terbaik dan memanjat timbunan batu besar di situ untuk turun ke bawah mendekati lautan. Dia duduk dan merenung lautan luas tanpa penghujung. Beberapa minit berlalu tanpa bicara atau sepatah kata memuji kebesaran Allah. Cuma, hatinya mengadu pada Sang Pencipta supaya ditunjukkan lompong dirinya di mana harus ditampung. Di mana cacat celanya. Di mana salah dan silapnya. Mengapa dan apa punca sakit hatinya.

Akhirnya diri yang lemah itu kalah. Kalah dengan bersaksi bukti keagungan dan kehebatan Pengcipta. Mengaku dirinya yang lemah. Teresak-esak dia dalam tangisan dan sendirian. Beberapa kali cuba ditahan namun, air mata terus jatuh berjujuran. Saat itu juga manik-manik hujan menimpa dia yang sedia menengadah ke langit. Bumi basah bermandi hujan. Hujan rintik-rintik dipermulaan musim sejuk dibiarkan membasahi diri. Kelibat manusia pergi dan datang berlalu. Masih, dia belum berganjak dari tembok itu. Fikirannya jauh melayang, memikirkan kekhilafan dirinya.

Beg galas yang sedari tadi masih dipikul dibelakang badan ditarik ke hadapan. Dia mengeluarkan al-Quran. Dia selak ke surah At-Taubah ayat 40 dan 41 dan mengulang baca sehingga dirinya berasa puas. Air matanya kering, namun mashaf kecilnya basah. Diamati pula makna-makna ayat berkenaan sambil memasukkan dirinya ke dalam ayat-ayat itu. Setelah dia yakin sudah difahami maknanya dia mengulang baca ayat al-qurannya sambil merasai maknanya pula. Begitulah seterusnya. Petang itu dihabiskan mengulang dua ayat yang sama. Walaupun jiwanya masih terasa kosong, tapi dia berasa kuat dengan motivasi yang diberikan Allah melalui ayat-ayat itu. Sehinggalah matahari senja terbenam, dia memaksa dirinya pulang ke rumah yang menantinya dengan berbagai-bagai jawapan dan tanggungjawab.

XXXX

Niat di hati ingin terus pulang, namun tanpa disangka, hatinya terdetik singgah ke rumah seorang senior kuliahnya. Kakinya ringan melangkah, hatinya bersemangat ingin memohon pandangan serta petua.

“Abang, saya rasa level tawakkal saya dah makin teruk lah….”.  Bernada sedih dia melantunkan luahan hati. Dia sedar masalahnya berpunca pada dirinya yang hilang pergantungan pada Allah. Di sebabkan itu juga, dia sudah futur.

“Kenapa?”, terkejut dengan soalan luar alamnya. Soalan itu sangat berbahaya bagi seorang mukmin. Namun dia tidak berniat untuk menjelaskan lebih lagi. Atau tidak mampu. Lama kemudian sepatah dua, keluar juga dalam tertunduk pasrah. Tak difahami. Dan tak jelas pada pemahaman. Saat itu seperti sahaja air mata dia begitu murah.

“Layak kah nak bertawakkal bila sudah tahu usaha ala kadar…”, lantunan yang kekal tersekat di kotak suara. Tidak keluar. Puas dia cuba cari kekuatan untuk itu. Puas dia cari kecintaannya pada tawakkal yang dia pupuk, dia pelihara, yang dia tanam dan semai sedari dahulu. Di mana mu wahai tawakkal?

“Ehem, kalau dah tak ada tawakkal tu maknanya dah rasa diri hebat sangat lah! Dah tak perlu bergantung lah! Semak balik hubungan kamu dengan Allah…”

Satu suara menengking marah. Seolah-olah ungkapannya awal tadi kalam si miskin tanpa iman. Tetapi suara itu seperti juga mahu memujuk dia agar kembali. Kembali dari berpatah balik ke dunia jahiliyyahnya. Puas dicarinya.  Tiada siapa yang kelihatan. Hanya seniornya yang sedari tadi diam membisu menyelami dunia bukunya. Atau mungkin masih mencari soalan yang paling tepat setelah tiada jawapan pada soalannya. Atau mungkin sedang memberi masa padanya mencari kesediaan untuk membuka cerita. Tahulah dia kalau itu kata hatinya.

“Farhan, dahulu kita berjalan, kuat sangat kita pimpin tangan tawakkal. Sekarang kita sudah berlari, mendaki,jangan  ingat boleh bangun sendiri kalau terjatuh? Jangan lepaskan tawakkal. Lari bersama dia”, seniornya bersuara memujuk.

“Cuba enta ingat kembali bagaimana kali pertama enta mengenali PERUBATAN. Ana selalu ingatkan diri ana, ana buat semua ini kerana pilihan dan kefahaman diri ana setelah mengenali PERUBATAN”, ujar seniornya lagi. Benar. Kenapa dulu dia menyerahkan dirinya ke jalan ini?

“Enta masih ingat tak, yang enta pernah cerita pada ana masa MTC ada kawan enta paksa enta pergi. Waktu tu study leave dan enta rasa berat hati nak pergi. Tapi lepas balik dari MTC enta tanya sahabat enta kenapa semua AJKT dan PCI buat semua benda itu, dari urusan berkaitan mahasiswa sehingga  ke masalah sakhsiah. Masa MTC, AJKT bukan dapat gaji pun tapi kadang-kadang dapat tohmahan. Tak dinafikan ada juga penghargaan, tapi enta rasa masa di sekolah itu semua kerja cikgu kenapa perlu susah-susah kita fikir semua itu. Akhirnya enta sedar bahawa PCI hanya menjaga kebajikan semua ahli dan tidak menuntut apa-apa dari kita”, senyuman dihadiahkan. Dan sebuah hati yang sedang kesedihan berbunga ceria penuh harapan.

XXXXX

“Ana bersedia berkhidmat”, katanya sambil menghadiahkan senyuman buat sahabat baiknya.

“Kenapa berubah hati?”

“Jika Allah takdirkan ana mati sebelum sempat capai matlamat, ana mahu Allah kira ana syahid dalam perjuangan ini. Benar pelajaran juga adalah sebuah medan jihad namun yang lebih utama adalah meneruskan perjalanan Rasulullah s.a.w dan bagi ana ilmu itu sendiri adalah keperluan untuk turun berjihad. Maka apa yang dilakukan untuk menjayakan perjuangan jihad moga ia dikira jihad, walau pelajaran sekalipun. Namun, pelajaran sahaja tanpa perjuangan itu kegagalan”.

Oleh :

Hajar

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :