Maka benarkah?

Sejak kecil kita dihidangkan oleh orang-orang terdahulu samada datuk nenek kita ataupun ibu bapa kita tentang sebahagian pantang larang berkenaan sesuatu perkara yang kita tidak tahu akan kesahihannya seperti larangan duduk di atas bantal, jika berbuat demikian punggung akan dijangkiti  bisul. Larangan agar tidak mandi di tengah-tengah malam, jika tidak akan dijangkiti penyakit paru-paru berair dan larangan keluar rumah tanpa memakai kasut kerana dikhuatiri akan dijangkiti cacing melalui kaki.

Jika diamati dengan teliti dan dikatikan dengan keadaan dahulu, larangan-larangan ini sebenarnya hanyalah sekadar peringatan oleh orang-orang terdahulu untuk kanak-kanak yang masih kecil terutamanya untuk tidak berbuat perkara-perkara tersebut mungkin kerana faktor-faktor tertentu seperti keselamatan dan adab sopan. Contohnya seperti larangan mandi di tengah-tengah malam boleh jadi adalah disebabkan orang dahulu tidak mempunyai fasiliti, kemudahan elektrik dan lampu seperti sekarang yang mana jika seseorang itu pergi mandi di tengah-tengah malam tanpa pencahayaan yang baik akan mengundang bahaya seperti terjatuh pergi atau tergelincir. Namun apabila cerita-cerita ataupun larangan-larangan ini disampaikan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, maka lama-kelamaan perkara tersebut berpotensi menjadi satu kepercayaan dan juga berlaku tokok tambah dalam cerita tersebut. Maka inilah yang menjadi satu masalah kita yang berada di generasi sekarang ini dan perlu bagi kita untuk mencari  kesahihannya. Bagi penulis, jika kita terus menyebarkan perkara ini, maka seolah-olah kita menyebarkan ilmu yang salah sekiranya salah. Namun tidak disangkal juga, ada sebahagian daripadanya mempunyai kebenaran disebaliknya.

  1. Larangan mandi di tengah malam. Jika berbuat demikian akan dijangkiti penyakit paru-paru berair.

Sebelum kita masuk lebih dalam, mari kita lihat apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh penyakit paru-paru berair ini. Sebenarnya paru-paru berair ini bukanlah sejenis penyakit. Namun lebih tepat paru-paru berair ini adalah simptom yang disebabkan penyakit yang lain. Dalam perubatan, paru-paru berair boleh dikaitkan dengan dua jenis keadaan:

  1. Pneumonia

Pneumonia ini adalah sejenis keadaan dimana cecair berlebihan (transudate/exudate)  berkumpul dalam alveoli( tempat penukaran oksigen dan karbon dioksida yang biasanya tidak mempunyai apa-apa jenis cecair di dalamnya) dan ini adalah keadaan yang luar biasa (abnormal). Jika cecair tersebut berkumpul di dalam alveoli, proses penukaran gas-gas tersebut akan terganggu dan badan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan beberapa sebab dan penyakit antaranya adalah kegagalan jantung untuk mengepam darah-darah yang datang dari paru-paru ke seluruh badan ( congestive heart failure), penyakit buah pinggang dan radang paru-paru (Pneumonia).

1

  1. Bronchopneumonia

Paru-paru kita sebenarnya dilindungi oleh dua lapisan yang dinamakan pleura. Lapisan yang mambaluti paru-paru ialah visceral pleura dan satu lagi lapisan di bahagian dalam dada (inner chest wall) yang diberi nama parietal pleura. Di antara dua lapisan ini, terdapat ruang yang dinamakan pleural cavity. Kebiasaannya ruang ini dipenuhi oleh sedikit cecair yang bertindak sebagai pelincir antara 2 lapisan ini untuk membolehkan paru-paru mengembang ketika sesorang itu bernafas. Namun, sekiranya lapisan ini dipenuhi oleh cecair yang berlebihan, maka keadaan inilah yang dinamakan sebaga Bronchopneumonia. Keadaan ini akan menyebabkan paru-paru tidak dapat mengembang dengan bebas ketika bernafas dan ini akan mengurangkan kadar oksigen yang masuk ke dalamnya seterusnya akan mengurangkan kadar oksigen dalam badan.

2

Seperti yang dijelaskan, bahawa Pneumonia dan Bronchopneumonia ini sebenarnya bukanlah sejenis penyakit tapi lebih kepada keadaan yang terhasil disebabkan penyakit disebaliknya. Maka berbalik kepada persoalan kita di atas, adakah mandi di tengah-tengah malam akan menyebabkan berlakunya dua keadaan ini? Jawapannya adalah TIDAK. Mandi ditengah-tengah malam tidak mempunyai apa-apa kesan bahaya terhadap paru-paru. Tidaklah semudah itu untuk keadaan paru-paru berair ini terjadi. Sesungguhnya tubuh badan yang Allah ciptakan ini adalah ciptaan yang terbaik. Firman Allah dalam surah At-tin:

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬ (٤)

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”

Bahkan digalakkan untuk seseorang itu mandi di tengah malam sekiranya perlu. Contohnya seperti orang yang baru pulang kerja di tengah malam dengan rasa penat dan letih, digalakkan baginya untuk mandi malam untuk memberi kesegaran kepada tubuh badannya yang akan membantunya untuk tidur selepas itu.

  1. Larangan bermain diluar rumah tanpa memakai kasut/selipar kerana dikhuatiri cacing akan ‘masuk’ ke dalam kaki.

Kebiasaannya ibu bapa atau datuk nenek kita pasti akan memastikan kanak-kanak yang masih kecil untuk memakai kasut atau selipar jika mereka hendak bermain di luar rumah. ‘Ugutan’ yang selalu digunakan sekiranya mereka tidak memakai kasut adalah cacing akan ‘masuk’ ke dalam kaki mereka ketika bermain diluar tanpa memakai  alas kaki. Maka mendengar akan perkara itu, maka kanak-kanak tersebut menjadi takut dan akan memakai kasut jika hendak bermain di luar. Jadi, persoalannya adalah, apakah benar dakwaan ini?

Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan oleh ‘cacing’ di sini? Adakah cacing di sini merujuk kepada cacing tanah yang biasa dibuat umpan untuk memacing? Ataupun ada maksud lain di sebalik istilah cacing ini? Dalam ilmu perubatan, terdapat satu ilmu disiplin ilmu yang dikenali sebagai ilmu parasitology iaitu ilmu yang membincangkan berkenaan parasit-parasit yang menyebabkan penyakit kepada manusia. Dalam ilmu ini, pelajar perubatan diajar oleh doktor-doktor yang mengambil pengkhususan dalam bidang ini untuk mengenali jenis-jenis parasit, cara parasit-parasit ini menjangkiti manusia dan manifestasi-manifestasinya cara untuk merawatnya. Apa yang menarik perhatian kita semua adalah terdapat beberapa jenis parasit ataupun juga boleh dipanggil sebagai cacing (worm) yang mampu menjangkiti manusia dengan cara menembusi kulit manusia yang terdedah khususnya di bahagian kaki sekiranya seseorang itu tidak memakai kasut atau selipar. Antara contoh cacing ini adalah Ancylostoma Duodenale yang juga dikenali sebagai Hookworm dan  Strongyloides Stercoralis worm. Larva kedua-dua cacing ini kebiasaannya hidup di dalam tanah yang tercemar dan mampu menjangkiti manusia yang hidup di kawasan ini sekiranya mereka tidak melindungi kaki mereka dengan cara memakai alas kaki.

3

Kitaran hidup Ancylostoma Duodenale worm

Mungkin bukan perkara ini yang dimaksudkan oleh orang-orang terdahulu, namun tak dapat disangkal ada kebenaran disebaliknya. Maka dengan fakta yang diberikan, benarlah apa yang mereka katakan. Kanak-kanak yang tidak melindungi kaki dengan memakai kasut ketika bermain di luar rumah berisiko dan boleh dijangkiti oleh cacing-cacing ini.

Banyak lagi cerita-cerita atau mitos-mitos yang berlegar dalam kalangan masyarakat kita. Ada yang benar dan ada yang tidak. Dua kisah atau mitos tersebut menunjukkan bahawa ada sebahagian daripadanya yang mempunyai kebenaran dan ada tidak benar sama sekali.  Maka sebagai orang yang berilmu dan menjadikan hujah sebagai pegangan, maka perlulah untuk kita  selidik dahulu akan kesahihan sesuatu perkara sebelum menyebarkan kepada orang lain.  Moga bermanfaat.

 

Rujukan

  1. Medical parasitology, Alexandria University
  2. http://www.cdc.gov/parasites/hookworm/biology.html
  3. http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pulmonary-edema/basics/definition/con-20022485
  4. http://www.webmd.com/lung/pleural-effusion-symptoms-causes-treatments

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :