CIRI AHLI YANG TERPUJI

Sebuah komuniti manusia

Manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka mesti hidup bersama-sama demi meneruskan hidup yang harmoni disebuah tempat tinggal mereka. Justeru, di antara mereka ada yang di angkat untuk memimpin, menjadi pemimpin. Maka sebahagian besar lagi akan menjadi ahli yang berada dibawah para pemimpin. Artikel kali ini ingin berkongsi sifat-sifat ahli atau rakyat yang terpuji. Kerna kita maklum, sebuah masyarakat yang baik itu saling dibina oleh pemimpin dan ahli.

Antara ciri yang penulis kagum jika terdapat pada seseorang ahli komuniti ialah :

1.0 Ringan Tulang

Sekiranya kita memiliki ahli yang rajin membantu, insyallah banyak kerja berat dapat diringankan malah banyak kerja besar dapat dilaksanakan. Sifat rajin membantu datang dari hati. Hati yang suka melihat orang lain gembira dan senang walaupun dia terpaksa berkorban sedikit. Ia juga hadir dari jiwa yang percaya dengan teguh bahawa setiap kebaikan walau sekecil zarrah tetap akan dibalas oleh Allah. Ahli yang rajin juga mungkin terinspirasi dari pesanan Baginda saw bahawa sesiapa yang membantu saudaranya, dia pula akan dibantu. Boleh rujuk maksud hadis 36 dari Kitab Hadis 40 susunan Imam An-Nawawi .

tt

2.0 Berani Menegur

Ahli yang berani membuat teguran dapat membaiki kesilapan pemimpin dan ahli masyarakatnya. Juga dapat menambahbaik kekurangan yang ada pada sesebuah komuniti. Ahli ini akan bertindak menghidupkan semangat ‘check and balance’. Hasilnya komuniti akan terus bergerak maju ke hadapan. Sifat ini lahir dari kesedaran yang penuh akan tanggungjawab ‘amar maaruf’ dan ‘nahi munkar’. Iaitu tugas menyuruh kepada kebaikan serta melarang dan mencegah kepada perkara yang salah. Medium atau ruangan untuk memberi muhasabah kepada pimpinan dan ahli, akan dimanfaatkan sebaiknya. Kerna dia tidak sanggup melihat sesuatu kebaikan diabaikan. Bahkan dia sedih jika hanya membiarkan sahaja kejahatan atau keburukan terus melekat pada komunitinya. Dia sayang pada diri dan saudaranya.

kkk

3.0 Menjaga Kesatuan (Persaudaraan)

Sebuah komuniti di ikat dengan persamaan sejarah, asal-usul, tujuan dan berbagai lagi. Secara langsung menjadikan mereka bersaudara. Langsung membentuk sebuah keluarga besar. Makanya ahli yang terpuji akan menzahirkan sifatnya yang cinta akan kesatuan. Kebersamaan. Dia akan bertindak menyuburkan ruh persaudaraan. Memberi salam apabila bertemu, berjabat tangan, menziarahi apabila sakit atau ditimpa musibah. Mengucapkan tahniah dan memberi hadiah apabila ada yang beroleh kejayaan. Memberi sokongan dan dokongan moral apabila ada yang merasa lemah.

jj

4.0 Gemar Memberi

Ahli yang terpuji juga gemar memberi. Malahan merasa puas jika dapat memberikan sesuatu kepada komunitinya. Baik idea yang bernas, baik tenaga kerja, baik hartanya atau baik masa lapangnya. Dia beriman bahawa apa yang diberi itulah untuk dia tuai hasilnya di akhirat kelak. Bahkan dikatakan oleh seorang penceramah kelas Tafaqquh Fiddeen bahawa ciri ahli akhirat itu ialah yang suka memberi dari menerima. Dia juga termotivasi dengan kata-kata bahawasanya hidup kita terbina dengan apa yang kita beri. Bukan apa yang kita dapat. Dia memberi bukan mengharap ucapan terima kasih atau ganjaran dari manusia tetapi dia menanti dengan harap, berolehnya redha Ilahi. Tulusnya pemberian itu, hanya Allah yang mampu menilai.

mm

5.0 Memiliki Akhlak Mahmudah

Sifat terakhir yang penulis dapat simpulkan ialah ahli yang memiliki akhlak yang terpuji. Pastinya dia akan menjadikan setiap kelakuan yang terpuji itu, bersarang pada dirinya. Dia sanggup meninggalkan sesuatu kalaulah perkara itu buruk buat diri dan komunitinya. Contoh kata-kata yang tercela yang boleh mencemarkan atmosfera komunikasi ahli komuniti. Ahli ini juga akan berusaha melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membangun komunitinya. Dia adalah ahli yang menjadikan rasulullah saw contoh ikutan dalam hidupnya. Qudwahnya.

ttt

Kun Anta! (Jadilah Kamu!)

Kita hanya ada tiga hari dalam hidup ini. Semalam, hari ini dan esok. Semalam adalah sejarah dan masa silam yang harus kita pelajari sesuatu darinya. Hari ini adalah peluang dan kesempatan untuk kita melakukan sesuatu. Esok adalah harapan dan impian yang mungkin ada atau tidak.

Tidak kiralah ahli komuniti yang mana kita semalam asalkan hari ini kita bersedia berubah dan menjadi lebih baik. Esok hari bawalah sifat-sifat terpuji yang sedia tersemat pada diri kita ke dalam komuniti baru yang akan kita temui. Sebarkan kebaikan disana. Rintislah perubahan. Bumi Mesir hanya medan kita belajar dan berlatih, hakikatnya diluar sanalah medan sebenar yang akan menguji sifat dan sikap kita. Tetap teguhlah.

dd

Nukilan Prof N
29 Nov 2015, Khamis, Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :