SELUSURI KEGEMILANGAN UMAIYYAH

hkhkh

                 Sementelahan jatuhnya kepimpinan Khulafa’ ar-Rasyidin yang berjaya membenihkan satu manhaj yang cukup kukuh dalam pembentukan generasi muslim ketika itu, tampuk pimpinan diambil alih pula oleh khilafah Umayyah bagi meneruskan legasi ustaziatul alam ini. Bermula dengan kepimpinan Muawiyah bin Abu Sufyan dan diakhiri oleh Marwan bin Muhammad, segenap aspek perkembangan syiar Islam dan dakwah berkembang dengan baik dan pesat, dalam usaha memperluaskan medan dakwah dan pembentukan generasi rabbani di sana.

Perluasan medan dakwah menyebabkan permintaan terhadap Islam meningkat secara mendadak dalam satu jangka masa yang cukup singkat. Natijahnya, nisbah antara generasi yang baru memeluk Islam dengan jumlah murabbi yang tersedia ada semakin membesar. Struktur lapisan masyarakat pula kian berkembang  seiring dengan peredaran zaman, menjadi semakin kompleks dan semakin terdedah kepada pelbagai jenis ancaman. Fitnah mulai terbentuk pada penghujung era khalifah Uthman ra. yang dipelopori oleh Abdullah bin Saba’, yang mengasaskan gerakan Saba’iah, menjadi semakin kuat di zaman Umayyah, yang menyeru kepada perpecahan dan penggulingan khilafah. Kelicikan gerakan ini tidak terhenti sebegitu sahaja, bahkan mereka turut berusaha merosakkan ketelusan akidah muslim ketika itu. Generasi yang terbentuk pula mulai terdedah kepada fitnah kemewahan dunia dan pelbagai tarikan hawa, yang menjerumuskan mereka kepada peribadi tamak, opportunis dan terlalu manja.

Di sebalik mehnah kecil yang melanda di awal pembukaannya, khilafah Umayyah terus melunjur laju membelah badai ujian dan fitnah, bagi merealisasikan misi perluasan kuasa dan perkembangan dakwah yang telah diasaskan oleh Rasulullah saw. Perluasan kuasa di sebelah barat dijalankan dengan giat oleh Muawiyah ra. sehingga berjaya membuka kota Tunisia, manakala di sebelah timurnya, daerah Khurasan sampai ke Sungai Oxus dan seterusnya ke Kabul, gelombang perubahan Islam berjaya didaratkan di sana, berkat kegigihan dan keazaman tentera-tentera kaum muslimin ketika itu. Misi pembukaan kota Andalus juga terlaksana dengan baik di era Umayyah, pada zaman Al-Walid in Abdul Malik. Ekspedisi kenteraan yang diketuai oleh kepimpinan  panglima  Tariq bin Ziyad, dalam menghapuskan kekejaman diktator Raja Gotik di sana, telah memberi satu signifikan yang cukup memberi impak pada perluasan risalah dakwah di benua Eropah.

LAHIRNYA SEORANG MUSLEH

 “Sesungguhnya Allah akan mengutus pada umat ini pada satu abad orang yang memperbaharui urusan agamanya.” – HR Abu Daud

Dengan berbekalkan keperibadian yang unggul, nilai kepimpinan yang tinggi serta kehebatan penguasaan ilmu agama yang meluas, Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah bani Umayyah, sekitar 100 tahun dari tempoh perutusan Rasulullah saw. Jiwa dan semangat beliau yang persis moyangnya, Umar al-Khattab ra, beritizam bagi menebar luaskan rahmat dan keadilanNya di muka bumi ini. Tatkala itu, umat Islam dilanda gelombang “al-wahn”, kecenderungan kepada dakwah dan jihad mulai kendur serta kemunafikan pula kian berleluasa. Baginya, ini adalah satu kondisi yang cukup teruk, dan akan bertambah kronik sekiranya tiada usaha pengislahan yang dilakukan. Kalimah kata-katanya yang cukup berkesan sehingga ke hari ini ;

“Sesungguhnya aku sedang merawat satu urusan yang tiada siapa dapat menolongnya kecuali Allah. Sesungguhnya di atasnya telah mati orang tua, orang yang kecil telah membesar, orang Ajam telah mahir berbahasa Arab dan Arab Badwi telah berhijrah sehinggah mereka memandang sesuatu yang bukan agama sebagai agama. Mereka tidak melihat kebenaran selain daripada itu.”

 Krisis yang menjadi kegusaran Umar bin Abdul Aziz ini, hanya mampu dirasai oleh jiwa muslim yang sensitif, tegas terhadap kemaksiatan, dan tidak larut dengan kebiasaan yang ada. Beliau merasa gusar akan dosa, walaupun ianya hanya dosa-dosa kecil, perbuatan bida’ah walaupun sedikit, kezaliman meskipun ringan, apatah lagi terhadap kehidupan yang bermewah-mewahan yang telah pastinya dilanda pembaziran. Kebimbangan dirasainya terhadap perkara-perkara kecil tersebut, kerana dirasakan ianya mampu membibitkan detik-detik kejatuhan khilafah Islam.

JATUHNYA DAMSYIK, LENYAPNYA UMAYYAH

gugu

                 Setiap era khilafah tidak akan dapat lari daripada bahana fitnah yang melanda. Begitu jua dengan era pemerintahan Umayyah, sisa-sisa gerakan pembangkang dan pemberontak Saba’iyah (para pengikut Abdullah bin Saba’), Syiah serta Khawarij, terus-menerus menyebarkan fitnah melalui gerakan mereka, samada secara terbuka mahupun sembunyi. Tambahan, muncul pula gelombang kekuatan baru yang dipelopori oleh keturunan al-Abbas ibn Abd al-Mutalib, yang mula mengerakkan rusuhan menggulingkan khilafah Umayyah. Maka, benarlah firasat Umar bin Abdul Aziz suatu ketika dahulu. Kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak musuh, disebabkan tatkala itu, umat Islam kian larut dalam permainan dunia, kian lalai daripada mengerjakan amanah jihad dan menyebarkan risalah agung Rasulullah saw, dan kian merudum tahap keimanan mereka bagi bangkit melakukan satu pengislahan. Tanggal 750M, kerajaan agung Umayyah ini digulingkan dan terus lenyap selama-selamanya. Yang tinggal hanyalah peninggalan kota-kota nya mewah serta sejarahnya yang kian ditelan zaman hari ini.

SATU MUHASABAH BERSAMA

Apabila diselusuri kembali, jatuhnya khilafah Umayyah, yang utamanya disebabkan oleh konflik dalaman yang berlaku antara umat Islam itu sendiri. Rasuah yang berleluasa, pimpinan yang terus larut dengan kemewahan dunia, terus-menerus melupakan amanah mereka yang sewajarnya, rakyatnya yang turut hanyut dalam buaian maksiat, yang menjerumuskan mereka terperosok ke lembah kehinaan, dan natijahnya pada keimanan mereka itu sendiri. Kian lemah, kian tak bernyawa, untuk bangkit walaupun sedikit. Agama kian dilupakan, hanya menjadi “candu” tatkala diperlukan sahaja, prinsip-prinsipnya semakin goyah ditelan zaman, seakan-akan boleh dijual beli untuk ditukarkan dengan kesenangan dunia. Apakah yang telah berlaku, wahai umat sekalian? Kita kian gagal, kian lesu dan tak bermaya, hidupnya kita persis melukut di tepi gantang sahaja.

Putaran lesu ini akan terus berulang, sekiranya kita, umat hari ini, gagal bermuhasabah daripada sejarah lampau. Mengimbau kata-kata Imam Abu Qassim al-Junaid;

“Sejarah adalah salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati.”

Ya, dengan memahami serta cakna dengan sejarah lampaulah yang mampu membangkitkan semula ruh perjuangan generasi kita, memungkinkan satu gelombang perubahan bagi menghapuskan kuasa taghut yang berleluasa tanpa kawalannya hari ini. Bahkan, perlunya dengan satu tujuan, perlunya kita, generasi perubahan hari ini, untuk kembali memahami “ad-deen” ini dengan sebaik-sebaiknya.

AD-DEEN, SATU JALAN PENYELESAIAN

                 Berbicara tentang ad-deen, alangkah baik, seandainya kita dapat memahami definisi atau maknanya secara lebih mendalam. Ad-deen, atau lebih diertikan sebagai agama  pada fahaman kita, mempunyai pelbagai definisi yang tersendiri, tetapi ghayah atau matlamatnya tetap sama, yakni membenihkan satu makna keimanan yang jitu, bagi melaksanakankan tanggungjawab kita sebagai hambaNya di muka bumi ini. Menurut Buya Hamka di dalam makalahnya, Tasawuf Moden, “Agama ialah buah atau hasil kepercayaan dalam hati, yakni ibadat yang terbit lantaran telah ada i’tikad terlebih dahulu, menurut dan patuh terhadap iman. Maka, tidaklah timbul ibadah seandainya tidak ada tashdiq dan tidaklah terbit patuh (khudhu’) seandainya tidak ada taat yang terbit lantaran telah ada tashdiq (membenarkan), atau iman.” Maka, bertambah kuat keimanan, bertambah teguh agama, bertambah tinggi keyakinan, bertambah bersih dan suci ibadah.

Tetapi, Al-Ustadh Muhammad bin Daud, memberikan pendefinisian yang lebih menarik berkenaan ad-deen, di dalam risalahnya yakni, “Islam sebagai ad-deen”. Menurut kefahaman beliau, “Ad-deen adalah salah satu cara hidup. Ianya adalah satu sistem yang merangkumi peraturan-peraturan yang menyeluruh dan undang-undang yang lengkap dalam semua urusan hidup manusia untuk mereka menerima dan mengamalkannya secara total.” Penggunaan agama dalam pengertian ad-deen, sebagaimana yang didefinisikan oleh masyarakat hari ini tidak sesuai bagi Islam, kerana bagi beliau pengertian agama biasanya dikaitkan dengan beberapa upacara keagamaan yang begitu sempit dan terbatas.

Apapun pendefinisian ad-deen itu, ianya tetap bermatlamatkan melahir dan membentuk peribadi Muslim, yang sanggup menyerahkan dirinya untuk agama ini, dengan amanahnya sebagai hamba dan khalifah, bergerak samada secara individu mahupun kolektif, bagi membangkitkan semula ruh-ruh yang kian malap, menghidupkan semua syiar Islam yang kian pudar dan seterusnya menegakkan semula kegemilangan ketamadunan Islam. Firman Allah Taala ;

“Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan mengikuti agama Ibrahim dengan hanya cenderung kepada Allah.” – (An-Nisa’ : 125)

 HARAPAN SEBUAH PENGISLAHAN

s

 Hari ini, kita acapkali dipampangkan isu-isu yang melemahkan semangat umat Islam. Fenomena Islamophobia yang telah memberi satu gambaran buruk terhadap muslim itu sendiri, penindasan kaum-kaum Muslim yang tertindas di seantero dunia seperti di Palestin, Syria, Rohingya, Selatan Thai dan sebagainya, antara usaha yang dilakukan Barat, bagi terus melemahkan semangat kebangkitan muslim, membuatkan mereka terkapai-kapai meminta ihsan manusia, lantas menjadikan mereka lupa akan kegemilangan mereka suatu ketika dahulu. Cumanya, harapan atau saki baki kebangkitan itu masih ada, masih wujud lagi sehingga hari ini. Kita bukannya kekurangan jumlah, kita ramai dan kian bertambah saban tahun, tetapi jumlah yang ada, tiada kualiti nilainya untuk membangkitkan satu gelombang kebangkitan sebagaimana yang diimpikan.

Hal ini turut dijelaskan dengan cukup baik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid, dalam risalahnya Al-Munthalaq. Menurutnya, masih terdapat ramai saki baki mukmin yang bilangan mereka cukup untuk menegakkan kebaikan yang kita ingin capai dan cita-citakan, tetapi dengan syarat mereka mengenali erti tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), merasai kecil dan hinanya dunia, menjauhkan diri dari fitnah–fitnah, sabar menghadapi mehnah dan mahir seni memimpin ummat. Lima syarat-syarat yang ditekankan oleh beliau ini, sewajarnya menjadi obligasi bagi setiap umat Muslim, terutamanya para dua’t, sebagai bekalan buat mereka, dalam mengharungi tugas pengislahan ini dengan sebaik-baiknya.

Menurut beliau lagi, untuk menyelesaikan masalah dunia Islam hari ini, sebenarnya tidak perlu kepada berpindahnya lebih ramai orang yang lalai dan  menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang lebih diperlukan dari itu ialah menyedarkan dengan cepat mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan himmah mereka dan memperkenalkan kepada mereka toriq amal dan fiqh da’wah. Ya, inilah yang kita telah hilang semenjak dahulu, inilah kunci yang kita gagal mencarinya, bagi merungkai segala persoalan kegagalan kita selama ini. Perlunya kepada kefahaman tariq amal dan fiqh dakwah yang sewajarnya, perlunya kepada penyusunan semula gerak kerja dan amal dakwah kita, bagi melenyapkan segenap kebatilan yang dirancang musuh secara tersusun.

Khulasahnya, kejatuhan Umaiyyah memberikan satu impak atau kesan yang cukup mendalam pada umat Islam ketika itu, yakni hilangnya sebuah pergantungan, lenyapnya sebuah pemerintahan ustaziatul alam. Bahkan, ianya turut menghadirkan satu khazanah sejarah lampau buat ummat hari ini, bagi mentadabbur setiap detik kebangkitan, menyelusuri setiap detik kejatuhan, agar mereka mengerti dan mengambil ibrah yang ada di sebaliknya. Dengan harapan, kita hari ini berjaya mencari kunci di sebalik kegagalan, kelesuan dan perpecahan yang wujud, iaitu dengan kembalinya kepada tariq amal dan fiqh dakwah yang asolah, dalam pengemblengan usaha membangkitkan sebuah gelombang kebangkitan. Juga, hanya jiwa muslim yang sensitif sahaja yang mampu melihat segala kebobrokan dunia yang sedang berlaku ini. Justeru, di mana kita??

Disediakan oleh :

Abu Musleh

Tahun 4 Perubatan

University of Alexandria.

 

 

 

Rujukan :

  1. Thariq Ahmad. Ini Sejarah Kita.
  2. Abu ‘Urwah, 1988. Risalah Usrah. Kuala Lumpur. Pustaka Salam
  3. Prof Dr. HAMKA, 2015. Tasawuf Modern, Jakarta. Republika Penerbit.
  4. Muhammad Ahmad ar-Rasyid, 1987. Al-Munthalaq : Titik Tolak. Jakarta. Robbani Press.
Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :