tumblr_o0qr1al1Ju1rlhexfo1_1280 copy

Seringkali kita sebagai hambanya diuji dengan rentetan episod dugaan yang tujuannya tidak lah memberi erti selain mendekatkan kita kepadaNya. Membawa pulang jiwa-jiwa yang jauh kembali mendekat kepadaNya. Memanggil suara-suara hati yang sayu kembali bertaut kepada pengharapan cahayaNya. Begitu jualah surah ad-Dhuha yang membicarakan tentang suasana alam melalui nada-nada sentuhan kasih mesra, suatu hembusan rasa sayang, suatu belaian tangan yang belas kasihan yang menghilangkan sakit derita, suatu tiupan bayu yang membawa kerehatan, kerelaan dan harapan di samping mencurahkan rasa ketenteraman dan keyakinan.

Surah ini yang diturunkan khas kepada ‘Habibul-Allah’ junjungan baginda Rasulullah S.A.W untuk mententeramkan hati baginda. Semuanya merupakan tiupan bayu rahmat jua bisikan kasih kepada jiwa yang lesu, fikiran yang gelabah dan hati yang menderita. Ia merupakan surah yang sangat ajaib, yang mengajak kita menjadi positif dan juga supaya memandang Allah dengan pandangan yang baik. Merasakan aturan Allah adalah yang terbaik dalam meletakkan keyakinan atas kasih dan rahmatNya.

Ad-Dhuha diturunkan ketika mana Rasulullah tidak menerima sebarang wahyu dari Allah S.W.T selama enam bulan. Baginda tidak lagi melihat mimpi, tiada jua dikunjungi Malaikat Jibril. Walhal penemuan dengan Jibril dan perhubungan dengan Allah merupakan bekalan-bekalan kepada baginda dalam mengharungi jalan dakwah yang sukar. Ibarat air minum di panas yang terik dalam menghadapi keingkaran dan merupakan angin dalam cuaca panas menghadapi pendustaan kaun Musyrikin. Dengan wahyu inilah Rasulullah S.A.W dapat hidup dalam panas terik yang membakar ketika menghadapi musuh-musuh Allah.

Seperti diri kita, yang ada waktunya terlalu sibuk dengan keduniaan. Pada ketika keletihan jiwa dan fizikal dijadikan alasan jauhnya perhubungan dengan Allah. Ketenangan yang dikecapi semakin hilang dalam kebejatan kusut fikiran. Sehingga, ada kalanya solat dan ibadah itu tidak menjadikan kita dekat sebagai seorag hambaNya. Terputus. Tidakkah anda juga merasakannya ? Sepertinya Allah tidak mendengar suara kita. Seperti pandanganNya tidak lagi terarah kepada kita. Dia tidak lagi berkata-kata dengan kita. Apa yang berlaku ?
Begitulah yang dirasaikan oleh junjungan baginda Rasulullah S.A.W, jauh dan terputus apabila tiada lagi wahyu yang diturunkan. Apabila terputusnya wahyu, maka terputuslah bekalannya, keringlah mata airnya dan sepilah dari kekasih dan tinggallah baginda seorang diri dan menjadikan Rasulullah S.A.W begitu sengsara menanggung dari segala sudut. Ketika itulah turunnya surah ini membawa kasih mesra, rahmat, ketenteraman dan keyakinan.

[Penafsiran ayat 1-5 | Allah tidak pernah membiarkan Rasul kesayangan-Nya]

Maka segala sangkaan dan perasaan mula mengetuk jiwa baginda yang sekian menggelora kerana terputusnya perhubungan wahyu. Seperti sahaja sangkaan sebahagian dari kalangan kita bahawa tiada ruang kasih sayangNya kepada kita. Melihat sendiri kekurangan kehidupan yang dijalani sekali gus menjatuhkan kita kepada sangkaan bahawa kebencian Allah mendahului dari kasih dan sayangNya walhal sebaliknya yang berlaku. Merasakan Allah tidak lagi memandang kepada diri yang kerdil. Inilah yang kadang kala menyinggah ke pemikiran kita, begini jualah keadaan Rasulullah S.A.W ketika surah ini diturunkan. Maka apa yang Allah katakan ?

1.jpgDemi waktu dhuha,

2

Dan malam apabila ia sunyi-sepi

Ia menjadi satu kunci kepada insan-insan yang berada dalam takuk kesengsaraan jiwa, untuk memperingatkan mereka tentang luasnya ciptaan alam. Memberi sinar bahawa dunia ini tidak sekelam yang dilihat pada malam hari. Bangun. Allah S.W.T telah bersumpah dengan dua waktu yang jernih hening yang boleh menghubungkan antara alam dan perasaan. Bagaimana halus dan seninya kasih sayangNya bahawa Dia ingin menunjukkan rahmatNya telah dilimpahkan dari awal lagi melalui kemesraan di sekeliling kehidupan alam.

3

(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Yakni tuhanmu tidak pernah sekalipun meninggalkan dirimu sebelum ini dan tidak pernah sekalipun membiarkanmu dari limpah rahmat, naungan dan perlindungannya. Sama sahaja, kita wahai hamba Allah sesungguhnya Allah tidak membencimu juga tidak meninggalkanmu. Tidak sekali-kali Dia melupakan kita. Begitulah cara Allah mengkhabarkan kepada baginda bahawa Dia tidak sekali-kali membuang baginda sebagaimana dikatakan oleh kaum Musyrikin yang hanya mahu merunsingkan dan menyakitkan hati Rasulullah, kerana Dia adalah ‘tuhanmu’ dan baginda merupakan hambaNya yang dihubungkan kepadaNya dan disandarkan kepada RububiyahNya bahawa Allah itu Penjaga, Pelindung dan Penaungmu.

4

Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

5

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.

Limpah kurnia Allah kepadamu tidak kunjung putus. Balasan-balasan yang disediakan untukmu di akhirat lebih baik dari kurnia yang diberikan di dunia. Apa jua yang akal mendatang itu lebih baik dari situasi yang kamu hadapi sekarang. Sangatlah dekat, Allah akan memberikan kebahagiaan dan kemenangan yang sangat besar. Allah akan membuatkanmu gembira. Allah telah berjanji wahai muslimin. Dan ia sangatlah dekat. Bukankah ini ungkapan yang paling mujarab untuk insan-insan yang berada dalam ruang likup kesengsaraan dan tekanan? Dan Allah memberi sebab untuk terus yakin dan percaya.

tumblr_nrt7m56EG51rlhexfo1_1280

[Pentafsiran ayat 6-8 | Allah mengajak Rasulullah mengingatkan detik-detik sejarah hidupnya yang silam]

Tiadalah Allah meneruskan kalimahNya tanpa memberi sebab-sebab untuk terus meningkatkan keyakinan dan percaya. Ayat yang kemudian diturunkan terus menerus mengingatkan Rasulullah S.A.W tentang budi baik Allah, kasih saying dan limpah kurniaNya agar baginda mendapat kenikmatan dan mengingat kembal suasana-suasana rahmat Ilahi terhadap dirinya. Ia merupakan kenikmatan indah yang diransangkan oleh kenangan-kenangan indah seperti ayat yang tertera.

7

Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?

8

Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?

9

Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?

Lihatlah realiti kehidupan hidupmu sekarang dan sejarah hidupmu di zaman silam, pernahkah Allah meninggalkanmu, pernahkah Allah menukarkan mu walaupun sebelum engkau ditugas membawa agama ini ? Tidakkah Allah telah melindungimu semasa kau yatim piatu? Tidakkah Dia telah menyelamatkan mu dengan hidayahNya semasa engkau terumbang ambing dalam keadaan tiada pedoman ? Tidakkah Allah telah menutupkan kemiskinanmu dengan pemberianNya dengan penuh limpah ? Allah terus menerus memberi sebab untuk terus percaya. Sama seperti kita bukankah di keadaan kita dibelenggu kekeliruan, Allah jualah yang membimbing setiap langkah kita. Allah telah berjanji, dan janjiNya akan ditepati. Inilah cara yang terbaik kepada seluruh insan untuk terus percaya dengan mengingatkan tentang kebenaran yang lepas.

[Penafsiran ayat 9-11 | Kewajipan membantu golongan-golongan yang lemah]

Di sinilah antidot kepada tekanan. Kerana insan-insan yang merasakan putus hubungan dari Allah, yang merasakan sempit dengan meletakkan kepentingan orang yang lebih sengsara dari diri. Sesuai dengan peringatan Allah yang menyebut kisah beliau diberi perlindungan semasa hidup yatim piatu dari keadaan tanpa pedoman dan seterusnya kisah beliau diselamatkan dari kemiskinan, maka Allah mengarahkan beliau dan umat Muslimin selepasnya supaya memberi perlindungan kepada anak-anak yatim, menolong orang-orang yang memerlukan pertolongan dan menyebut-nyebutkan nikmat Allah yang amat besar yang dikurniakan kepadanya terutama nikmat mendapat hidayah dengan agama Islam. Inilah dia ubat yang berkesan bagi jiwa-jiwa yang berada dalam kerendahan kebergantungan untung terus memandang insan lain yang lebih diuji.

10

Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

11

Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;

12

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

Arahan-arahan supaya memuliakan anak yatim dan melarang dari menindas, menyakiti hati dan menghinakannya juga arahan supaya menolong orang-orang yang meminta pertolongan dengan cara yang lemah-lembut dan terhormat itu merupakan saranan-saranan yang paling penting dari realiti keadaan masyarakat jahiliyyah yang tidak berbudi dan tamak dan tidak melindungi hak-hak orang yang lemah dari mempertahankan haknya dengan kekuatan mata pedangnya. Kemudian Allah telah mengangkatkan masyarakat ini melalui syariatNya kepada masyarakat yang benar dan adil, masyarakat taqwa yang tidak melampaui batas-batas yang digariskan Allah dan masyarakat yang sentiasa melindungi dan membela hak-hak orang-orang yang lemah, yang tidak mempunyai kekuatan mata pedang untuk mempertahankannya.

Dan tahukah kamu cara terakhir untuk membuang rasa terbuang dan menjauh itu ? Sebutlah nikmat Allah terutama nikmat iman dan hidayah kerana ia merupakan salah satu dari cara melahirkan kesyukuran terhadap Allah yang mengurniakan nikmat itu. Jika benar Dia tidak lagi memandang kita kenapa kita masih bernyawa sehingga detik ini ? Jika benar Allah tidak lagi menyayangi kita, kenapa kita masih berkumpul atas nikmat hidayahNya dan mampu untuk berjalan di muka bumiNya ?

Maka sekiranya kita merasa terputusnya hubungan dengan Dia, baca dan hayatilah surah ad-Dhuha. Semoga cinta yang dirasai oleh baginda diselitkan sedikit buat kita sebagai hamba yang hina.

“Very soon, Allah’s promises will come true”

Believe in believe.

Rujukan :
1) Tafsir fi zilal, surah ad-Dhuha
2) Quran weekly, Ustaz Nouman Ali Khan
3) Syeikh Tawfique Chowhury, how surah ad-dhuha can change your life

Oleh :
I.P

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :